Diterbitkan pada 10 Oktober 2025, 12:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Sebanyak 30 warga kerja Agensi Nuklear Malaysia menghadiri Kursus Ulang Kaji (Refresher Course) ISO 9001:2015 & ISO 13485:2016 (Internal Auditing) yang bertujuan meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam melaksanakan audit dalaman secara sistematik dan berkesan.

Program sehari anjuran Bahagian Perancangan dan Hubungan Antarabangsa (BPA) ini diadakan di Bilik Kuliah, Agensi Nuklear Malaysia bagi memastikan sistem pengurusan kualiti organisasi terus memenuhi piawaian antarabangsa.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah BPA, YBrs. Dr. Fairuz Suzana Mohd Chachuli yang menegaskan kepentingan budaya kualiti serta penambahbaikan berterusan sebagai asas kecemerlangan organisasi.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Hubungan Antarabangsa (BPA), Dr. Fairuz Suzana binti Mohd Chachuli, menyampaikan ucapan perasmian yang menekankan kepentingan budaya kualiti dan penambahbaikan berterusan sempena Refresher Course on ISO 9001:2015 & ISO 13485:2016 (Internal Auditing) di Agensi Nuklear Malaysia.

Program ini menampilkan Pengurus Raymintex, Bahagian Sokongan Teknikal (BST), YBrs. Dr. Chai Chee Keong yang menerangkan keperluan audit dalaman melalui pendekatan berstruktur dalam merancang dan melaksanakan audit yang efektif.

YBrs. Dr. Chai Chee Keong memimpin sesi latihan yang mendorong peserta memahami peranan audit dalaman sebagai asas penambahbaikan sistem kualiti organisasi.

Beliau turut berkongsi kaedah mengenal pasti ketakakuran dan peluang penambahbaikan berdasarkan pemerhatian serta analisis data audit.

Sesi berkenaan menumpukan aspek penulisan laporan audit yang lebih sistematik dan objektif melalui perkongsian contoh sebenar serta panduan mendokumenkan penemuan audit dengan jelas dan teratur.

Pendekatan tersebut membantu peserta memahami penyediaan laporan yang mudah dirujuk dan menyokong pelaksanaan tindakan pembetulan secara menyeluruh.

Pada sesi kedua, Pengurus SINAGAMA, Bahagian Sokongan Teknikal (BST), Puan Ruzalina Baharin membincangkan klausa pensijilan ISO 9001:2015 dan ISO 13485:2016 yang digunakan bagi perkhidmatan penyinaran di SINAGAMA.

Berbekalkan pengalaman yang luas dalam bidang pengurusan kualiti, Puan Ruzalina Baharin memberikan inspirasi kepada peserta tentang nilai ketelitian dan tanggungjawab dalam memastikan mutu perkhidmatan SINAGAMA sentiasa unggul.

Beliau menjelaskan bahawa ISO 9001:2015 merupakan piawaian asas sistem pengurusan kualiti yang menekankan pendekatan berasaskan proses, pengurusan risiko dan kepuasan pelanggan sebagai asas peningkatan berterusan.

ISO 13485:2016 pula merupakan piawaian khusus bagi peralatan perubatan yang memastikan sistem pengurusan kualiti penyinaran mematuhi keperluan keselamatan serta perundangan antarabangsa.

Piawaian tersebut menekankan kawalan proses, kebolehkesanan dan jaminan mutu dalam setiap peringkat operasi bagi menjamin keselamatan perkhidmatan penyinaran.

Melalui perkongsian ini, peserta memahami aplikasi kedua-dua piawaian dalam konteks kerja di SINAGAMA serta kepentingannya terhadap keyakinan pelanggan terhadap mutu perkhidmatan Nuklear Malaysia.

Peserta turut diberikan pendedahan awal mengenai draf penambahbaikan piawaian ISO 9001:2026 yang dijangka menekankan kepimpinan, budaya kualiti dan etika dalam sistem pengurusan.

Versi baharu ini bakal menggabungkan elemen kemampanan, perubahan iklim dan penggunaan teknologi digital termasuk keselamatan siber sebagai aspek penting dalam pengurusan kualiti masa hadapan.

“Latihan ini meningkatkan kefahaman kami tentang audit dalaman dan memberikan pendedahan awal terhadap hala tuju ISO 9001:2026,” kata Puan Siti Hajar binti Yusof dari Bahagian Pengkomersilan Teknologi (BKT).

Kursus ini menjadi wadah perkongsian ilmu yang penting bagi memastikan pasukan audit dalaman Nuklear Malaysia sentiasa cekap, profesional dan selaras dengan amalan pengurusan kualiti bertaraf antarabangsa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi