Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) melalui Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BSM) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Nuklear Malaysia telah menganjurkan Program Nilai Murni dan Psikologi 2025 Siri 2: Ceramah Keibubapaan yang menumpukan isu buli dan kesejahteraan psikologi keluarga.
Program yang bertemakan “Anak sebagai Pembuli atau Dibuli?” ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap peranan mereka dalam membentuk tingkah laku anak-anak melalui komunikasi berkesan dan teladan positif di rumah.
Ceramah disampaikan oleh Puan Puteri Intan Diyana Azhar yang menjelaskan bahawa buli merangkumi pelbagai bentuk, termasuklah fizikal, lisan, siber, seksual dan sosial yang semuanya meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kesejahteraan mangsa.

Beliau menjelaskan bahawa buli merupakan tingkah laku negatif yang disengajakan dan berulang oleh individu berkuasa terhadap individu yang lebih lemah serta meninggalkan kesan serius terhadap kesejahteraan emosi dan sosial mangsa.
Puan Puteri Intan Diyana turut mengaitkan isu buli dengan Teori Sistem Ekologikal Bronfenbrenner yang menekankan pengaruh pelbagai lapisan persekitaran seperti keluarga, rakan sebaya, sekolah dan masyarakat terhadap pembentukan tingkah laku anak-anak.
Beliau menegaskan bahawa peranan ibu bapa amat penting bagi memastikan setiap lapisan persekitaran berfungsi secara positif dalam membentuk keseimbangan psikologi anak.
Katanya, anak yang dibesarkan dalam suasana penuh empati, komunikasi terbuka dan kasih sayang biasanya memiliki daya tahan emosi yang lebih baik dalam menghadapi tekanan sosial.

Peserta turut didedahkan kepada enam peranan dalam dinamik pembulian, iaitu ketua pembuli (ringleader), pembantu (assistant), penyokong (reinforcer), mangsa (target), pembela (defender) dan pemerhati (bystander).
Antara tanda awal mangsa buli termasuklah perubahan tingkah laku seperti menjadi pendiam, berahsia, mudah marah, mengalami gangguan tidur atau menunjukkan gejala fizikal tanpa sebab yang jelas.
Menurut penceramah, kepekaan terhadap tanda tersebut membolehkan ibu bapa bertindak dengan lebih awal bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Beliau menasihatkan agar ibu bapa berkomunikasi secara aktif dengan mengamalkan pendekatan “berhenti seketika, dengar dan jangan bertindak balas serta-merta” selain menjadi contoh teladan yang baik kepada anak-anak.
Puan Puteri Intan Diyana turut menyarankan agar ibu bapa tidak teragak-agak mendapatkan bantuan pakar sekiranya situasi memerlukan intervensi daripada ahli profesional.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan proaktif ini bukan sahaja melindungi anak daripada risiko buli, malah menggalakkan kesejahteraan emosi dalam institusi keluarga.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi Kelab Sukan dan Kebajikan Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Sofian Ibrahim menegaskan bahawa kestabilan emosi dan mental keluarga menjadi asas keharmonian tempat kerja serta menyumbang kepada peningkatan produktiviti organisasi.
Menurut beliau, program sebegini wajar diteruskan kerana dapat membantu ibu bapa memahami cabaran keibubapaan masa kini dan memperkukuh sokongan emosi dalam institusi keluarga.