Diterbitkan pada 17 Oktober 2025, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Plastik ialah bahan yang sinonim dengan kemajuan moden, namun pada masa yang sama, menjadi lambang kepada pencemaran global. Bayangan lautan yang sarat sampah dan tapak pelupusan yang melimpah seakan-akan mengingatkan kita kepada harga yang perlu dibayar atas kemudahan ini.

Dalam usaha mencari penyelesaian yang lebih lestari, muncul satu bahan baharu yang digelar bioplastik yang dihasilkan daripada sumber biologi seperti jagung, tebu dan kentang. Bahan ini dipromosikan sebagai bahan mesra alam yang mampu mengurangkan kebergantungan terhadap petroleum dan mengekang pencemaran plastik. Namun begitu, adakah bioplastik benar-benar penyelamat yang kita harapkan atau sekadar mencipta bentuk baharu masalah yang belum kita fahami sepenuhnya?

Di sebalik slogan hijau dan harapan besar, wujud persoalan tentang keberkesanan sebenar bioplastik. Bagaimanakah bioplastik berfungsi? Sejauh manakah bioplastik benar-benar terurai? Apakah kesannya terhadap sistem pengurusan sisa serta ekonomi kitaran yang sedang dibina?

Bioplastik

Istilah bioplastik sering mengelirukan kerana merangkumi pelbagai jenis bahan dengan ciri dan fungsi berbeza. Secara umum, bioplastik boleh dibahagikan kepada dua kategori.

Pertama, plastik berasaskan bio (bio-based plastics), iaitu plastik yang dihasilkan daripada sumber semula jadi boleh diperbaharui seperti kanji jagung, tebu atau ubi kentang. Walaupun bahan mentahnya bersifat semula jadi, struktur kimianya tetap menyerupai plastik konvensional. Contohnya, polietilena (PE) yang dihasilkan daripada tebu secara kimia, sama seperti PE petroleum dan tidak akan terurai secara semula jadi.

Kedua, plastik boleh terurai secara biologi (biodegradable plastics), iaitu plastik yang boleh diuraikan oleh mikroorganisma seperti bakteria atau kulat, lalu menjadi air, karbon dioksida dan biojisim. Tidak semua plastik jenis ini berasaskan bio. Ada yang masih berpunca daripada petroleum tetapi direka bentuk untuk terurai. Contoh paling popular termasuklah asid polilaktik (PLA) dan polyhydroxyalkanoate (PHA) yang digunakan secara meluas dalam pembungkusan makanan.

Kekeliruan sering timbul apabila pengguna menganggap semua bioplastik akan hancur secara semula jadi. Sebuah beg yang dilabel “mesra alam” mungkin dihasilkan daripada jagung, namun kekal di tapak pelupusan selama bertahun-tahun jika tidak direka bentuk untuk terurai. Salah faham ini menjadikan label “bio” seolah-olah jaminan kelestarian, sedangkan tanpa sistem pelupusan yang sesuai, bioplastik boleh berakhir sebagai satu lagi bentuk pencemaran.

Sudu dan garfu yang diperbuat daripada bioplastik.

Janji Bioplastik: Mengurangkan Sisa dan Karbon

Bioplastik hadir dengan harapan baharu, iaitu mampu mengurangkan jejak karbon dan lambakan sisa plastik. Plastik berasaskan bio mengurangkan kebergantungan pada petroleum, manakala proses pengeluarannya menggunakan tenaga yang lebih rendah dan menghasilkan pelepasan gas rumah hijau yang lebih kecil. Tumbuhan yang digunakan pula menyerap karbon dioksida semasa tumbesaran, lalu menjadikan kitarannya lebih mesra alam.

Kajian menunjukkan bahawa penghasilan bioplastik jenis PLA dapat mengurangkan pelepasan karbon sehingga 75 peratus berbanding dengan plastik konvensional. Sementara itu, bioplastik yang boleh terurai secara biologi menawarkan potensi pengurangan sisa di tapak pelupusan dan lautan, sekali gus menyokong usaha global untuk memerangi pencemaran plastik. Bagi industri dan pengguna yang ingin mengamalkan gaya hidup lestari, bioplastik dilihat sebagai langkah yang positif.

Realiti dan Cabaran

Walaupun potensinya besar, bioplastik masih terikat kepada realiti pelaksanaan yang mencabar. Isu paling besar ialah penguraiannya yang bergantung pada keadaan tertentu.

Kebanyakan bioplastik yang dilabel “boleh terurai” hanya akan hancur dalam kemudahan pengkomposan industri dengan suhu tinggi (55 darjah Celsius hingga 60 darjah Celsius), kelembapan yang terkawal dan kehadiran mikroorganisma aktif. Kemudahan seperti ini masih terhad di Malaysia. Apabila bioplastik dibuang ke tapak pelupusan biasa, proses penguraiannya menjadi perlahan dan boleh menghasilkan gas metana, iaitu gas rumah hijau yang lebih berbahaya daripada karbon dioksida.

Masalah lain ialah pencemaran silang dalam sistem kitar semula. Apabila bioplastik bercampur dengan plastik konvensional seperti PET atau HDPE, keadaan itu boleh menjejaskan keseluruhan kelompok sisa kerana komposisi kimianya berbeza. Satu keping kecil bioplastik yang tersilap masuk boleh menyebabkan seluruh kelompok bahan tersebut tidak lagi boleh dikitar semula.

Selain itu, kos pengeluaran bioplastik masih tinggi, manakala penggunaan bahan asas seperti jagung dan ubi untuk industri plastik menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan makanan global. Dalam erti kata lain, usaha untuk menjadikan bioplastik sebagai penyelamat alam masih berdepan dengan dilema ekonomi dan etika.

Ilusi Plastik “Hancur Sendiri” dan Ancaman Mikroplastik

Antara salah faham yang berbahaya termasuklah kepercayaan terhadap plastik oxo-degradable, iaitu plastik konvensional yang dicampur dengan bahan kimia untuk mempercepat proses pereputan. Secara fizikal, plastik ini kelihatan cepat hancur apabila terdedah kepada cahaya, haba atau oksigen. Namun begitu, plastik hanya menjadi serpihan halus yang dikenali sebagai mikroplastik.

Mikroplastik ini kekal di alam sekitar dan mencemarkan tanah, sungai serta lautan. Plastik ini mudah memasuki rantai makanan dan akhirnya kembali kepada manusia. Banyak negara, termasuklah Kesatuan Eropah telah mengharamkan penggunaan plastik oxo-degradable kerana dianggap memberikan ilusi penyelesaian tanpa benar-benar mengurangkan pencemaran.

Implikasi Terhadap Ekosistem

Walaupun direka untuk terurai, bioplastik tetap membawa risiko terhadap ekosistem jika tidak diuruskan dengan betul. Kajian menunjukkan bahawa proses penguraiannya dalam persekitaran semula jadi masih mengambil masa yang panjang. Dalam tempoh itu, bioplastik boleh menjejaskan hidupan liar.

Sebagai contoh, beg bioplastik yang terapung di laut mungkin disalah anggap sebagai makanan oleh penyu atau ikan. Tindakan ini boleh mengganggu sistem pencernaan haiwan dan menyebabkan kematian. Hal ini juga membuktikan bahawa bioplastik bukanlah lesen untuk membuang sampah merata-rata dan hanya benar-benar berfungsi apabila dilupuskan melalui sistem pengurusan sisa yang sesuai.

Masa Hadapan Bioplastik di Malaysia

Untuk memastikan bioplastik benar-benar menjadi sebahagian daripada penyelesaian yang berkesan di negara ini, aspek utama yang perlu diberikan perhatian di Malaysia ialah infrastruktur dan pendidikan awam.

Pertama, kemudahan pengkomposan industri perlu diperluas agar bioplastik dapat diurai dengan cara yang betul. Kedua, sistem pengasingan sisa perlu diperkemaskan dengan panduan dan label yang jelas supaya pengguna dapat mengenal pasti serta membuang bioplastik ke saluran yang sesuai. Ketiga, kempen kesedaran awam perlu dipertingkat bagi mendidik masyarakat tentang perbezaan antara plastik berasaskan bio dan plastik boleh terurai, serta kepentingan mengamalkan konsep 3R, yakni kurangkan (reduce), guna semula (reuse) dan kitar semula (recycle).

Pada masa yang sama, penyelidikan perlu diteruskan bagi mencipta bioplastik generasi baharu yang dapat terurai dalam keadaan semula jadi dan tanpa syarat tertentu. Jika berjaya, inovasi ini mampu menjadi pemangkin perubahan dalam usaha global melawan pencemaran plastik.

Kesimpulannya, bioplastik bukanlah “peluru ajaib” yang akan menghapuskan krisis plastik sekelip mata. Tindakan ini merupakah langkah ke hadapan, namun masih jauh daripada sempurna. Tanpa sistem pengurusan sisa yang berkesan dan kefahaman awam yang tinggi, bioplastik berisiko menjadi “jerat hijau” yang menambah beban kepada alam sekitar.

Kejayaan bioplastik sebagai penyelesaian lestari amat bergantung pada tindakan kolektif, yakni gabungan inovasi saintifik, sokongan dasar kerajaan, tanggungjawab industri dan kesedaran pengguna. Hanya dengan kerjasama semua pihak, sisa boleh diubah menjadi sumber, manakala plastik, sama ada bio atau konvensional dapat diurus dengan cara yang benar-benar lestari.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi