Diterbitkan pada 6 Oktober 2025, 14:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Sebanyak 15 ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah mengadakan lawatan ilmiah ke Reaktor TRIGA PUSPATI (RTP) di Agensi Nuklear Malaysia bagi mendalami peranan teknologi nuklear dalam pembangunan negara serta memahami sumbangannya terhadap kesejahteraan masyarakat.

Lawatan ini membuka ruang pembelajaran yang berharga kepada para peserta apabila mereka berpeluang meninjau secara dekat reaktor penyelidikan nuklear pertama Malaysia yang mula beroperasi sejak tahun 1982 dan terus menjadi nadi utama penyelidikan serta inovasi dalam bidang sains dan teknologi nuklear.

Sepanjang lawatan itu, delegasi dibawa untuk menjelajah pelbagai kemudahan berimpak tinggi yang menjadi tumpuan penyelidikan seperti penghasilan radioisotop untuk kegunaan perubatan, penyelidikan bahan, kawalan mutu industri serta pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang kejuruteraan dan sains nuklear.

Delegasi PUSPANITA MOSTI di Reaktor TRIGA PUSPATI, Nuklear Malaysia yang menyingkap kehebatan sains nuklear yang menjadi teras kemajuan teknologi negara.

Peserta turut didedahkan kepada aspek keselamatan operasi reaktor dan pelbagai aplikasi nuklear yang menyentuh kehidupan seharian, termasuklah rawatan kanser serta penyinaran makanan bagi memastikan keselamatan dan kualiti penggunaannya.

Fenomena cahaya biru yang dikenali sebagai kesan Cherenkov di Reaktor TRIGA PUSPATI berlaku apabila zarah bercas bergerak lebih pantas daripada cahaya dalam air.

Selain itu, mereka turut diberikan penerangan tentang inovasi dalam sektor pertanian yang memanfaatkan teknik mutasi teraruh bagi menghasilkan varieti tanaman baharu yang lebih berkualiti dan tahan lasak.

Pengerusi PUSPANITA MOSTI, YBhg. Datin Seri Roslina Mior Adlan menyifatkan lawatan ini sebagai peluang membuka minda ahli terhadap potensi besar teknologi nuklear yang sering disalah erti.

“Lawatan ini membuka minda kami terhadap potensi besar teknologi nuklear yang selama ini mungkin hanya didengar dari jauh. Melihat sendiri akan operasi reaktor telah memberikan perspektif baharu tentang sumbangan Nuklear Malaysia kepada negara,” katanya.

Delegasi PUSPANITA MOSTI diberikan taklimat mengenai sistem operasi dan kawalan keselamatan Reaktor TRIGA PUSPATI, termasuk prosedurlah pengawasan radiasi yang ketat bagi memastikan tahap keselamatan sentiasa berada pada tahap optimum.

Bagi Setiausaha PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Puan Aliza Sarip, pengalaman tersebut amat mengujakan kerana memberikan peluang untuk menyaksikan sendiri sistem keselamatan dan kecekapan operasi reaktor penyelidikan negara.

”Saya kagum melihat sendiri kemudahan reaktor penyelidikan ini. Sistem keselamatan di sini pun sangat ketat dan menunjukkan tahap kawalan yang tinggi,” ujarnya.

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin menyambut baik kehadiran rombongan sambil menegaskan bahawa hubungan antara agensi dengan masyarakat harus terus diperkukuh melalui program sebegini.

“Kami berbesar hati menerima kunjungan PUSPANITA MOSTI. Lawatan seperti ini akan membantu menyebarkan kefahaman yang lebih mendalam tentang kepentingan teknologi nuklear kepada masyarakat,” katanya.

Usai lawatan, Mesyuarat Jawatankuasa Induk PUSPANITA MOSTI diadakan di Bilik Persidangan, Blok 11, Aras 3 bagi membincangkan agenda serta perancangan aktiviti akan datang yang menumpukan kepada pemerkasaan ilmu dan jaringan wanita dalam perkhidmatan awam.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Zalia Takrim serta Pengarah Bahagian Sokongan Teknikal (BST), YBrs. Dr. Julia Abdul Karim.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi