Diterbitkan pada 1 Oktober 2025, 15:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Perlis – Pasukan Silat Bomba Selangor membuktikan keunggulan mereka apabila meraih pencapaian yang membanggakan dalam Kejuaraan Silat Perlis 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Pasukan Silat Bomba Selangor.

Kejohanan anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Perlis itu telah diadakan di Dewan Rakan Sukan Negeri Perlis.

Yang menariknya, Pasukan Silat Bomba Selangor merupakan satu-satunya pasukan silat yang ditubuhkan di bawah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sekali gus menonjolkan keunikan serta kesungguhan anggotanya dalam memperkukuh disiplin dan kecergasan melalui seni bela diri warisan bangsa.

Walaupun masih baharu dalam arena rasmi, pasukan ini telah menunjukkan kematangan serta semangat juang yang tinggi dengan dua daripada pesilat membuat kemunculan sulung di kejohanan ini dan berjaya menampilkan aksi yang meyakinkan di gelanggang.

Pasukan yang dikenali sebagai “Selfire Fighter Silat Team” itu membawa pulang satu pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa dalam Kategori Kebangsaan.

Pingat emas telah disumbangkan oleh Pegawai Bomba (PB), Mohd Faiz Yusmi dari Unit Perhubungan Awam dalam Kelas B, manakala pingat perak dimenangi oleh PB Azamuddin Hazim Hazwan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bagi Kelas C serta PB Mohamad Haziq Adam Othman dari BBP Shah Alam dalam Kelas G.

Mohd Faiz Yusmi berjaya merangkul pingat emas dalam Kelas B Kategori Kebangsaan bersempena dengan Kejuaraan Silat Perlis 2025.

Sementara itu, pingat gangsa disumbangkan oleh PB Mior Amir Syafiq Mior Zulkifle, juga dari BBP Shah Alam bagi Kelas H.

Kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa bimbingan serta latihan rapi daripada barisan jurulatih berpengalaman seperti Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Khairul Asymawi Muhammad, PPgB Mohammad Hafis Hamdany dari BBP Bandar Tun Hussein Onn dan PB Mohamad Khazreem Kamaruzaman dari BBP Shah Alam.

Majlis perasmian kejohanan telah dirasmikan oleh Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia, YBhg. Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, manakala sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri Perlis, Encik Mohd Zulhilmi Zulkifly.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi