Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangCameron Highlands – Kelab Keluarga Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (KKKPKNP) sentiasa menggalakkan ahli kelabnya untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui penyertaan dalam aktiviti sukan dan riadah, termasuklah ekspedisi pendakian gunung di sekitar Malaysia.
Menurut Encik Mohd Azhar Ishak selaku Ketua Biro Kembara dan Rekreasi KKKPKNP, sebanyak 14 orang pendaki kelab itu komited menyertai Ekspedisi Pendakian Puncak Brincang Barat pada 28 September 2025 lalu.
Pendakian gunung setinggi 2031 meter dari aras laut itu telah dimulakan pada pukul 8.00 pagi dan para pendaki tiba di puncak setelah melalui tempoh hampir lima jam pendakian dalam kehujanan, namun tidak merencatkan ekspedisi berkenaan.

Encik Mohd Azhar Ishak berkata, dengan semangat juang yang tinggi dan tekad yang utuh dalam jiwa para pendaki, ketibaan di puncak gunung menjadi suatu anugerah kepada mereka apabila keindahan alam ini dapat dinikmati dengan penuh kesyukuran.
Pada masa yang sama, para pendaki turut meneroka Taman Eko Rimba Mossy dan berpeluang menikmati kesaujanaan hutan berlumut yang menjadi satu daripada destinasi pelancongan terkenal di Semenanjung Malaysia dengan kewujudan kepelbagaian flora dan fauna yang unik.

Sementara itu, Encik Rahmat Hussin selaku Presiden KKKPKNP berkata, program seumpama ini dianjurkan bagi menggalakkan ahli kelabnya untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan menyertai program riadah yang menarik selain aktiviti sukan.
Ujarnya,
Penerokaan terhadap alam semula jadi juga akan menjadikan peserta lebih menghargai alam dan mengenali kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di muka bumi ini.

KKKPKNP juga pernah menganjurkan Ekspedisi Pendakian Gunung Kinabalu pada tahun 2024 dan berjaya menawan puncak tertinggi di Malaysia itu.