Diterbitkan pada 30 September 2025, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pembangunan sains dan teknologi di Malaysia merupakan sebuah perjalanan panjang yang digerakkan oleh gabungan dasar, institusi dan kepemimpinan yang berpandangan jauh. Sejak beberapa dekad lalu, pelbagai inisiatif telah dirangka dan dilaksanakan bagi mengangkat negara daripada asas ekonomi berorientasikan pertanian kepada sebuah ekonomi moden yang berteraskan pengetahuan serta inovasi. Usaha ini bukan sahaja mempercepat proses transformasi nasional, malah membuka jalan kepada penguasaan teknologi yang lebih luas. Dalam rangka pembangunan tersebut, peranan tokoh kepemimpinan, termasuklah Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menyumbang pengaruh yang besar dalam memperkukuh hala tuju negara, khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

Infrastruktur dan Identiti Negara Moden

Transformasi Malaysia bermula dengan pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi dan pemerkasaan teknologi. Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dengan Menara Berkembar Petronas muncul sebagai mercu tanda baharu negara, manakala Lebuhraya Utara–Selatan menghubungkan seluruh Semenanjung Malaysia, sekali gus memperkukuh jaringan ekonomi dan sosial. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula mengangkat kedudukan Malaysia sebagai hab penerbangan serantau yang penting.

Sementara itu, pembangunan Putrajaya menzahirkan konsep bandar bersepadu yang menggabungkan seni bina moden, nilai Islamik dan keindahan landskap. Kesemua projek ini bukan sahaja mengubah wajah fizikal negara, bahkan meneguhkan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing dan berpandangan jauh.

Wawasan 2020 dan Aspirasi Ilmu Pengetahuan

Aspirasi Malaysia untuk mencapai taraf negara maju terserlah melalui penggubalan Wawasan 2020 yang meletakkan sains dan teknologi sebagai teras kemajuan nasional. Dalam kerangka ini, universiti penyelidikan seperti Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diperkukuh peranannya sebagai pusat kecemerlangan ilmu, penyelidikan, dan inovasi.

Pada masa yang sama, pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan semakin ditingkatkan bagi memastikan kelahiran pengetahuan baharu yang relevan dengan keperluan negara. Penekanan terhadap inovasi ini telah mewujudkan asas kukuh untuk melahirkan tenaga kerja mahir, membangunkan keupayaan teknologi tempatan dan seterusnya mempercepat proses transformasi Malaysia ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

Pembangunan Teknologi Nuklear untuk Tujuan Keamanan

Komitmen Malaysia terhadap teknologi nuklear bermula dengan penubuhan Pusat Penyelidikan Atom Tun Ismail (PUSPATI) pada tahun 1972 yang kini dikenali sebagai Agensi Nuklear Malaysia. Detik penting tercatat pada 28 Jun 1982 apabila Reaktor TRIGA PUSPATI mencapai tahap “first criticality”, sekali gus menandakan bermulanya era penyelidikan nuklear negara.

Walaupun Malaysia tidak membangunkan senjata nuklear, teknologi ini tetap dilihat sebagai bidang berpotensi besar untuk dimanfaatkan dalam sektor perubatan, pertanian dan tenaga. Kepemimpinan negara juga menitikberatkan bahawa penguasaan teknologi nuklear mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan, kesiapsiagaan infrastruktur dan keutuhan institusi.

Aspirasi Angkasa dan Inspirasi Generasi Muda

Pembangunan sains di Malaysia memasuki dimensi baharu melalui pelaksanaan Program Angkasawan Negara. Pada tahun 2007, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mencatatkan sejarah sebagai angkasawan pertama Malaysia dengan sokongan kerjasama Agensi Angkasa Rusia (Roscosmos). Misi ini tidak terhad kepada pencapaian simbolik semata-mata, malah merangkumi pelaksanaan eksperimen saintifik dalam bidang bioteknologi dan perubatan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Kejayaan tersebut menjadi pemangkin inspirasi kepada generasi muda untuk melibatkan diri dalam bidang sains dan kejuruteraan, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penerokaan angkasa bagi masa depan negara.

Teknologi Tinggi dan Ekonomi Baharu

Selain bidang angkasa dan nuklear, dasar pembangunan teknologi tinggi turut diberikan penekanan sebagai landasan utama kemajuan negara. Penubuhan taman teknologi serta penyediaan insentif kepada syarikat berteknologi tinggi telah mewujudkan ekosistem yang kondusif bagi pertumbuhan inovasi.

Kulim Hi-Tech Park (KHTP) yang dibuka pada tahun 1996 menandakan kelahiran taman teknologi tinggi pertama di Malaysia, manakala Cyberjaya yang dirasmikan pada tahun 1997 menjadi nadi kepada pelaksanaan inisiatif Multimedia Super Corridor (MSC Malaysia). Kedua-dua projek ini berperanan penting dalam menarik pelaburan asing, mempercepat pemindahan teknologi serta memperkukuh keupayaan tempatan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.

Industri Berat dan Pengukuhan Kapasiti Nasional

Dalam bidang perindustrian, Malaysia menyaksikan kemunculan industri berat yang memberikan impak langsung terhadap pembangunan sains dan teknologi. Penubuhan Proton sebagai pengeluar automotif nasional membuka ruang kepada perkembangan kejuruteraan automotif tempatan, manakala Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) memperluas keupayaannya dalam sektor minyak dan gas melalui pendekatan yang semakin berorientasikan teknologi. Kedua-dua entiti ini menjadi lambang kejayaan negara dalam membina kapasiti teknologi sendiri serta mengurangkan pergantungan terhadap kepakaran luar.

Secara keseluruhannya, perjalanan pembangunan sains dan teknologi di Malaysia memperlihatkan gabungan visi, dasar dan institusi yang saling menguatkan antara satu sama lain. Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan negara ke arah kemodenan, namun warisan ini hakikatnya lahir daripada usaha kolektif pelbagai pihak, termasuklah institusi penyelidikan, universiti dan sektor industri yang bersama-sama membina ekosistem ilmu dan inovasi.

Gambaran visual legasi Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang merangkumi TRIGA, Proton, MSC, Wawasan 2020 serta pencapaian Malaysia dalam bidang sains angkasa.

Pada usia seratus tahun, legasi Tun Dr. Mahathir wajar ditempatkan dalam konteks yang lebih menyeluruh, iaitu sebagai sebahagian daripada perjalanan panjang Malaysia dalam membina kekuatan ilmu pengetahuan dan teknologi. Negara kini sudah berdiri di atas asas kukuh yang terbina sepanjang beberapa dekad dan cabaran seterusnya adalah untuk memastikan kemajuan tersebut terus digerakkan oleh daya inovasi, bakat tempatan yang berkemahiran tinggi serta kemampuan untuk menyesuaikan diri dalam lanskap global yang sentiasa berubah-ubah. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi