Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) giat memperkukuh penyelidikan dalam bidang teknologi nuklear bagi memacu kemajuan serantau serta memberikan manfaat terus kepada masyarakat.
Dalam temu bual secara langsung bersama-sama Bernama Radio menerusi program “Hello ASEAN”, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi menjelaskan bahawa peranan utama agensi tersebut adalah untuk menjalankan penyelidikan nuklear secara aman dengan memberikan tumpuan pada enam sektor utama, termasuklah perubatan, makanan, industri dan alam sekitar.

Beliau menegaskan bahawa teknologi nuklear yang dibangunkan lebih berorientasikan aplikasi penyelidikan dan tidak terhad kepada tenaga semata-mata.
Katanya, kemudahan reaktor penyelidikan serta sinaran gama di Nuklear Malaysia digunakan untuk pelbagai tujuan, misalnya mensterilkan peralatan perubatan, menyahkuman dokumen lama, buku, manuskrip dan artifak bersejarah, selain membasmi bakteria dan memanjangkan jangka hayat makanan.
Menyentuh isu keselamatan pula, beliau menyifatkan kebimbangan awam sebagai sesuatu yang positif kerana mendorong peningkatan standard keselamatan dan sekuriti.
Menurutnya, setiap aplikasi teknologi nuklear perlu melalui dua peringkat utama, iaitu penyelidikan dan perundangan agar benar-benar selamat digunakan, malah teknologi ini turut dimanfaatkan bagi menjamin keselamatan bekalan air minuman negara.
Dalam sesi perkongsian itu, beliau turut menekankan peranan Nuklear Malaysia sebagai penghubung dan peneraju pada peringkat antarabangsa dan serantau dalam bidang keselamatan nuklear yang merangkumi kerjasama rapat dengan agensi tempatan dan antarabangsa, termasuklah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
Jelas beliau,
Pada peringkat serantau, Nuklear Malaysia aktif melalui agenda ASEAN 2025, termasuklah penganjuran Nuclear Power Safety Research (NPSR) pada 8 hingga 10 September 2025 di Kuala Lumpur dan program Nuclear Leadership for Energy Transition dari 8 hingga 14 September 2025.
Sebagai tuan rumah, Nuklear Malaysia bertanggungjawab menganjurkan Mesyuarat NPSR yang dijangka akan menghasilkan pelan tindakan kerjasama penyelidikan keselamatan nuklear ASEAN, sekali gus menjadi panduan kepada inisiatif bersama pada masa hadapan.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, NPSR buat pertama kalinya diadakan di Malaysia, selaras dengan polisi penggiliran negara ASEAN yang menghimpunkan pakar serantau dalam penyelidikan keselamatan teknologi nuklear, seiring dengan tema “Inclusivity and Sustainability” ASEAN Malaysia 2025.
Sebagai Ketua Pengarah baharu yang dilantik pada 2 September 2025, YBrs. Dr. Muhammad Rawi menyatakan harapannya agar manfaat teknologi nuklear dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
Katanya,
Moto kami jelas, iaitu “Nuklear untuk Rakyat”, jadi kami mahu teknologi ini dilihat setanding dengan teknologi lain, sekali gus memastikan manfaatnya sampai kepada semua pihak.