Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSebanyak enam plot ekologi kekal jangka panjang bersaiz satu hektar telah diwujudkan pada tahun 2012 di bawah projek Tropical Ecology Assessment and Monitoring (TEAM). Projek ini merupakan usaha sama antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia, Conservation International dengan Center for Tropical Forest Science, Amerika Syarikat. Kajian utama yang dijalankan meliputi kajian flora, haiwan vertebrata dan perubahan iklim. Daripada enam plot tersebut, tiga plot (Plot 1, 2 dan 3) ditempatkan di Hutan Simpan Pasoh, manakala baki tiga plot (Plot 4, 5 dan 6) terletak di Hutan Simpan Kenaboi. Kedua-dua kawasan hutan ini terletak di Negeri Sembilan.
Pada tahun 2014, plot di Hutan Simpan Kenaboi telah ditutup dan digantikan dengan tiga plot baharu (Plot 7, 8 dan 9) di Hutan Simpan Pasoh. Penentuan lokasi plot dilakukan berdasarkan ciri topografi, iaitu dua plot di kawasan landai, dua plot di kawasan lereng dan dua plot lagi di kawasan permatang. Setiap plot berukuran 100 meter x 100 meter. Perincian mengenai plot ditunjukkan dalam Jadual 1, manakala lokasi plot digambarkan dalam Rajah 1.
Semua pokok dan liana yang mempunyai diameter paras dada sekurang-kurangnya 10 sentimeter dan ke atas telah diberikan nombor, dipetakan, diukur dan dikenal pasti spesiesnya. Sejak penubuhannya, plot ini dibanci pada setiap tahun dan akan terus dipantau, dibanci dan diselenggara pada masa akan datang.
Jadual 1 Maklumat plot ekologi kekal jangka panjang bersaiz satu hektar di Hutan Simpan Pasoh.

Secara keseluruhannya, penubuhan plot ekologi kekal jangka panjang bertujuan untuk mengkaji demografi dan dinamik hutan dalam sesuatu ekosistem bagi tempoh yang berpanjangan. Bancian yang dijalankan secara berulang membolehkan penghasilan data kuantitatif dan kualitatif yang bersiri serta sistematik, sekali gus menyokong analisis saintifik yang lebih tepat dan bermakna. Data yang diperoleh merangkumi komposisi flora dan fauna, struktur dirian, kandungan biojisim di atas dan di bawah tanah serta kehadiran spesies endemik dan terancam.
Maklumat ini membantu penyelidik untuk memahami ekosistem hutan secara lebih menyeluruh dan seterusnya menyokong usaha pengurusan hutan secara lestari. Di samping itu, data jangka masa panjang yang dikumpulkan amat penting dalam merancang strategi pengurusan dan pemeliharaan hutan, khususnya dalam menghadapi perubahan iklim serta kesan aktiviti manusia terhadap ekosistem.

Komposisi Pokok
Data daripada enam plot telah digabungkan dan dianalisis bagi tempoh 11 tahun, iaitu dari tahun 2014 hingga tahun 2024 untuk menilai status kepelbagaian pokok dan stok biomas. Proses pembersihan serta analisis data dilaksanakan dengan menggunakan perisian R.
Hasil analisis menunjukkan bahawa 10 famili pokok dengan bilangan individu tertinggi ialah Dipterocarpaceae, diikuti oleh Euphorbiaceae, Fabaceae, Fagaceae, Moraceae, Rubiaceae, Burseraceae, Sapindaceae, Annonaceae dan Verbenaceae. Pada peringkat genus dan palma pula, 10 genus teratas dengan bilangan pokok tertinggi ialah Shorea (Sensu lato), Sapium, Artocarpus, Hopea, Vitex, Syzygium, Aidia, Xerospermum, Diospyros dan Oncosperma. Sementara itu, bagi peringkat spesies, 10 spesies pokok dan palma dengan bilangan individu tertinggi ialah Sapium baccatum, diikuti oleh Vitex gamosepala, Hopea dryobalanoides, Xerospermum noronhianum, Oncosperma horridum, Sapium discolor, Shorea leprosula, Aidia densiflora, Dendrocnide stimulans dan Melicope glabra seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 2.
Jadual 2 Famili, genus pokok dan palma serta spesies dengan bilangan individu tertinggi dalam plot ekologi kekal jangka panjang bersaiz satu hektar di Hutan Simpan Pasoh.

Untuk kumpulan liana, 10 famili dengan bilangan individu tertinggi ialah Apocynaceae, diikuti oleh Vitaceae, Fabaceae dan Malvaceae, manakala Annonaceae, Celastraceae, Combretaceae, Connaraceae, Rhamnaceae serta Rubiaceae masing-masing hanya direkodkan dengan satu individu. Dari segi genus, empat genus dengan bilangan individu tertinggi ialah Ampelocissus, Willughbeia, Byttneria dan Millettia, manakala Combretum, Coptosapelta, Fissistigma, Rourea, Salacia serta Ventilago masing-masing hanya mencatatkan satu individu.
Pada peringkat spesies pula, Ampelocissus spicigera mencatatkan bilangan individu tertinggi, diikuti oleh Byttneria maingayi. Sementara itu, spesies lain seperti Combretum nigrescens, Coptosapelta tomentosa, Fissistigma fulgens, Millettia chrysophylla, Millettia sericea, Rourea acutipetala, Salacia maingayi, Ventilago oblongifolia, Willughbeia angustifolia, Willughbeia oblonga dan Willughbeia tenuiflora masing-masing hanya mempunyai satu individu seperti pada Jadual 3.
Jadual 3 Famili, genus dan spesies Lianas dengan bilangan individu tertinggi dalam plot ekologi kekal jangka panjang bersaiz satu hektar di Hutan Simpan Pasoh.

Selain analisis gabungan data enam plot bagi tempoh 11 tahun, analisis turut dijalankan secara berasingan untuk setiap plot bagi menilai kepelbagaian spesies dalam plot dan antara plot. Data dianalisis dengan menggunakan perisian R. Indeks Parametrik Alpha Fisher digunakan untuk menilai kepelbagaian spesies dalam setiap plot, manakala Indeks Jaccard digunakan untuk menilai kepelbagaian spesies antara plot.
Plot 2 merekodkan bilangan spesies tertinggi dengan nilai Indeks Alpha 122.8, diikuti oleh Plot 1 (112.4), Plot 9 (105.4), Plot 7 (98.2), Plot 8 (92.2) dan Plot 3 (47.9). Berdasarkan Rajah 2, Plot 1 (warna jingga cerah) dan Plot 2 (kuning cerah) menunjukkan sedikit persamaan dalam komposisi spesies yang ditunjukkan melalui kawasan bertindih antara kedua-dua warna tersebut. Sementara itu, Plot 3 (hijau), Plot 7 (biru cerah), Plot 8 (biru gelap) dan Plot 9 (ungu) masing-masing menampilkan komposisi spesies yang lebih berbeza.
Secara keseluruhannya, kepelbagaian spesies di Plot 1, 2 dan 9 didapati lebih tinggi berbanding dengan kepelbagaian spesies yang direkodkan di plot 50 hektar Hutan Simpan Pasoh.
Jadual 4 Kepelbagaian spesies dalam plot.


Jumlah Biomas Pokok
Pengiraan biomas pokok bagi plot satu hektar dilakukan dengan menggunakan fungsi alometrik biojisim. Bagi biomas di atas tanah (AGB), formula Kueh & Lim (1999) digunakan kerana formula ini dibangunkan berdasarkan data dari Hutan Simpan Pasoh, manakala biomas di bawah tanah (BGB) dikira dengan menggunakan formula Niiyama (2010).
Rajah 3 menunjukkan jumlah biomas bagi setiap plot sepanjang tempoh 11 tahun (tahun 2014 hingga tahun 2024). Hasil analisis mendapati bahawa:

Sebagai kesimpulannya, analisis data selama 11 tahun daripada enam plot menunjukkan bahawa famili Dipterocarpaceae, genus Shorea (Sensu lato) dan spesies Sapium baccatum merupakan kumpulan pokok yang paling dominan. Bagi liana, famili Apocynaceae, genus Ampelocissus serta spesies Ampelocissus spicigera mencatatkan bilangan individu tertinggi. Dapatan ini memberikan gambaran yang jelas tentang pola dominasi flora berkayu dan liana dalam ekosistem hutan yang dikaji, sekali gus menjadi asas penting bagi pemantauan biodiversiti dan strategi pengurusan hutan secara lestari.
Analisis kepelbagaian spesies dengan menggunakan Indeks Parametrik Alpha Fisher dan Indeks Jaccard menunjukkan bahawa Plot 2 merekodkan bilangan spesies tertinggi, diikuti oleh Plot 1 dan Plot 9. Plot 1 dan Plot 2 berkongsi sedikit persamaan dalam komposisi spesies, manakala Plot 3, 7, 8 dan 9 menampilkan perbezaan yang lebih ketara. Secara keseluruhannya, kepelbagaian spesies di Plot 1, 2 dan 9 adalah lebih tinggi berbanding dengan plot 50 hektar Hutan Simpan Pasoh, sekali gus membuktikan kepentingan plot ini dalam pemantauan biodiversiti hutan.
Selain itu, pengiraan biomas dengan menggunakan formula Kueh & Lim (1999) bagi AGB dan Niiyama (2010) bagi BGB pula menunjukkan bahawa jumlah biomas setiap plot berubah-ubah sepanjang tempoh 11 tahun, tetapi kekal konsisten dari segi perbandingan relatif antara plot. Plot 3 merekodkan biomas tertinggi walaupun mempunyai kepelbagaian spesies terendah, didorong oleh kehadiran beberapa pokok bersaiz besar. Sebaliknya, Plot 8 mencatatkan biomas terendah dengan bilangan pokok besar yang jauh lebih sedikit berbanding dengan Plot 3. Oleh hal yang demikian, dapatan ini menunjukkan bahawa stok biomas lebih dipengaruhi oleh saiz pokok berbanding dengan kepelbagaian spesies.
Salleh Mat, Yao Tze Leong dan Musalmah Nasardin, Pegawai Penyelidik, Cawangan Ekologi Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.