Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Sebagai usaha menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat melalui aktiviti kesihatan yang memberikan manfaat kepada masyarakat, Program Derma Darah Siri 1 Tahun 2025 anjuran Skuad First Aider, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) telah berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Blok 11, Nuklear Malaysia, semalam.

Penganjuran kempen ini mendapat sambutan yang positif apabila sebanyak 96 orang warga kerja Nuklear Malaysia hadir mendaftar dan sebanyak 70 pendermaan darah berjaya direkodkan.

Warga kerja Nuklear Malaysia semasa menunggu giliran untuk pemeriksaan kesihatan sebelum menderma darah.

Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 59.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, iaitu daripada 44 orang kepada 70 orang penderma, sekali gus mencerminkan komitmen tinggi warga kerja Nuklear Malaysia terhadap amalan murni menderma darah.

Namun demikian, sebanyak 26 orang peserta tidak dapat meneruskan pendermaan kerana faktor kesihatan yang dikenal pasti oleh petugas perubatan, misalnya tahap hemoglobin rendah, tekanan darah tidak stabil, kurang rehat serta tidak memenuhi syarat pendermaan pada hari tersebut.

Seorang penderma kali pertama, Puan Rosiah Husain dari Bahagian Khidmat Pengurusan, Nuklear Malaysia berkata,

Pada mulanya saya agak gementar, tetapi dengan bimbingan petugas PDN, prosesnya menjadi mudah dan selesa serta saya berasa bangga kerana dapat menyumbang sesuatu yang bermakna untuk orang lain.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kesihatan, Nuklear Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Husaini Salleh yang juga penderma tetap, menegaskan bahawa menderma darah memberikan kepuasan yang tersendiri.

Menurut beliau, menderma darah menjadi motivasi kepada dirinya untuk sentiasa menjaga kesihatan agar layak menderma.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah penderma selepas berjaya menyumbangkan darah untuk membantu pihak yang memerlukan.

Terdapat juga peserta yang tidak dapat menderma darah disebabkan oleh faktor kesihatan, namun tetap bersemangat untuk mencuba lagi pada masa akan datang.

Kejayaan penganjuran program ini membuktikan kesedaran tinggi warga Nuklear Malaysia terhadap kepentingan amalan menderma darah sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial dan kemanusiaan.

Menurut pihak penganjur, selain membantu menambah stok bekalan darah negara, program ini juga bertujuan untuk memupuk budaya prihatin serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam.

Nuklear Malaysia sentiasa komited untuk terus menganjurkan program berimpak positif seumpama ini pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha dalam menyokong kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negara.

Warga kerja Nuklear Malaysia bergambar bersama-sama Pasukan Pusat Derma Darah.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi