Diterbitkan pada 21 Ogos 2025, 20:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuantan – Sebanyak 97 orang penderma darah berjaya mendermakan darah mereka dalam Program Derma Darah anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Kelab Keluarga Kumpulan PKNP dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia PKNP bersempena dengan Karnival Mini Kesihatan bersempena dengan Sambutan 60 Tahun PKNP di ruang legar Kompleks Teruntum, semalam.

Presiden Kelab Keluarga Kumpulan PKNP, Encik Rahmat Hussin menyampaikan cenderamata kepada penderma darah.

Program ini turut mendapat kerjasama daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh, Sultan Ahmad Shah Medical Centre @IIUM serta Kuliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kuantan.

Dalam program tersebut, seramai 136 orang tampil mendaftar sebagai penderma darah, namun hanya 97 orang layak manakala 39 orang terpaksa digugurkan kerana faktor kesihatan dan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.

Antara penderma yang mendermakan darah.

Seorang daripada penderma darah, Encik Mohd Azrulshazuan Mohd Raffi menyatakan bahawa dirinya telah mendermakan darah untuk kali yang kelima pada kali ini.

“Saya bersyukur kerana tidak pernah mengalami sebarang kesan sampingan selepas pendermaan asalkan memperbanyak minum air dan mengurangkan aktiviti berat menggunakan tangan yang telah didermakan,” katanya.

Sementara itu, Encik Rahzuan Rahim pula berkata, beliau bertekad untuk menjadikan amalan ini sebagai rutin.

“Saya mahu terus menderma selagi layak kerana percaya setiap titisan darah mampu menyelamatkan sesiapa sahaja yang memerlukan,” ujarnya yang menjadi penderma buat kali pertama.

Penderma darah seterusnya, Encik Mohammad Norhafizie Suhaimi pula berpandangan bahawa aktiviti dan program seumpama ini amat bermanfaat kepada masyarakat.

“Program sebegini amat membantu pihak hospital mengekalkan simpanan darah demi keperluan pesakit,” katanya.

Semua penderma darah yang layak menderma diberikan sijil penyertaan digital dan cenderamata sebagai tanda penghargaan atas kesudian menjadi wira kepada negara dalam membantu mengumpulkan bekalan darah di hospital setempat.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi