Diterbitkan pada 19 Ogos 2025, 13:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hutan paya gambut adalah antara ekosistem yang misteri dan penting di muka bumi. Keunikan hutan ini terletak pada dua identiti utama. Pertama, hutan ini merupakan hutan tropika yang tumbuh subur dan kaya dengan pelbagai hidupan. Kedua, hutan ini tumbuh subur di atas span yang luas dan berair daripada bahan organik separa reput yang dikenali sebagai gambut.

Gabungan air, tanah, dan proses semula jadi di hutan paya gambut mewujudkan habitat yang kaya dengan pelbagai kehidupan. Pada masa yang sama, hutan ini juga berfungsi sebagai satu daripada kawasan simpanan karbon yang penting di dunia.

Kebanyakan tumbuhan mempunyai adaptasi untuk bertahan dalam keadaan tanah yang tepu air dan kekurangan oksigen pada akar.

Untuk menghargai kepentingan hutan paya gambut, adalah penting untuk membezakan antara tiga istilah yang saling berkaitan, iaitu gambut, tanah gambut dan hutan paya gambut. Gambut ialah tanah yang mengandungi sekurang-kurangnya 65 peratus bahan organik hingga kedalaman sekurang-kurangnya 50 sentimeter dalam lapisan atas 100 sentimeter tanah.

Tanah gambut pula merujuk kawasan yang tanah gambutnya telah terkumpul secara semula jadi dari semasa ke semasa meliputi lebih daripada 0.5 hektar. Tanah gambut berkemungkinan mempunyai atau tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dan boleh sama ada berair ataupun tidak berair.

Hutan paya gambut melibatkan tanah yang meliputi lebih daripada 0.5 hektar dan mempunyai pokok yang lebih tinggi daripada lima meter. Litupan kanopinya pula lebih daripada 30 peratus atau pokok yang mampu mencapai ambang ini secara in situ (di tempat asalnya).

Frasa “atau” memberikan alternatif kepada kawasan yang mungkin pada waktu ini belum memenuhi kriteria ketinggian dan litupan kanopi tetapi berpotensi untuk berkembang dan mencapai tahap ambang tersebut di lokasi asalnya pada masa hadapan. Hal ini juga boleh merujuk kawasan hutan paya gambut muda atau kawasan yang sebahagiannya mengalami kemerosotan, namun masih memiliki bibit atau anak pokok daripada spesies yang sama yang akan tumbuh menjadi hutan dengan ciri yang dinyatakan.

Sifat umum hutan paya gambut termasuklah keadaan tanah dan airnya yang berasid. Selain itu, kawasan ini didominasi oleh air (sekitar 90 peratus), kandungan tanah gambut yang sedikit (hanya 10 peratus) dan kadar oksigen di dalamnya rendah. Secara semula jadi, hutan paya gambut lazimnya tumbuh selepas hutan paya bakau di kawasan persisiran pantai dan meliputi kira-kira tiga kilometer hingga lima kilometer dataran landai sungai.

Selain itu, air di kawasan paya gambut biasanya berwarna keperang-perangan atau hitam disebabkan oleh kehadiran bahan humus serta memiliki nilai pH yang sedikit rendah, iaitu antara tiga hingga lima. Hutan ini mendapat sumber air utamanya melalui curahan hujan, selain sumber air tambahan seperti kolam takungan, sungai, tasik dan telaga tiub yang dipasang untuk tujuan tertentu.

Warna gelap dan keasidan air di hutan paya gambut disebabkan oleh penguraian bahan organik yang menghasilkan asid humik dan fulvik, keadaan anaerobik dengan produk sampingan berasid, saliran yang kurang baik sehingga terjadinya pengumpulan asid serta kandungan mineral tanah yang rendah. Sifat khas ini mencirikan ekosistem hutan paya gambut dan mempengaruhi keanekaragaman flora dan fauna di dalamnya.

Hutan Paya Gambut di Malaysia

Berdasarkan laporan oleh Jabatan Pertanian Malaysia tahun 2023, Malaysia memiliki sekitar 2.56 juta hektar tanah gambut yang luasnya mencakupi 7.75 peratus daripada keseluruhan daratan Malaysia. Daripada jumlah tersebut, Sarawak memiliki tanah gambut terluas, iaitu 1.65 juta hektar (4.98 peratus daripada keseluruhan luas Malaysia), diikuti oleh Sabah dengan 200 600 hektar (0.61 peratus) dan Semenanjung Malaysia dengan 713 773 hektar (2.16 peratus).

Laporan Perangkaan Perhutanan Semenanjung Malaysia pada tahun 2015 pula melaporkan bahawa jumlah keseluruhan hutan paya gambut di Semenanjung Malaysia ialah 253 477 hektar. Pahang mempunyai litupan hutan paya gambut terbesar, iaitu sebanyak 140 830 hektar diikuti oleh Selangor (82 890 hektar), Terengganu (25 931 hektar) dan Johor (3796 hektar).

Antara hutan paya gambut yang terkenal di Malaysia termasuklah Hutan Paya Gambut Pahang Tenggara, Hutan Paya Gambut Selangor Utara dan Taman Negara Maludam di Sarawak. Pada kebiasaannya, hutan ini ditemukan di kawasan tanah rendah berhampiran dengan pantai atau di sepanjang lembangan sungai yang sentiasa berair. Situasi ini memainkan peranan yang penting dalam penyimpanan karbon dan pemuliharaan biodiversiti.

Kepentingan Hutan Paya Gambut

Hutan paya gambut merupakan ekosistem yang luar biasa dan kompleks, sekali gus menjadi tumpuan utama biodiversiti serta memainkan peranan penting dalam kelestarian alam sekitar. Keunikan hutan ini terletak pada keupayaannya menyokong pelbagai spesies flora dan fauna.

Sebagai contoh, hutan paya gambut di Malaysia merupakan habitat bagi spesies terancam seperti orang utan, burung enggang, tapir Malaya dan harimau bintang serta spesies tumbuhan seperti ramin (Gonystylus bancanus) dan durian paya (Durio carinatus). Selain berperanan sebagai habitat, hutan ini menjadi benteng semula jadi yang menyumbang kepada biodiversiti global.

Lebih daripada sekadar kawasan berpaya, hutan paya gambut bertindak sebagai penyerap karbon yang efektif dan menyimpan sejumlah besar karbon dalam lapisan gambut yang terbentuk selama ribuan tahun, sekali gus menjadikannya antara penyimpan karbon yang terbesar di dunia. Keupayaan ini menjadikan hutan paya gambut sebagai elemen penting dalam usaha mengurangkan kesan perubahan iklim global.

Dari aspek hidrologi pula, hutan ini berfungsi sebagai takungan air semula jadi, membantu mengawal selia aliran air, menstabilkan paras air tanah dan mengurangkan risiko berlakunya banjir dan kemarau. Keseimbangan air yang dikekalkan oleh hutan ini turut memastikan kelestarian sistem sungai dan bekalan air kepada kawasan sekitarnya.

Tidak ketinggalan, hutan paya gambut juga memberikan manfaat ekonomi kepada komuniti tempatan, misalnya menjadi sumber hasil hutan seperti kayu, madu dan ikan yang menyokong mata pencarian penduduk. Selain itu, potensi ekopelancongan yang ditawarkan oleh keunikan landskap dan kepelbagaian hayatnya membuka ruang kepada pembangunan ekonomi berasaskan kelestarian.

Hutan paya gambut merupakan khazanah alam yang perlu dihargai dan menjadi aset negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, memelihara biodiversiti dan menyokong kesejahteraan komuniti tempatan. Tindakan untuk melindungi dan memulihara ekosistem ini juga bukan lagi menjadi pilihan, malah merupakan keperluan yang mendesak serta perlu dilakukan dengan segera.

Cabaran Ekosistem Tanah Gambut

Di sebalik kehijauan yang tenang, hutan paya gambut di Malaysia berdiri atas dasar yang rapuh, iaitu bergantung sepenuhnya pada kestabilan hidrologi yang halus dan sensitif. Paras air bawah tanah menjadi nadi utama ekosistem ini, ibarat urat yang mengalirkan kehidupan kepada setiap inci tanahnya. Sekecil-kecil perubahan pada paras ini mampu mengganggu keseluruhan sistem seperti menghalang pengumpulan gambut, mengubah rupa bumi dan menggugat kestabilan habitat.

Topografi hutan yang terbentuk secara semula jadi oleh pengumpulan bahan organik yang tidak terurai ini berfungsi sebagai pengatur aliran air bawah tanah, iaitu memastikan air mengalir perlahan-lahan ke arah sungai dengan bantuan tanah gambut yang tidak telap air. Namun demikian, keseimbangan ini mudah tergugat oleh proses sejatpeluhan, iaitu gabungan penyejatan air dan transpirasi tumbuhan yang mengurangkan jumlah air dalam sistem secara signifikan. Apabila musim kemarau melanda dan hujan menjadi sedikit, paras air merosot secara drastik serta mengakibatkan tanah gambut terdedah dan kering, sekali gus menjadikannya mudah terbakar.

Cabaran yang disebabkan oleh tangan manusia turut menyumbang kepada keretakan ekosistem ini. Penebangan hutan untuk pembukaan ladang dan pertanian skala kecil serta pembinaan parit tanpa kawalan berupaya mengubah corak aliran air semula jadi dan memaksa tanah menjadi haus dan rapuh. Parit yang berada di dalam bekas tinggalan pembalakan atau usaha pertanian telah mengakibatkan paras air bawah tanah menjunam antara 30 sentimeter hingga 70 sentimeter di bawah permukaan, terutamanya ketika musim panas.

Dalam keadaan ini, tanah gambut yang dahulunya lembap dan tidak mudah terbakar, kini berubah menjadi perangkap api. Apabila sekali terbakar, hutan paya gambut sukar dipadamkan kerana api menjalar ke dalam perut bumi dan membakar gambut yang padat dalam diam. Kebakaran ini bukan sahaja menghapuskan ribuan tahun sejarah ekologi, malah menyumbang kepada pelepasan karbon dalam jumlah yang membimbangkan, sekali gus menjadikan langit kelam disebabkan oleh jerebu yang menyesakkan, menggugat biodiversiti dan kesihatan masyarakat sekeliling.

Inilah ironinya hutan paya gambut, lautan kehidupan yang subur, namun berdiri di atas jurang kemusnahan. Pada satu sisi, hutan paya gambut menyimpan ribuan tahun sejarah alam, menyokong pelbagai spesies endemik dan menjadi kubu terakhir karbon semula jadi tropika.

Namun demikian, pada sisi lain pula, hutan ini rapuh, mudah tergugat oleh tangan manusia dan perubahan iklim yang semakin mencengkam. Mengapakah berlaku hal sebegitu? Hal ini dikatakan demikian kerana kelangsungan hutan paya gambut sangat bergantung pada kestabilan air bawah tanah.

Apabila sistem hidrologi ini terganggu, sama ada oleh musim kemarau panjang, pembinaan parit yang tidak terkawal atau aktiviti penebangan hutan, seluruh ekosistem terdedah kepada risiko kebakaran, kemusnahan biodiversiti dan pelepasan karbon pada skala yang dahsyat. Apabila hutan paya gambut kering, hutan ini berisiko menjadi bahan bakar semula jadi dan api yang menyala boleh menjalar ke dalam tanah selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

Usaha Pemuliharaan

Usaha untuk menjaga hutan paya gambut adalah menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memastikan kelangsungan ekosistem unik ini. Usaha ini memerlukan gabungan antara disiplin saintifik, dasar yang kukuh dengan komitmen jangka masa panjang.

Pertama, pemantauan hidrologi yang teliti dengan menggunakan teknologi moden seperti penderia aras air, sistem amaran awal dan peta risiko kebakaran perlu dijadikan amalan tetap. Perkara ini membantu masyarakat untuk mengenal pasti kawasan yang berisiko tinggi sebelum sesuatu bencana berlaku.

Kedua, sistem perparitan hendaklah direka dengan cermat dan dikawal rapi. Parit pertanian dan bekas jalan pembalakan sering menyebabkan air keluar dari tanah gambut. Dengan mengawal aliran ini, kelembapan yang diperlukan dapat dikekalkan bagi memastikan tanah kekal lembap dan tidak mudah terbakar.

Ketiga, dasar perlindungan yang berani dan tegas perlu dikuatkuasakan dengan melibatkan penguatkuasaan undang-undang terhadap penerokaan tanah haram, pemulihan kawasan gambut yang telah rosak dan pemuliharaan hutan paya gambut sedia ada. Pelibatan komuniti tempatan juga amat penting kerana individu inilah yang menjadi mata dan telinga di lapangan serta menjadi penjaga hutan sebenar yang mampu melindungi warisan ini jika diberikan peluang dan sokongan.

Malaysia sebagai satu daripada negara yang memiliki kawasan hutan paya gambut yang signifikan di rantau tropika telah mengiktiraf kepentingan ekosistem ini dalam pelbagai aspek, sama ada dari segi kestabilan iklim, biodiversiti sehinggalah kepada kesejahteraan komuniti setempat. Oleh hal yang demikian, tidak hairanlah beberapa dasar kebangsaan dan pelan tindakan telah dirangka dan dilaksanakan bagi memastikan pemeliharaan dan pengurusan lestari ekosistem hutan paya gambut.

Antara polisi dan pelan tindakan yang berkaitan dengan pengurusan ekosistem hutan paya gambut termasuklah Pelan Tindakan Hutan Paya Gambut Kebangsaan, Dasar Perhutanan Negara 1978, Dasar Tanah Negara, Dasar Biodiversiti Kebangsaan dan Dasar Perubahan Iklim Negara. Selain itu, Malaysia merupakan ahli aktif ASEAN dan telah melaksanakan strategi pengurusan gambut serantau dengan penekanan terhadap pengurangan kebakaran, pengurusan air tanah dan penilaian impak pembangunan. Malaysia juga menjalankan pelbagai program pemulihan, terutamanya di bawah kerjasama Malaysia bersama-sama ASEAN dan organisasi antarabangsa seperti Global Environment Facility melalui pemulihan hidrologi dan penanaman semula spesies asli gambut.

Secara keseluruhannya, Malaysia telah menunjukkan komitmen yang kukuh dalam melindungi ekosistem gambut melalui pelbagai dasar dan pelan tindakan yang menyeluruh. Namun demikian, kejayaan jangka masa panjang memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan penguatkuasaan, sains, komuniti dan pembiayaan yang mampan. Pemerkasaan komuniti tempatan sebagai penjaga ekosistem dan integrasi pengetahuan tradisional dalam pemuliharaan perlu digiatkan. Selain itu, penyelidikan yang berterusan dalam pemetaan, pemantauan karbon dan keupayaan adaptasi ekosistem gambut terhadap perubahan iklim juga harus dipertingkatkan.

 

Marryanna Lion (Pegawai Penyelidik) dan Muhammad Nazhif Ismail (Pelajar Latihan Industri), Program Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Cawangan Ekohidrologi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi