Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMalaysia mempunyai kepelbagaian ekosistem hutan yang unik, menarik dan terkenal dengan kepelbagaian diversiti flora dan fauna. Malaysia juga tersenarai sebagai antara 12 negara megadiversiti di dunia.
Terdapat lebih daripada 10 ekosistem hutan semula jadi yang terdapat di Malaysia, termasuklah hutan dipterokarpa pamah, hutan paya laut, hutan paya air tawar, hutan gambut, hutan pantai, hutan gunung dan hutan kerangas. Berbeza daripada hutan lain seperti hutan dipterokarpa pamah yang boleh ditemukan di kebanyakan tempat di Malaysia, hutan kerangas merupakan sebuah ekosistem hutan yang unik dan jarang-jarang ditemukan.
Hutan kerangas biasanya ditemukan di kepulauan Borneo dan kepulauan Indonesia seperti Belitung dan Bangka. Di Semenanjung Malaysia pula, hutan kerangas ditemukan di beberapa kawasan seperti Terengganu, Pahang, Johor dan Perak.
Perkataan kerangas dipercayai berasal daripada perkataan Iban yang bermaksud tanah yang tidak boleh digunakan untuk menanam padi. Tidak seperti mana-mana hutan malar hijau lain yang tumbuh di tanah yang subur, hutan kerangas tumbuh di atas tanah yang tidak subur dan berasid.
Antara ciri lain hutan kerangas termasuklah keadaan tanah yang kering, berpasir dan bersuhu tinggi pada musim kemarau. Keadaan tanah yang kurang subur dan rendah nutrien di dalam tanah menyebabkan hutan kerangas kekurangan kepelbagaian flora dan fauna berbanding dengan hutan tanah pamah yang subur. Kebanyakan pokok yang tumbuh di sini bersaiz kecil dan mempunyai lapisan kanopi yang rendah. Beberapa tumbuh-tumbuhan yang boleh ditemukan di hutan kerangas adalah seperti Leptospermum flavescens, Podocarpus polystachyus, Dacrydium elatum (pokok ru bukit) dan tumbuhan jenis karnivor, iaitu Nepenthes sp. (pokok periuk kera).
Cotylelobium melanoxylon merupakan satu daripada spesies tumbuhan yang ditemukan di hutan kerangas. Di Semenanjung Malaysia, nama tempatan bagi spesies ini ialah resak batu, manakala di Sabah dan Sarawak, spesies ini dikenali sebagai resak batu atau resak hitam.
Cotylelobium merupakan genus tumbuhan dalam famili Dipterocarpaceae. Terdapat lima spesies dalam genus ini dan taburannya meliputi Sri Lanka, Thailand, Sumatera, kepulauan Borneo dan Semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun, hanya dua spesies yang ditemukan di Semenanjung Malaysia, iaitu Cotylelobium melanoxylon dan Cotylelobium lanceolatum.

Perkataan “melanoxylon” berasal daripada bahasa Latin yang bermaksud warna gelap dan merujuk warna kayu spesies ini. Spesies ini pertama kalinya dihuraikan oleh Joseph Dalton Hooker pada tahun 1860.
Di Semenanjung Malaysia, spesies ini ditemukan di kawasan timur laut Johor, iaitu di Hutan Simpan Tenggaroh, Hutan Simpan Gunung Arong dan Hutan Simpan Jemaluang serta Taman Negeri Rompin. Spesies ini juga mempunyai taburan yang lebih banyak di Sabah dan Sarawak dengan beberapa populasi ditemukan berada dalam kawasan taman negara yang dilindungi.
Populasi ini mendiami kawasan hutan kerangas dan boleh ditemukan di hutan dipterokarpa bukit yang mampu menjangkau hingga ketinggian 700 meter dari aras laut. Pada kebiasaannya, populasi Cotylelobium melanoxylon terletak tidak jauh dari kawasan pantai.
Pokok Cotylelobium melanoxylon adalah sejenis tumbuhan berkayu bersaiz sederhana besar dan boleh mencapai ketinggian silara hutan. Spesies ini mempunyai akar banir, berbatang lurus dan mencapai ukur lilit pokok hingga tiga meter. Bahagian batangnya pula berkulit licin dan berwarna kecerahan seakan-akan pokok resak semasa muda. Kulit batang pokok ini menjadi bersisik apabila mula matang.
Daunnya berbentuk ovat atau lanseolat, bersaiz kira-kira lapan sentimeter panjang dan empat sentimeter lebar serta mempunyai 12 pasang urat daun utama yang jelas. Bunganya bersaiz kecil dan berwarna putih krim. Seperti kebanyakan buah spesies dipterokarpa yang lain, buah Cotylelobium melanoxylon mempunyai dua sayap yang panjang dengan anggaran enam sentimeter panjang dan 1.5 sentimeter lebar serta berwarna hijau kekuningan.


Merujuk risalah penyelidikan Malaysia Red List-Plants of Peninsular Malaysia, status pemuliharaan Cotylelobium dikategorikan sebagai Terancam. Keadaan ini berpunca daripada taburan populasi yang terhad dan ancaman terhadap populasi yang sedia ada akibat kemerosotan dan kehilangan habitat asal.
Oleh hal yang demikian, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Johor telah mengambil langkah untuk melindungi tumbuhan ini dengan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa. Langkah pemuliharaan secara ex situ dijalankan dengan mengutip biji benih untuk disemai di tapak semaian dan ditanam di taman botani atau arboretum. Jabatan Perhutanan Negeri Johor pula telah mengambil inisiatif pemuliharaan secara in situ dengan menukar status kawasan populasi di Hutan Simpan Gunung Arong, Mersing sebagai Hutan Bernilai Pemeliharaan Tinggi atau High Conservation Value Forest (HCVF).


Dalam konteks panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, HCVF bermaksud suatu kawasan hutan yang mempunyai nilai ekonomi, nilai persekitaran dan sosial serta kawasan hutan yang dianggap luar biasa atau tahap kepentingan nilainya sangat tinggi dan dikategorikan sebagai kawasan hutan dalam hutan simpanan kekal. Oleh sebab itu, hutan ini perlu dilindungi dan diurus dengan berhati-hati bagi memastikan nilai tersebut terus kekal wujud. Tindakan pemuliharaan juga diambil bagi memastikan khazanah negara dipelihara dan diurus dengan cekap demi menjamin kelestariannya agar dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Suhaida Mustafa, Syahida Emiza Suhaimi dan Siti Munirah Mat Yunoh, Pegawai Penyelidik, Program Biodiversiti Flora, Bahagian Biodiversiti Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.