Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIsu jangkitan human immunodefiency virus (HIV) di Malaysia merupakan isu kesihatan awam yang tidak boleh dipandang enteng. Berdasarkan laporan terkini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertarikh 2 Julai 2025, sebanyak 83 937 kes HIV telah direkodkan sehingga tahun 2024. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 29 941 kes atau 36 peratus melibatkan individu yang tidak dapat dikenalpasti identitinya. Perkara ini menimbulkan kebimbangan kerana tahap pengesanan awal dan keupayaan untuk melaksanakan rawatan yang berkesan masih berada pada tahap yang membimbangkan.
Selain kelompok dewasa, jangkitan HIV turut dikesan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT). Pada tahun 2024, sebanyak 222 pelajar yang berumur antara 18 tahun hingga 19 tahun telah dikenal pasti menghidap HIV, manakala sejumlah 1091 kes direkodkan dari tahun 2020 hingga tahun 2024. Angka ini menunjukkan jangkitan HIV tidak terhad kepada kumpulan umur tertentu, bahkan melibatkan golongan pelajar yang sedang membina asas kehidupan.
Tumpuan terhadap isu ini perlu ditingkatkan atas beberapa sebab penting. Pertama, HIV kini bukan lagi penyakit yang terasing daripada wacana umum. Perkembangan teknologi dan akses terhadap maklumat kesihatan telah membuka ruang kepada masyarakat untuk lebih peka terhadap risiko penularan HIV. Namun demikian, peningkatan jumlah kes HIV menunjukkan masih wujudnya kekangan dalam aspek kesedaran, pencegahan dan pengesanan awal.
Kedua, pelajar IPT merupakan golongan muda yang sedang berada dalam fasa pembentukan sahsiah dan peranan dalam pembangunan negara. Sekiranya isu HIV dalam kalangan mereka dibiarkan tanpa intervensi yang berkesan, kesannya akan meluas kepada keupayaan produktif dan kesejahteraan sosial dalam jangka masa panjang.
Di Sebalik Data: Siapakah yang Terlibat?
Angka 83 937 kes jangkitan HIV yang dilaporkan bukan sekadar statistik. Di sebalik setiap angka tersebut, wujud wajah dan latar belakang individu yang membawa pelbagai kisah kehidupan yang jarang-jarang didengarkan, termasuklah kumpulan pelajar, belia, golongan pekerja dan komuniti yang sering terpinggir daripada perhatian umum.
Dalam kalangan kumpulan yang dikenal pasti, pelajar IPT muncul sebagai satu daripada kelompok yang semakin terdedah. Perkara ini memberikan isyarat bahawa pelajar yang dahulunya dilihat kurang berisiko, kini turut berada dalam kumpulan berisiko tinggi. Isu ini berkait rapat dengan keterbukaan sosial yang tidak disertai kefahaman yang tepat, akses kepada maklumat yang mengelirukan tentang seks selamat serta kekurangan pendidikan kesihatan seksual yang menyeluruh pada peringkat formal.
Golongan belia turut menyumbang kepada peningkatan kes baharu. Berdasarkan Laporan Program HIV/AIDS Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lebih 70 peratus kes baharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini melibatkan individu yang berumur antara 20 tahun hingga 39 tahun. Situasi ini selari dengan pola global, apabila belia cenderung terdedah kepada tingkah laku seksual yang tidak selamat, penggunaan dadah secara suntikan dan ketidaktahuan terhadap status kesihatan diri. Keadaan ini menjadi lebih rumit apabila kesedaran terhadap ujian saringan masih rendah dalam kalangan muda yang aktif secara sosial.
Selain pelajar dan belia, terdapat satu lagi kelompok penting yang sering dikecualikan daripada perbincangan umum, iaitu komuniti yang tersembunyi. Golongan ini termasuklah lelaki yang melakukan hubungan sejenis, pekerja seks, pengguna dadah suntikan dan transgender. Individu daripada komuniti ini sering berhadapan dengan pelbagai bentuk halangan seperti diskriminasi sosial, stigma kesihatan dan kekangan terhadap akses rawatan. Kebanyakan daripada mereka tidak muncul dalam statistik rasmi kerana bimbang dikenakan tindakan undang-undang atau ditolak oleh persekitaran sosial.
Walaupun kumpulan ini sering dikaitkan dengan kadar jangkitan yang tinggi, penularan HIV kini telah merentas sempadan kumpulan “tradisional”. Isu ini telah menjadi cabaran kesihatan awam yang memberikan kesan kepada semua, tanpa mengira latar agama, kaum, jantina atau tahap pendidikan. Pandangan bahawa jangkitan HIV hanya melibatkan komuniti tertentu sudah tidak lagi relevan dalam konteks semasa.
Perhatian kini wajar diberikan kepada golongan muda yang semakin terdedah. Walaupun dilihat sebagai generasi celik teknologi dan maklumat, hakikatnya akses kepada maklumat sahaja tidak mencukupi untuk mengubah tingkah laku. Dalam persekitaran sosial yang masih dibelenggu dengan stigma, kesangsian, dan kekeliruan tentang HIV, keupayaan untuk membuat keputusan yang tepat berkaitan dengan kesihatan seksual masih terhad.
Ketakutan, Stigma dan Salah Faham: Halangan Terbesar dalam Menangani HIV
Mengapakah sehingga kini masih terdapat 29 941 kes HIV yang belum dikenal pasti identitinya? Adakah kebimbangan terhadap virus itu yang menjadi punca atau adakah ketakutan terhadap pandangan masyarakat yang lebih menghukum berbanding dengan memahami? Dalam dunia yang kononnya semakin terbuka, masih banyak yang memilih untuk berdiam diri daripada mengetahui status kesihatan sendiri. Stigma yang berakar dalam persepsi sosial terus menjadi penghalang utama kepada pencegahan dan rawatan HIV.
Label seperti “tidak bermoral”, “berpenyakit” dan “pengaruh buruk” terus diulang tanpa rasa empati. Dalam sesetengah keadaan, kesan daripada label sebegini mampu memberikan tekanan psikologi yang lebih berat berbanding dengan jangkitan itu sendiri. Persoalan yang wajar diberikan perhatian kini ialah adakah masyarakat benar-benar bersedia untuk mendengar tanpa membuat penilaian, memberikan sokongan tanpa prasyarat dan membantu tanpa prasangka?
Lebih empat dekad telah berlalu sejak HIV mula dikenal pasti sebagai ancaman global. Namun begitu, stigma terhadap individu yang hidup dengan HIV masih wujud dalam pelbagai bentuk. Pelajar institusi pengajian tinggi, misalnya, termasuk dalam kelompok yang terdedah kepada tekanan sosial. Keinginan untuk menjalani ujian saringan sering terbantut oleh rasa takut terhadap kemungkinan maklumat peribadi tidak dirahsiakan. Dalam persekitaran kampus yang tertutup dan dipengaruhi budaya gosip, tindakan untuk menjalani saringan dianggap berisiko tinggi dari sudut reputasi peribadi. Kebimbangan terhadap penolakan sosial, penghinaan dan pengasingan menjadi antara penyebab utama pelajar memilih untuk terus menyembunyikan kebimbangan sendiri, walaupun menyedari pernah melakukan tingkah laku berisiko.
Salah faham berkaitan dengan HIV turut menambahkan beban kepada isu stigma. Masih terdapat kepercayaan bahawa jangkitan HIV hanya berlaku dalam kalangan “golongan tertentu” atau boleh tersebar melalui sentuhan biasa seperti bersalaman atau berkongsi makanan. Kepercayaan ini tidak sahaja tidak berasaskan fakta, malah menggalakkan ketakutan yang tidak perlu serta menjejaskan usaha ke arah penerimaan dan sokongan sosial. Kekeliruan ini juga membentuk halangan dalam usaha mewujudkan ruang yang selamat untuk individu yang ingin mendapatkan bantuan dan rawatan.
Lebih membimbangkan, stigma tidak hanya lahir daripada masyarakat umum. Terdapat laporan bahawa sesetengah individu yang hadir ke kemudahan kesihatan telah menghadapi layanan yang tidak mesra, disoal dengan nada sinis dan kurang diyakinkan tentang kerahsiaan maklumat mereka. Keadaan ini menjejaskan kepercayaan terhadap sistem kesihatan, selain menyebabkan ramai individu enggan mendapatkan rawatan awal yang penting dalam pengurusan jangkitan HIV.
Kesan keseluruhan daripada fenomena ini amat besar. Bukan sahaja terhadap kesejahteraan individu yang dijangkiti, malah terhadap keberkesanan pelaksanaan dasar kesihatan awam negara. Selagi ketakutan dan stigma terus menguasai cara masyarakat berfikir dan bertindak, segala usaha pencegahan dan rawatan akan terus terhad keberhasilannya.
Tindakan yang Diperlukan
Realiti yang digambarkan bukan untuk ditangisi tetapi untuk dijadikan peringatan agar tindakan yang wajar dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh. Sekiranya masyarakat benar-benar mahu melihat penurunan kadar jangkitan HIV di Malaysia, maka inisiatif kolektif yang melangkaui batas sektor kesihatan semata-mata perlu digerakkan.
Pendidikan kesihatan seksual wajar diperkenalkan secara sistematik pada peringkat sekolah menengah. Pendekatan ini tidak seharusnya terhad kepada ceramah ringkas atau mesej berasaskan ketakutan, sebaliknya perlu dibentuk melalui modul yang menyeluruh, berasaskan fakta serta sesuai dengan perkembangan emosi dan intelektual remaja. Pelajar pula perlu diberikan pemahaman tentang risiko jangkitan, kaedah perlindungan dan keperluan mengetahui status kesihatan diri tanpa rasa malu atau rasa bersalah.
Institusi pengajian tinggi pula perlu memainkan peranan sebagai ruang intervensi yang responsif. Pelaksanaan program saringan HIV secara sukarela, berkala dan dijalankan dengan tahap kerahsiaan yang tinggi perlu dijadikan sebahagian daripada pelan kesihatan kampus. Pelajar perlu disediakan dengan sokongan kaunseling yang mampan serta saluran maklumat yang sahih dan mudah diakses. Langkah untuk menjalani ujian HIV perlu difahami sebagai satu bentuk tanggungjawab terhadap diri dan masyarakat.
Di samping itu, pendekatan bersepadu antara kementerian, institusi pendidikan, pihak kesihatan dengan organisasi masyarakat sivil perlu digembleng dengan lebih berkesan. Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan serta pihak berkuasa tempatan perlu menyelaraskan gerak kerja secara bersama. Pendekatan berasaskan sinergi antara agensi dengan lapisan masyarakat boleh meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memperluas capaian maklumat dan bantuan. Petubuhan bukan kerajaan, sukarelawan dan aktivis lapangan pula perlu dilihat sebagai rakan usaha, bukan sekadar pelaksana tambahan.
Pada masa ini, institusi pendidikan, media, tempat ibadah dan pempengaruh memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi awam. Media arus perdana bertanggungjawab menyiarkan laporan yang berimbang dan tidak berlandaskan stereotaip. Golongan pendidik dan agamawan perlu menggalas peranan menyampaikan mesej dengan empati dan pengetahuan, bukan ancaman atau penghukuman. Personaliti media sosial pula harus memahami bahawa pengaruh mereka berupaya mencorak sikap jutaan anak muda. Mereka mempunyai ruang untuk menukar persepsi HIV daripada isu yang dipinggirkan kepada isu kemasyarakatan yang memerlukan perhatian dan tindakan kolektif.
Oleh itu, sudah tiba waktunya untuk meninggalkan budaya menyalahkan dan beralih kepada langkah yang berkesan. Pendidikan, saringan, rawatan dan sokongan sosial perlu digerakkan dalam satu ekosistem yang seimbang. Pendekatan ini berupaya mengurangkan jumlah jangkitan baharu, menghapuskan ketakutan yang tidak berasas dan membuka ruang harapan kepada masa depan generasi akan datang.
Realiti yang Perlu Diubah Bersama
HIV kini bukan lagi satu hukuman mati seperti yang pernah ditakuti suatu ketika dahulu. Kemajuan dalam bidang perubatan telah menyediakan pelbagai bentuk rawatan yang membolehkan individu yang dijangkiti menjalani kehidupan yang sihat, aktif dan terhindar daripada komplikasi serius sekiranya rawatan dimulakan lebih awal. Namun demikian, ancaman sebenar yang terus mengekang usaha pencegahan dan pemulihan bukan sahaja datang daripada virus tetapi daripada kejahilan, prasangka dan sikap berdiam diri dalam kalangan masyarakat.
Selagi fakta dibiarkan dipinggirkan, selagi kesalahan terus dilemparkan kepada individu yang terjejas dan selagi mitos terus dibiar berakar dalam fikiran umum, kadar jangkitan sukar untuk diturunkan. Lebih membimbangkan, kelompok muda, khususnya pelajar institusi pengajian tinggi terus terperangkap dalam kitaran kejahilan, rasa takut untuk mengetahui status kesihatan dan tekanan sosial yang menolak daripada memberi peluang kedua.
Perubahan hanya akan tercapai apabila isu HIV ditanggapi dengan empati dan bukannya penghakiman. Ilmu yang sahih perlu menggantikan sangkaan dan tindakan yang bertanggungjawab perlu menggantikan sikap penafian. Tanggungjawab ini tidak terbatas kepada satu kelompok tertentu. Setiap individu, sama ada ibu bapa, pendidik, pelajar, pentadbir, pengamal media atau anggota masyarakat umum mempunyai peranan tersendiri dalam membina persekitaran yang inklusif, menyokong dan tidak menghukum.
Dalam usaha menangani HIV, perjuangan bukan hanya terhadap penyakit, malah terhadap ketidakpedulian yang melemahkan ketahanan sosial. Kemenangan tidak datang daripada usaha individu secara terasing tetapi daripada kesepakatan bersama yang mendorong kepada perubahan sikap dan cara fikir.
Kini, yang diperlukan bukanlah lebih banyak celaan, sebaliknya kefahaman yang mendalam. Masyarakat memerlukan lebih banyak ruang untuk pemulihan dan penerimaan. Dalam sebuah masyarakat yang progresif dan peduli, setiap insan, tanpa mengira status HIV berhak dihormati, dihargai dan disokong. Komitmen untuk menolak stigma, menyebarluaskan pengetahuan serta menyediakan ruang sokongan yang selamat merupakan langkah penting untuk menyelamatkan nyawa dan membina sebuah negara yang lebih adil dan berperikemanusiaan.
Dr. Shahidah Hamzah dan Dr. Fauziah Ani,
Jabatan Sains Sosial,
Pusat Pengajian Umum dan Ko Kurikulum,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.