Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPulau Tuba – Sebagai usaha memulihara habitat pesisir dan mitigasi terhadap kesan perubahan iklim, sebanyak 24 orang pelajar dari Program Teknologi Marin Lestari, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah melaksanakan program konservasi “Bakau untuk Kehidupan (Mangrove4Life) bersempena dengan sambutan Hari Laut Sedunia 2025.
Program yang diketuai oleh dua orang pensyarah pengiring, iaitu YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam dan Puan Rohayu Ramli merupakan hasil kerjasama dengan Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba dan Selat Berhad yang memberikan peluang kepada para pelajar institusi berkenaan menyemai sebanyak 350 benih pokok bakau.

Program tersebut adalah kesinambungan daripada pelaksanaan program Service-Learning Malaysia–University for Society (SULAM) yang telah dimulakan sejak tahun 2021 yang bukan sahaja menekankan aspek pemuliharaan alam sekitar, malah memperkukuh jalinan antara institusi pendidikan dengan komuniti setempat melalui pendekatan pembelajaran yang berimpak tinggi.
Menurut YBrs. Ts. Dr. Jamil Tajam, program berkenaan membuktikan bahawa pendidikan berasaskan pengalaman lapangan mampu membentuk kesedaran mendalam dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan konservasi ekosistem marin, selain membantu komuniti meneruskan kelangsungan hidup.
Ujar beliau,
Inisiatif ini juga memberikan manfaat kepada komuniti nelayan tempatan apabila benih bakau hasil semaian dapat dijual semula sebagai sumber pendapatan tambahan menerusi program tanggungjawab sosial korporat yang melibatkan agensi swasta dan kerajaan tambahan, sekali gus menggalakkan kelestarian alam dan menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat di Kepulauan Tuba.
Pihak Koperasi Komuniti Kepulauan Tuba menyambut baik pelaksanaan program tersebut dan kerjasama strategik bersama-sama UiTM sewajarnya diteruskan bagi memperluas impak pemuliharaan dan memperkasakan ekonomi komuniti setempat.