Diterbitkan pada 4 Mei 2025, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kecerdasan buatan (AI) bukan lagi sesuatu yang asing dalam kehidupan seharian memandangkan teknologi ini telah digunakan sejak sekian lama dalam sistem asas seperti lif dan lampu isyarat. Namun begitu, lonjakan semula minat terhadap AI mula dikesan sekitar tahun 1980-an dan terus berkembang pesat hingga hari ini.

Penulis bersama buku AI untuk Pemula, Encik Abu Huzaifah Haji Bidin menerangkan konsep asas AI semasa siaran langsung Selamat Pagi Malaysia.

Menurut Jurutera Kanan, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan penulis buku AI untuk Pemula, Encik Abu Huzaifah Haji Bidin, istilah AI pertama kali diperkenalkan oleh pakar sains komputer, John McCarthy pada tahun 1956 yang mentakrifkannya sebagai keupayaan mesin untuk meniru pemikiran manusia.

Beliau bersama-sama dengan penulis bersama, Encik Mohd Zulhusni Muaz, Ketua Jabatan Teknologi Maklumat di syarikat teknologi binaan Vencast Sdn. Bhd., telah muncul dalam segmen Nadi Seri Pagi menerusi program Selamat Pagi Malaysia (SPM) yang disiarkan secara langsung melalui TV1, Berita RTM, RTM Klik dan MyTV (saluran 101) pada Rabu lalu.

Penulis bersama AI untuk Pemula, Encik Mohd Zulhusni Muaz berkongsi pandangan tentang potensi AI semasa siaran langsung Selamat Pagi Malaysia.

Dalam sesi tersebut, Encik Mohd Zulhusni menerangkan bahawa AI berfungsi menerusi dua kaedah utama pemprosesan data, iaitu pembelajaran berpenyelia dan tidak berpenyelia yang membolehkan sistem menghasilkan output yang lebih tepat berdasarkan data sedia ada.

Namun begitu, beliau turut memberikan amaran tentang risiko kebocoran dan penyalahgunaan data memandangkan maklumat yang dimasukkan dalam sistem boleh dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Buku ini bukan sahaja membimbing pengguna membina sistem AI menggunakan komputer peribadi, malah memberikan panduan penggunaan teknologi ini secara bertanggungjawab,” ujar beliau sambil merujuk kepada kelulusan Akta Perkongsian Data 2025 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Beliau turut mengingatkan agar masyarakat tidak menggunakan teknologi AI secara sembarangan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan data negara. Tambahnya, AI tidak seharusnya menggantikan kepakaran manusia dalam bidang kritikal seperti perubatan dan agama, sebaliknya harus dilihat sebagai alat bantu untuk menyusun dan menganalisis data dengan lebih efisien.

Mengakhiri sesi temu bual tersebut, kedua-dua penulis menyeru masyarakat agar merebut peluang pembelajaran AI yang disediakan oleh kerajaan, namun menggunakan teknologi ini dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran.

Kredit Foto: Selamat Pagi Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi