Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Dalam usaha memperkukuh daya saing perpustakaan dalam era digital melalui teknologi kecerdasan buatan (AI), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah mengorak langkah menganjurkan Forum Kecerdasan Buatan dalam Pengurusan Perkhidmatan Maklumat, hari ini.
Program yang diadakan di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah itu berjaya menarik penyertaan hampir 800 orang pelajar universiti berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika merasmikan forum tersebut, melalui perkongsian ilmu sebegini dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat dalam pelbagai bidang ke arah memberikan perubahan dalam penyelesaian masalah yang lebih cekap, tepat dan berkesan.
Ujar beliau,
Semoga jalinan kerjasama antara rakan strategik, termasuklah UiTM dapat diteruskan pada masa hadapan kerana pertemuan seperti ini amat bermakna bagi memenuhi keperluan semasa agar seiring dengan kemajuan teknologi pada masa ini.
Beliau juga berkata, kerjasama yang terjalin antara DBP dengan Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah diharapkan dapat memperkukuh kedudukan serta peranan institusi terhadap perkembangan teknologi, relevan dan misi, sekali gus membuka peluang untuk penelitian bersama-sama dalam pengembangan teknologi AI, khususnya bidang perpustakaan dan perkongsian Ilmu pengetahuan.
Tegasnya,
DBP akan sentiasa cakna dan bersiap siaga bagi mendukung dasar kerajaan, bergerak maju ke hadapan dan melakukan setiap perubahan positif bagi memenuhi aspirasi dan keperluan masyarakat Malaysia, khususnya dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera dan penerbitan berbahasa Melayu.
Beliau juga menyatakan bahawa program yang diadakan ini cukup bererti dan memberikan mesej yang jelas tentang usaha untuk meneliti dan mengenal pasti peluang bagi memperluas ilmu sains dan teknologi serta mendukung peranan perpustakaan sebagai pusat inovasi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pustakawan, Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah, Puan Azizah Khasim berkata, kebolehan pelajar mengemukakan pelbagai pertanyaan mengenai AI kepada ahli panel dalam forum tersebut akan meluaskan lagi minda mereka.
Katanya,
Saya percaya bahawa hasil perbincangan dalam forum mengenai AI itu akan memberikan pemahaman yang lebih mendalam berkaitan dengan pengurusan perkhidmatan maklumat yang lebih beretika.
Forum yang berlangsung selama tiga jam itu dikendalikan oleh Pensyarah Kanan, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Cawangan Kedah, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Abd Latif Abdul Rahman selaku moderator.
Barisan ahli panel yang diundang dalam forum berkenaan pula terdiri daripada tiga orang ahli panel, iaitu Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Jabatan Perpustakaan dan Sains Maklumat, Universiti Malaya, YBrs. Dr. Ranita Hashim Shunmugam yang membincangkan tentang peranan perpustakaan sebagai pusat inovasi dan kerelevanannya terhadap sesebuah institusi; Pensyarah Kanan, Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, UiTM Cawangan Kedah, YBrs. Dr. Siti Khadijah Rafie yang mengupas tentang kajian dalam bidang ilmu teknologi AI inovasi masa hadapan dalam perpustakaan serta Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Ts. Mohamad Shaufi Kambaruddin yang berkongsikan tentang isu cabaran dan etika penggunaan teknologi AI.