Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rokok elektronik atau vape telah dikenal pasti mengandungi sehingga 2000 jenis sebatian kimia, termasuklah bahan pewarna, perisa dan pewangi yang mampu menarik minat golongan muda, demikian menurut Setiausaha Agung Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Muhammad Sha’ani Abdullah.
Beliau berkata demikian dalam sesi bual bicara bertajuk “Fahami Isu Pengharaman Vape” menerusi program Selamat Pagi Malaysia (SPM) – Nadi Seri Pagi terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bersiaran secara langsung di saluran TV1, Berita RTM dan MYTV (Saluran 101) pada pagi ini.
Mengupas lanjut, beliau memaklumkan bahawa berkata penjualan rokok dan rokok elektronik secara terbuka telah diharamkan di beberapa negeri seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor bermula 1 April 2025 sebagai langkah awal pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2022 (Akta 852).
“Penguatkuasaan Akta 852 bertujuan mengawal penjualan dan penggunaan produk tembakau, termasuklah vape demi melindungi kesihatan awam. Berdasarkan peruntukan akta ini, semua produk tembakau wajib disimpan di dalam kabinet tertutup dan tidak boleh dipamerkan secara terbuka di kaunter jualan. Peniaga juga hanya dibenarkan meletakkan papan tanda khas untuk memaklumkan ketersediaan produk tersebut,” jelas beliau.

Mengulas tentang peranti vape, beliau menerangkan bahawa rokok elektronik ialah alat berkuasa bateri yang memanaskan cecair khas atau tembakau mampat sehingga mengeluarkan wap, bukan asap hasil pembakaran sepenuhnya seperti rokok konvensional.
Beliau turut membangkitkan kekeliruan berkenaan laporan oleh Public Health England pada tahun 2015 yang mendakwa vape adalah 95 peratus lebih selamat berbanding dengan rokok.
Namun demikian, menurutnya, dapatan tersebut dibuat berdasarkan kajian yang sangat terhad pada ketika itu memandangkan penggunaan vape masih dalam fasa awal.
“Menjelang tahun 2021, lebih 6000 kajian telah diterbitkan, sekali gus menjadikan rumusan awal itu tidak lagi relevan dan malangnya, maklumat tersebut terus disalahgunakan oleh industri vape sebagai alat promosi dan pemasaran,” tegas beliau.
Sementara itu, Muhammad Sha’ani turut merujuk beberapa insiden yang membuktikan kesan kemudaratan penggunaan vape seperti lebih 100 kematian di Amerika Syarikat, insiden pelajar di Malaysia yang pengsan di tandas serta satu kes kematian dalam kereta yang dipercayai berpunca daripada penggunaan vape.
“Paru-paru manusia hanya sesuai untuk udara bersih. Walaupun kesan bahan kimia di dalam vape mungkin tidak berlaku serta-merta, pendedahan kepada dos rendah secara berterusan boleh menyebabkan kerosakan kesihatan dalam jangka panjang,” tambahnya.
Menyorot sejarah kawalan tembakau pada peringkat antarabangsa, beliau menjelaskan bahawa usaha untuk mengharamkan rokok telah dimulakan sejak tahun 1970-an oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan.
Namun begitu, kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti penyeludupan dan kewujudan industri gelap telah menyebabkan cadangan tersebut tidak dilaksanakan.
Isu ini kemudiannya dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan dibincangkan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Hasil perbincangan selama hampir dua dekad, pada tahun 2023, Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau yang telah ditandatangani oleh 181 negara telah memutuskan bahawa pendekatan kawalan adalah lebih berkesan berbanding dengan pengharaman secara menyeluruh.
Mengakhiri wawancara, Muhammad Sha’ani menegaskan bahawa pendekatan kawalan secara komprehensif merupakan kaedah terbaik untuk menangani isu rokok dan vape secara berkesan berbanding dengan tindakan pengharaman secara total yang boleh menimbulkan implikasi lain dalam masyarakat.