Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri (KPKI) menerusi Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kampus Kuala Lumpur dan UKM MIHA Student Chapter telah menganjurkan Kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM pada 22 April 2025 hingga 24 April 2025.

Kursus tersebut diadakan dengan kerjasama Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) yang melibatkan pelajar tahun tiga program KPKI, FSK, UKM Kampus Kuala Lumpur.

Kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkenaan bertujuan untuk melahirkan Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang terlatih bagi memenuhi Seksyen 29 (A) Akta KKP (Pindaan) 2022 untuk tadbir urus hal ehwal keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Selain itu, kursus tersebut juga memberikan peluang kepada para peserta untuk berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebagai Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang terlatih.
Kursus tersebut telah dirasmikan oleh Penasihat UKM MIHA Student Chapter selaku Pengerusi Kursus, iaitu YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang semasa hari pertama kursus berlangsung.
YBrs. Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang dalam ucapannya berkata,
Pihak UKM amat berterima kasih kepada MSOSH kerana telah memberikan peluang kepada para pelajar untuk menyertai kursus ini dengan bayaran yang sangat minimum.
Beliau juga menasihati para pelajar agar memberikan tumpuan dan memanfaatkan segala ilmu dan kemahiran yang telah disampaikan sepanjang kursus ini diadakan untuk kegunaan dalam alam pekerjaan nanti.

Sementara itu, program tersebut diserikan lagi dengan penyampaian hadiah oleh Timbalan Presiden MSOSH, Encik Mohd Najib Mupit kepada peserta yang berjaya menamatkan kursus selama tiga hari itu.

Turut hadir dalam kursus ini ialah Presiden MSOSH, Encik Ahmad Fakhrul Anuar Ismail; Timbalan Dekan (Prasiswazah), FSK, UKM, YBrs. Profesor. Madya Dr. Mazlyfarina Mohamad serta Ketua Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri, YBrs. Profesor. Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin.