Diterbitkan pada 27 April 2025, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Agensi Nuklear Malaysia dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara telah melancarkan dua varieti benih kenaf baharu, iaitu MK1 dan MK2 yang disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Hotel Renai, Kota Bharu, Kelantan.

“Varieti baharu hasil usaha penyelidikan dan pembangunan yang menggunakan teknologi penyinaran gama dan kaedah mutasi teraruh bertujuan untuk meningkatkan ciri agronomi tanaman kenaf agar lebih tahan terhadap perubahan iklim serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi di samping memberikan daya saing yang lebih kukuh dalam menghadapi cabaran perubahan iklim,” kata YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam majlis pelancaran benih kenaf berkenaan.

Majlis Pelancaran Varieti Benih Kenaf Baharu dirasmikan oleh YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan disaksikan oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Rosli Darmawan serta tetamu kehormat lain.

Menurut beliau,

Pembangunan varieti baharu ini adalah manifestasi sokongan terhadap pelaksanaan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 yang menggariskan pemerkasaan aplikasi teknologi nuklear dalam sektor bukan tenaga, termasuklah pertanian dan industri bioteknologi bagi menyokong kemajuan sosioekonomi dan kelestarian negara.

Beliau juga menyatakan bahawa usaha ini turut selari dengan matlamat Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 dalam memperkukuh industri agrikomoditi negara melalui inovasi sains dan teknologi.

Nuklear Malaysia turut menjalankan penyelidikan berkenaan dengan kegunaan kenaf sebagai biokomposit untuk penghasilan bahan binaan yang lebih berdaya saing dan mesra alam.

Kerjasama strategik ini membuktikan bahawa potensi teknologi nuklear dalam sektor pertanian, khususnya dalam pembangunan varieti tanaman baharu yang lebih tahan dan produktif sejajar dengan usaha kerajaan untuk memantapkan sekuriti makanan dan pertanian lestari dalam era perubahan iklim.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan (tiga dari kanan) bergambar bersama-sama pegawai dari Agensi Nuklear Malaysia yang turut hadir dalam Majlis Pelancaran Varieti Benih Kenaf Baharu.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha, Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof; Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, YBhg. Datuk Haji Wan Abdul Rahim Wan Abdullah; Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan dan Pengarah Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Zaiton Ahmad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi