Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kerajaan Malaysia dan Republik Rakyat China (RRC) telah berjaya memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai Sokongan Bersama Penubuhan Makmal Bersama dalam Bidang Teknologi Baharu Muncul bersempena dengan lawatan rasmi Tuan Yang Terutama Presiden RRC, Xi Jinping ke Malaysia.
Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, pemeteraian MoU ini adalah untuk menyokong institusi penyelidikan saintifik, institusi pengajian tinggi dan perusahaan dalam penubuhan makmal bersama bagi mempertingkat kerjasama dalam bidang teknologi baharu muncul yang sedang berkembang pesat dan menjadi pemangkin kepada perkembangan industri.
Ujar MOSTI,
Inisiatif ini akan memupuk kerjasama yang menyeluruh antara kedua-dua negara dalam menyokong penyelidikan, pembangunan, penggunaan serta penyebaran teknologi baharu muncul, termasuklah dalam bidang kecerdasan buatan; rantaian blok; bioteknologi; teknologi bahan termaju; teknologi tenaga boleh baharu dan sektor teknologi baharu muncul lain yang dikenal pasti.
Dalam kenyataan itu juga dinyatakan bahawa makmal bersama yang ditubuhkan akan menerajui aktiviti penyelidikan bertaraf tinggi, pertukaran kepakaran dan penyelidik, demonstrasi teknologi untuk kegunaan industri serta pemindahan teknologi dan pengkomersialan.
MOSTI berkata, kerjasama antara akademia dengan industri di kedua-dua negara akan terus diperkukuh di bawah kerjasama ini menerusi perkongsian sumber kepakaran, teknologi dan kemudahan daripada RRC yang merupakan antara peneraju global dalam pembangunan bidang teknologi baharu muncul.
Katanya,
Langkah ini adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang memberikan tumpuan strategik kepada pertumbuhan ekonomi negara menerusi pembangunan industri yang dipacu oleh inovasi dan melibatkan aktiviti nilai tambah.
Menurut MOSTI lagi, pemeteraian MoU ini menandakan satu lonjakan strategik dalam usaha Malaysia memperkukuh ekosistem teknologi dan inovasi negara.
Jelasnya,
Kerjasama dengan RRC akan membuka akses kepada kepakaran bertaraf dunia, mempercepat pemindahan teknologi dan memperkasakan pembangunan makmal bersama dalam bidang berimpak tinggi seperti kecerdasan buatan, bioteknologi dan tenaga boleh diperbaharui.
Inisiatif ini adalah sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk membina masa hadapan ekonomi berteraskan inovasi, memacu industri bernilai tambah tinggi serta menjana peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.
Di samping itu, MOSTI dan pihak National Development and Reform Commission (NDRC) China juga telah memeterai MoU mengenai Kerjasama dalam Aplikasi Sistem Navigasi Satelit Global BeiDou (BDS).
Kata MOSTI,
Objektif MoU tersebut adalah untuk memperkukuh kerjasama teknikal antara kedua-dua negara dalam bidang penyelidikan, pembangunan serta penggunaan teknologi berasaskan BDS dan Sistem Satelit Navigasi Global (GNSS) tempatan bagi pelbagai sektor utama termasuklah pertanian, logistik, kewangan dan industri pembuatan.
Kerjasama ini akan membuka peluang kepada institusi penyelidikan, universiti serta pemain industri untuk membangunkan aplikasi pintar berasaskan data satelit, khususnya menggunakan sistem BDS yang kini merupakan satu daripada sistem navigasi satelit global utama dunia.
Langkah memeterai MoU ini juga merupakan satu usaha strategik untuk memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dengan China dalam teknologi angkasa.
Melalui kerjasama ini, Malaysia dapat mempercepat pemindahan teknologi berimpak tinggi, memanfaatkan sistem satelit global seperti BeiDou dan memperkasakan ekosistem teknologi GNSS tempatan seiring dengan matlamat negara menuju masa hadapan digital.
Pelaksanaan kedua-dua MoU ini telah melengkapkan Perjanjian Kerjasama dalam Sains, Teknologi dan Inovasi yang telah dimeterai pada 4 Oktober 2013 serta MoU Program Pertukaran Kepakaran dalam Sains dan Teknologi yang ditandatangani pada 19 Jun 2024 yang diterajui MOSTI.
Inisiatif ini turut menggambarkan iltizam Malaysia untuk memperkukuh kapasiti teknikal serta memperluas kepakaran nasional dalam bidang teknologi baharu muncul yang berimpak tinggi.