Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 20 April 2025, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pasangan panda gergasi, iaitu Fu Wa dan Feng Yi yang ditempatkan di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP), Zoo Negara akan dihantar pulang ke Republik Rakyat China (RRC) pada bulan hadapan.

Hal ini berikutan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) meneruskan Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi dengan RRC menerusi pemeteraian perjanjian baharu bersempena dengan Lawatan Negara Presiden RRC ke Malaysia pada 16 April lalu.

Menurut NRES dalam suatu kenyataannya semalam, pemeteraian perjanjian baharu berkenaan membolehkan Malaysia menerima pasangan panda gergasi baharu untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 2025 hingga 2035.

“Sebelum ini, tiga ekor anak panda gergasi daripada pasangan (sedia ada) tersebut, iaitu Nuan Nuan telah dihantar pulang ke RRC pada 14 November 2017, manakala Yi Yi dan Sheng Yi pada 29 Ogos 2023,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Selain itu, NRES memaklumkan bahawa Fu Wa dan Feng Yi telah menjalani proses kuarantin bermula Jumaat di PKGP sebagai persediaan untuk memastikan tahap kesihatan kedua-duanya berada pada tahap terbaik, memenuhi keperluan permit di bawah perundangan antarabangsa serta latihan sangkar bagi membiasakan diri bagi penerbangan dari Malaysia ke RRC.

Oleh itu, pengunjung tidak boleh melihat Fu Wa dan Feng Yi secara dekat sepanjang tempoh kuarantin, namun masih berpeluang untuk melihat haiwan tersebut di pusat pembelajaran PKGP pada masa tertentu.

NRES turut menjelaskan bahawa Zoo Negara telah merancang pelbagai program sepanjang tempoh kuarantin tersebut untuk memberikan peluang kepada rakyat Malaysia meraikan Fu Wa dan Feng Yi yang telah berada di Malaysia sejak 21 Mei 2014.

“Hal ini termasuklah menyediakan Papan Ucapan Perpisahan, sesi bersama-sama penjaga panda gergasi, tayangan dokumentari serta pertandingan menulis dan melukis,” ujarnya.

Para pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai program tersebut melalui laman sesawang dan platform media sosial Zoo Negara.

Di samping itu, Zoo Negara akan menambah baik kemudahan dan prasarana pameran di PKGP sepanjang tempoh ketiadaan panda gegasi sebagai persiapan untuk menerima pasangan panda gergasi baharu yang dijadualkan pada bulan Ogos 2025.

Sementara itu, kerjasama panda gergasi merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dengan negara terbesar Asia Timur itu dalam usaha memupuk diplomasi konservasi.

Tambahnya lagi, inisiatif tersebut juga manifestasi nilai Malaysia MADANI, iaitu kelestarian, ihsan dan kerjasama demi alam sekitar dan masa depan bersama yang lebih sejahtera.

“Rakyat Malaysia digalakkan untuk mengambil peluang mengunjungi Zoo Negara bagi bersama-sama menunjukkan penghargaan kepada Fu Wa dan Feng Yi serta memeriahkan program yang dianjurkan oleh Zoo Negara,” jelasnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi