Diterbitkan pada 15 April 2025, 17:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jerantut – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung (FLOODCOM) di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, hari ini.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan (kiri) bersama-sama Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Projek FLOODCOM.

Pusat gerakan terapung ini telah ditempatkan di lokasi strategik, iaitu di Kampung Bantal, Ulu Tembeling untuk kegunaan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bagi pengurusan bencana dan kecemasan, khususnya pengoperasian seperti kecemasan, menyelamat, memindah dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir.

FLOODCOM juga bertindak sebagai pusat komunikasi alternatif seperti frekuensi sangat tinggi serta frekuensi tinggi sekiranya komunikasi sedia ada mengalami gangguan.

Struktur ini juga dijadikan sebagai menara tinjau, pemantauan dan pemerhatian keadaan cuaca semasa, paras air sungai dan sebarang kejadian kecemasan serta berpotensi dijadikan sebagai tempat untuk aktiviti menara tinjau bagi pelancong yang berkunjung dan seterusnya menjadi nilai tambah untuk produk pelancongan tempatan.

Selain itu, struktur terapung FLOODCOM diperbuat daripada bahan biokomposit mesra alam serta modul apungan radiation crosslinked HDPE (RX-HDPE) dibangunkan sepenuhnya dengan menggunakan kepakaran pegawai penyelidik dari Agensi Nuklear Malaysia yang merangkumi kajian pada peringkat makmal, pembangunan prototaip dan uji lari dalam situasi sebenar yang telah dijalankan sejak tahun 2009.

Projek ini memberikan manfaat kepada komuniti setempat dan mukim Ulu Tembeling dengan menggunakan geran peruntukan di bawah Program Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) sebagai agensi pelaksana.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan; Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan  Sains, Teknologi dan Inovasi, MOSTI, Encik Abdullah Daud; Ketua Pegawai Eksekutif YIM, YBrs. Dr. Sharmila Mohamed Salleh; Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Yang Amat Setia Datuk KPj. (PA) Aminurrahim Mohamed serta barisan pegawai penyelidik Agensi Nuklear Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi