Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memperkukuh komitmennya terhadap komuniti autisme melalui penyertaan aktif dalam program Autsome Resource Bazaar (ARB) 2025 yang berlangsung di Sunway Putra Mall (SPM), hari ini.
Program ini menyaksikan pelibatan pensyarah, klinisian dan pelajar FSK UKM yang berganding bahu memberikan sokongan komprehensif kepada komuniti yang terlibat dengan autism spectrum disorder (ASD) dan kurang upaya intelek lain merentas spektrum.
“ARB merupakan acara tahunan yang dirancang khusus untuk menyebarkan kesedaran dan pengetahuan kepada orang awam mengenai ASD,” jelas Encik Saiffulzalizzan Sulong, Penolong Pengurus Khidmat Pelanggan SPM.
Beliau menambah, program ini juga bertujuan memperkenalkan pelbagai organisasi yang menawarkan perkhidmatan kepada komuniti autisme seperti The National Autism Society of Malaysia (NASOM), Persatuan Kakiseni, Nozig Sensory Play, IDEAS Autism Centre, Playvelope dan Rumah Ronald McDonald.
Sebanyak empat orang pensyarah dan klinisian dari FSK, UKM yang terdiri daripada Pensyarah dan Pakar Terapi Pertuturan dan Bahasa, YBrs. Dr. Hasherah Mohd Ibrahim, Pensyarah dan Pakar Optometri, YBrs. Dr. Naufal Nordin, Klinisian dan Pakar Terapi Cara Kerja, Puan Nur Rafidah Mohamed serta Klinisian dan Pakar Dietetik dan Pemakanan, Puan Samirah Taufiq Abdul Wahid membincangkan pendekatan pelbagai disiplin untuk meningkatkan perkembangan visual dan sensori dalam kalangan individu ASD.
Selain sesi perkongsian ilmu, program ARB 2025 turut menyediakan pelbagai reruai informasi yang mempamerkan perkhidmatan dan sokongan yang disediakan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan dan pihak swasta kepada komuniti ARB.


Pengunjung SPM juga berpeluang mendapatkan saringan percuma autisme yang dijalankan sehingga 30 April 2025 di Aras 4, SPM.

