Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Orang ramai dinasihatkan agar membaca dan memahami notis privasi sebelum memberikan data peribadi dan mengemas kini maklumat serta menyemak data peribadi yang disimpan oleh pihak tertentu bagi memastikan keselamatan dan ketelusan dalam pemprosesan maklumat peribadi mereka.
Demikian penegasan yang diutarakan oleh Penolong Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi, Seksyen Pemantauan II, Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia, Tuan Haji Mohd Faruqi Haji Badron ketika ditemu bual dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia, pagi tadi.
Menurut beliau, sebagai punca kuasa pelaksanaan Akta Perlindungan Data Peribadi, Jabatan Perlindungan Data Peribadi Malaysia telah diwujudkan dengan Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi berperanan untuk melaksanakan fungsi pemantauan dan penguatkuasaan termasuklah bertanggungjawab terhadap proses pendaftaran, pemeriksaan dan pemantauan aktiviti pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.
Jelas beliau,
Data peribadi ditakrifkan sebagai sebarang maklumat yang boleh mengenal pasti identiti individu, manakala data peribadi sensitif merangkumi maklumat seperti rekod kesihatan, pendapat politik serta kepercayaan agama.
Ujarnya, terdapat tiga pihak utama yang terlibat dalam pemprosesan data peribadi, iaitu pengawal data (individu atau syarikat yang memproses data peribadi), subjek data (individu yang maklumatnya dikumpulkan) serta pemproses data (pihak yang menguruskan data peribadi bagi pihak pengawal data).
Akta berkenaan terpakai kepada semua rakyat Malaysia, namun pengecualian diberikan kepada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, urusan berkaitan dengan hal ehwal keluarga, transaksi yang berlaku di luar negara serta agensi pelaporan kredit.
Dalam sesi perbincangan itu, beliau juga berkongsikan maklumat bahawa terdapat 13 kategori pengawal data yang diwajibkan berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi serta mematuhi prinsip dan peraturan yang ditetapkan yang merangkumi sektor komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, insurans, kesihatan, pelancongan, pengangkutan, pendidikan, perkhidmatan, hartanah, utiliti, pajak gadai serta pemberi pinjaman wang berlesen.