Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 18:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan (FSK) bakal melahirkan ahli fisioterapi yang berkemahiran tinggi seterusnya meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan serta kesejahteraan pesakit di negara ini.

Demikian ucapan alu-aluan oleh Dekan FSK, YBrs. Profesor Dr. Suzana Sahar dalam Majlis Pelancaran Sijil Profesional Rehabilitasi Pulmonari (SPRP) yang berlangsung di Hotel Tamu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau juga berharap program ini dapat memberikan lebih banyak peluang kepada graduan dan pengamal dalam bidang fisioterapi untuk berkembang dan memperkukuh lagi jaringan kerjasama antara institusi dalam negara.

SPRP merupakan yang pertama dalam negara dijalankan dengan kerjasama Malaysian Thoracic Society (MTS) bertujuan untuk melatih ahli fisioterapi yang berkelayakan dalam melaksanakan pemulihan pulmonari dengan berkesan dan inklusif selaras dengan garis panduan klinikal yang ditetapkan.

Penyerahan Modul Kursus Sijil Profesional Rehabilitasi Pulmonari kepada Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid dan Dekan FSK, UKM, YBrs. Profesor Dr. Suzana Sahar.

Seiring dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat dan Matlamat Pembangunan Mampan yang ketiga (SDG 3), iaitu kesihatan yang baik dan kesejahteraan, kerjasama antara FSK UKM dengan MTS memainkan peranan yang penting dalam perkhidmatan kesihatan dan perkongsian ilmu ini wajar dimartabatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Hal ini dikatakan demikian kerana pemulihan pulmonari merupakan pengkhususan multidisiplin dalam perkhidmatan fisioterapi yang memerlukan kecekapan dan kepelbagaian kemahiran yang khusus untuk memastikan keberkesanan pemulihan kepada populasi pesakit yang semakin kompleks.

Oleh itu, peningkatan latihan dan pembangunan kepakaran dalam kalangan ahli fisioterapi seumpama ini amat penting bagi memastikan program pemulihan pulmonari dapat dijalankan dengan lebih meluas dan efektif, seterusnya memberikan manfaat yang lebih besar kepada pesakit.

Majlis pelancaran sijil ini diraikan bersempena dengan Majlis Penyerahan Sijil Profesional Rehabilitasi Industri yang dirasmikan oleh Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid.

“Pelancaran SPRP 2025 merupakan usaha yang sangat bermakna dalam meningkatkan keupayaan ahli fisioterapi yang mempunyai minat mendalam kepada pemulihan pulmonari dan menyediakan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran lanjutan dalam pemulihan pesakit dengan masalah pernafasan,” ujar beliau dalam ucapan perasmiannya.

Kursus ini sudah tentunya dapat meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan golongan pesakit ini, baik di hospital mahu pun di klinik kesihatan serta pusat pemulihan dan seharusnya diketengahkan kepada lebih banyak ahli fisioterapi, termasuklah pada peringkat serantau pada masa akan datang.

Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FSK, Profesor Madya Dr. Zahara Abd. Manaf; Pengerusi Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Profesor Madya Dr. Nor Azlin Mohd Nordin; Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dr. Azlan Darus dan Penyelaras Sijil Profesional Rehabilitasi Industri, Dr. Hanif Farhan Mohd Rasdi.

Peserta didedahkan dengan kemahiran penilaian dan preskripsi senaman mengikut garis panduan klinikal

Kursus yang direka secara dinamik ini akan mendedahkan peserta kepada pembelajaran secara holistik melalui empat komponen yang saling berkaitan, iaitu teori, praktikal, klinikal dan penilaian.

Kursus ini juga menerapkan nilai etika, profesional dan kepimpinan berpasukan dalam mengendalikan pemulihan pulmonari kepada pesakit.

Penawaran kursus ini bermula pada Februari 2025 dan sesi pembelajaran diadakan selama dua bulan secara bersemuka dan dalam talian.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi