Kuala Lumpur – Dalam usaha memperkasakan kesedaran mengenai amalan lestari, Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Pertandingan Reka Cipta Landskap 3R bersempena dengan sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2025.
Inisiatif ini dirancang khusus untuk memupuk budaya pengurangan, penggunaan semula dan kitar semula (3R) dalam kalangan masyarakat Malaysia sebagai langkah strategik dalam meningkatkan kesedaran dan amalan pelestarian alam sekitar.
Sebagai penghargaan terhadap dedikasi peserta, SWCorp telah bersetuju untuk menaja hadiah menarik bagi pemenang yang akan diumumkan pada Hari Sambutan Alam Sekitar.
Pertandingan yang berlangsung dari 15 Februari 2025 hingga 15 Mei 2025 ini akan mengalakkan suri rumah untuk memanfaatkan bahan kitar semula dalam mencipta landskap yang menarik dan inovatif di kediaman mereka.
Poster Pertandingan Reka Cipta Landskap 3R anjuran Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia.
Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya pelestarian alam sekitar serta menyemarakkan semangat inovatif dalam kalangan peserta.
Para peserta dikehendaki mengambil gambar atau video rekaan landskap mereka dan memuat naik ke dalam media sosial dengan menggunakan tanda pagar yang ditetapkan untuk memudahkan proses penilaian.
Selain menekankan kreativiti dalam reka bentuk, program ini akan mendidik masyarakat tentang kepentingan mengitar semula dan penggunaan semula bahan-bahan buangan.
Pertandingan ini juga memberikan peluang kepada suri rumah untuk menonjolkan bakat seni mereka dalam mencipta landskap yang estetik dan mesra alam.
Data dari World Bank pada tahun 2016 menunjukkan bahawa dunia menghasilkan 2.01 bilion tan sisa pepejal pda setiap tahun dengan purata 0.74 kilogram per kapita setiap hari.
Di Malaysia pula, kadar penjanaan sisa pepejal dilaporkan sebanyak 1.17 kilogram sehari per kapita, iaitu lebih tinggi daripada purata global sebanyak 0.74 kilogram.