Diterbitkan pada 7 Mac 2025, 17:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Sesi libat urus pelaksanaan program Integrasi Pemikiran Pengiraan (Computational Thinking) dalam pengajaran merentas bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) atau COMEL Tahun 2025 diadakan untuk membincangkan hala tuju pelaksanaan Program COMEL Fasa 2.

Sesi ini yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kenari, Sekolah Kebangsaan Seri Indera, Kangar, Perlis turut membincangkan penambahbaikan modul COMEL dan mendapatkan maklum balas para guru dan penyelidik berkaitan dengan pelaksanaan Program COMEL Fasa 1.

Para penyelidik dan guru program COMEL di Bilik Mesyuarat Kenari, SK Seri Indera.

Sesi libat urus telah dihadiri oleh YBrs. Ketua Penolong Pengarah (Unit Sains Sosial), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Encik Musra Mat Saman.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri Perlis menyokong usaha murni para penyelidik dan guru yang terbabit dalam program COMEL dalam memperkasakan dan menarik minat para pelajar sekolah rendah untuk meminati bidang STEM.

Ujar beliau,

Jabatan Pendidikan Negeri Perlis senantiasa menyokong program pembudayaan bidang STEM seperti Program COMEL dalam melahirkan generasi celik sains dan teknologi bermula pada peringkat sekolah rendah.

YBrs. Pegawai Eksekutif Kanan, Encik Megat Muhammad Ridzuan Hamzah telah mewakili YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin yang merupakan Pengarah Eksekutif, Faizuddin Center of Educational Excellence (FCoEE).

Beliau berkata dana daripada FCoEE yang disuntik dalam program ini dimanfaatkan dengan jayanya kepada warga penyelidik, warga guru dan para pelajar sekolah dalam usaha mentransformasikan elemen inovasi dan kreatif STEM dalam pengajaran dan pembelajaran.

Jelas beliau,

FCoEE sentiasa komited dalam memastikan para pelajar dan guru terus terinspirasi dan diperkasakan dengan minda STEM untuk menyumbang ke arah pembangunan dan kemajuan negeri Perlis.

FCoEE merupakan Pusat Kecemerlangan Khas Pendidikan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di bawah Naungan Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Pembentangan kemajuan Fasa 1 Program COMEL telah disempurnakan oleh YBrs. Ketua Penyelidik Program COMEL, Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Beliau membentangkan objektif penganjuran program dan hasil pemerhatian awal pelaksanaan program COMEL Fasa 1 di empat buah sekolah terpilih, iaitu SRK Arau, SRK Jelempok, SRK Behor Empiang dan SRK Stella Maris.

Jelas beliau,

Program ini berjaya dilaksanakan pada fasa 1 dan akan diteruskan pada fasa 2 bagi mengkaji kesan mengintegrasikan pemikiran kompusional dan penggunaan teknologi media dalam menyokong elemen STEM dan sistem pendidikan dalam kalangan pelajar sekolah untuk memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran seiring dengan aspirasi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sementara itu, guru dari Sekolah Kebangsaan Behor Empiang, Encik Hilal Izhar Mohd Azrul Hisham berkata, program COMEL menarik minat murid terhadap bidang STEM dan dalam masa yang sama menjadikan pengajaran lebih interaktif dan informatif.

Selain itu, guru dari Sekolah Kebangsaan Stella Maris, Puan Siti Fitriyah Othman berkata, penggunaan teknologi dan modul program COMEL meningkatkan nilai kemahiran insaniah melalui aktiviti dalam berkumpulan dan pembentangan tugasan setiap topik mengikut modul.

Sesi libat urus ditangguhkan dengan penyampaian surat lantikan dan sijil penghargaan kepada barisan guru yang terdiri daripada Puan Nadia Soraya Razmi (SK Arau); Encik Mohd Syafiq Ahamad (SK Arau); Puan Rahayu Man (SK Jelempok); Puan Nora Dorahim (SK Jelempok); Encik Hilal Izhar Mohd Azrul Hisham (SK Behor Empiang), Puan Yanti Amilia Abd Hadi (SK Behor Empiang); Puan Siti Fitriyah Othman (SK Stella Maris); dan Encik Ikhsan Faizal Anuar (SK Stella Maris).

Program COMEL telah dikoordinasikan oleh para penyelidik dari Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis dan Institute of Visual Informatics (IVI), Universiti Kebangsaan Malaysia yang terdiri daripada YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi; YBhg. Profesor Dato‘ Dr. Halimah Badioze Zaman; YBrs Dr. Nursyamilah Annuar; YBrs. Dr. Nur Fatihah Fauzi, YBrs. Dr. Ahmad Hanif Ahmad Baharin; YBrs. Puan Eliy Nazira Mat Nazir, YBrs. Encik Sharir Aizat Kamaruddin dan Encik Mohd Al-Faiz Jumin (Pembantu Penyelidik).

Yang turut hadir dalam sesi libat urus ini ialah YBrs. Ketua Penolong Pengarah Bahasa Inggeris, Puan Normima Azlina Abd Majid; dan YBrs. Penolong Pengarah Unit Bahasa, Puan Chiamala Kailasam dari Jabatan Pendidikan Negeri Perlis.

Kredit Foto: Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi