Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Majlis Sukan Sekolah Pahang (MSSP) komited dalam mencungkil bakat baharu sukan akuatik dalam kalangan pelajar sebagai usaha mempersiapkan atlet sukan akuatik dari negeri ini dengan menganjurkan Kejohanan Pembangunan Sukan Akuatik MSSP Tahun 2025 yang diadakan di Pusat Akuatik Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Dalam kejohanan tersebut, empat acara telah dipertandingkan, iaitu 50 meter dan 100 meter gaya bebas serta 50 meter dan 100 meter gaya dada yang melibatkan lima kategori bagi lelaki dan perempuan, iaitu tujuh tahun hingga lapan tahun; sembilan tahun hingga 10 tahun; 11 tahun hingga 12 tahun; 13 tahun hingga 14 tahun; dan 15 tahun hingga 16 tahun.
Pasukan daerah Kuantan mengungguli kejohanan tersebut dengan meraih 21 pingat emas, 26 pingat perak dan 24 pingat gangsa.
Sementara itu, pasukan daerah Temerloh berada di tempat kedua yang berjaya mengumpulkan enam pingat emas, tujuh pingat perak dan empat pingat gangsa.
Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan daerah Cameron Highlands yang meraih empat pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa.
Seterusnya pasukan daerah Bera berjaya mendapatkan tiga pingat emas dan empat pingat gangsa; pasukan Daerah Bentong mengumpulkan dua pingat emas dan dua pingat perak; pasukan daerah Jerantut mendapat dua pingat emas, satu pingat perak dan dua pingat gangsa; dan pasukan daerah Rompin memungut satu pingat gangsa.
Salah seorang peserta, Aulia Safiyya Syahmi Hafifi yang berjaya memenangi dua pingat dalam kategori tujuh tahun hingga lapan tahun (pingat emas bagi 50 meter gaya bebas dan pingat gangsa bagi 50 meter gaya dada) menyatakan bahawa dirinya amat teruja untuk menyertai kejohanan tersebut buat pertama kalinya.

“Saya berlatih pada setiap hujung minggu sejak berumur lima tahun dan sangat suka berenang. Saya mahu jadi sihat dan aktif di sekolah,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Aulia Safiyya Syahmi Hafifi, Puan Nur Afiqah Haballah berkata, “Saya amat menyokong minat anak saya untuk menyertai sukan akuatik ini. Pembangunan bakat seperti ini penting untuk memastikan dirinya terus cergas dan cerdas, cemerlang dalam bidang pelajaran dan aktif dalam bidang sukan secara seimbang.”
Menurut beliau lagi, “Sokongan dan bantuan daripada ibu bapa kepada pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam memastikan kemenjadian pelajar seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.”
Beliau turut menyatakan, “Pelibatan pelajar dalam sukan akuatik ini dapat memberikan inspirasi kepada pelajar lain untuk menceburi apa-apa sahaja aktiviti yang digemari dengan lebih konsisten. Sukan sebegini juga memupuk disiplin yang tinggi, badan yang sihat dan minda yang cerdas.”
Beliau turut berkongsi sesi latihan Aulia Safiyya Syahmi Hafifidikendalikan oleh Kelab Renang Gohok dengan Encik Syed Shaferi Syed Abu Bakar sebagai jurulatihnya.
Kredit foto: Nur Afiqah Haballah