Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail menyeru masyarakat agar menjadikan pencegahan kanser sebagai satu daripada agenda utama dalam kehidupan seharian dengan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
“Segeralah menemui doktor bagi mendapatkan nasihat dan pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai tanda dan gejala kanser,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.
Beliau menyatakan sedemikian semasa berucap merasmikan Program Kesihatan Kasih MADANI 2025 di Kompleks Sukan Desa Tasik Sungai Besi.
Program anjuran bersama Pejabat Kesihatan Cheras, Majlis Perwakilan Penduduk Subzon 5, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan KOSPEN Kamara itu diadakan bersempena dengan Hari Kanser Sedunia 2025 yang disambut pada 4 Februari lalu.
Selain sambutan Hari Kanser Sedunia 2025 yang bertemakan “Bersatu dengan Keunikan”, program tersebut turut meraikan Bulan Kesedaran Kanser Kolorektral Peringkat Pejabat Kesihatan Cheras 2025.
Hari Kanser Sedunia diraikan dengan tujuan meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan membendung penyakit kanser yang kian meningkat.
Dalam ucapannya, YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail menjelaskan bahawa tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki ialah kanser kolorektal atau usus besar (16.9 peratus), kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).

Dalam kalangan wanita pula ialah kanser payudara (33.9 peratus), dikuti oleh kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus).
“Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser ialah 11.0 peratus untuk kanser paru-paru, 51.1 peratus bagi kanser kolorektal, 51.6 peratus bagi kanser serviks dan 73.0 peratus bagi kanser payudara,” jelas YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.
“Sebanyak 63.7 peratus daripada keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV) dan tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit kanser,” tambah beliau.
Kanser bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada pesakit, malah menjejaskan psikososial dan ekonomi keluarga serta pembangunan ekonomi negara.
“WHO menyatakan sepertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuklah merokok), berat badan berlebihan, pengambilan alkohol secara berlebihan, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan serta tidak aktif secara fizikal,” kata YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail lagi.
Pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22 peratus kes kematian akibat kanser.
Program setengah hari itu padat diisi dengan pelbagai acara seperti ceramah kesihatan oleh Dr. Dania Inarah mengenai kanser kolorektal, Dr. Thung Senk Chung (kanser prostat) dan Kapten TLDM (B) Dato’ Prof. Emeritus (UM) Dr. Hashim Yaacob selaku Dekan Fakulti Pergigian Segi College (kanser oral) dan perkongsian oleh pejuang kanser oleh Puan Liang Ai Leng dan Puan Josephine a/p Mariasoosai.

Selain itu, turut diadakan walkathon, aerobik, saringan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan dan PEKA B40, makanan sihat, fisioterapi, saringan sarcopenia, aktiviti interaktif WOW truck dan pemeriksaan gigi bergerak.

Turut hadir, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, YBrs. Dr. Nor’Aishah Abu Bakar; Setiausaha Politik Perdana Menteri Malaysia, YB Datuk Azman Abidin; dan Pengerusi Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan, YB Datuk Rizalman Dato’ Mokhtar.