Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 18 Februari 2025, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Hospital Tuanku Fauziah kini menjadi pusat peperiksaan rasmi bagi peperiksaan Membership of the Royal Colleges of Physicians of the UK [MRCP (UK)], khususnya pemeriksaan klinikal bagi Practical Assessment of Clinical Examination Skills (PACES).

Selain itu, hospital berkenaan turut menerima pengiktirafan sebagai pusat latihan tahun dua bagi program pengajian peringkat sarjana berbanding dengan latihan sebelum ini yang hanya melibatkan tahun pertama.

Presiden Kolej Perubatan Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Paras Doshi dalam ucapannya menzahirkan perasaan bangga atas pengiktirafan yang diterima oleh Hospital Tuanku Fauziah.

Jelas beliau, pengiktirafan kepada Hospital Tuanku Fauziah tersebut menjadikan satu-satunya tuan rumah bagi dua peperiksaan perubatan utama di dunia, iaitu peperiksaan MRCP (UK) dan Membership of the Royal College of Physicians of Ireland (MRCPI).

Saya berbesar hati melihat Hospital Tuanku Fauziah berjaya mengendalikan kedua-dua peperiksaan ini dengan standard tertinggi hasil daripada sokongan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan dedikasi pasukan hospital.

“Tanggungjawab ini memerlukan tenaga yang mahir dan berpengalaman untuk memahami format dan keperluan yang berbeza bagi setiap peperiksaan,” katanya dalam majlis Makan Tengah Hari Pemeriksa Pusat MRCP Perlis di The Putra Regency Hotel, Persiaran Jubli Emas.

Tambah beliau lagi, kejayaan tersebut mencerminkan komitmen negeri Perlis untuk menjadikan negeri ini sebagai hab pendidikan perubatan pascasiswazah seiring dengan visi Tuanku Raja Perlis, Tuanku Raja Perempuan Perlis dan Tuanku Raja Muda Perlis.

Pada masa yang sama, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri majlis makan tengah hari tersebut.

Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid (kanan) ketika menyantuni hadirin yang hadir majlis Makan Tengah Hari Pemeriksa Pusat MRCP Perlis.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ghazali Chik dan Presiden Kolej Perubatan Malaysia, YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Paras Doshi.

Sementara itu, peperiksaan MRCP (UK) merupakan sebuah ujian yang dibangunkan untuk menilai pengetahuan klinikal dan kemahiran doktor pelatih dalam persediaan ke peringkat kepakaran yang lebih tinggi.

Sebagai rekod, Hospital Tuanku Fauziah kini menampung jumlah pelatih yang tertinggi dalam program pengajian peringkat sarjana tempatan dan laluan alternatif (parallel pathway) bagi kelayakan kepakaran perubatan.

Melalui perkembangan ini, hospital tersebut terus mengukuhkan peranannya sebagai pusat kecemerlangan perubatan bertaraf antarabangsa, selain memperkasakan mutu perkhidmatan kesihatan secara tidak langsung.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi