Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJururawat rehabilitasi merupakan wira tanpa nama dalam dunia perubatan. Walaupun peranan mereka jarang-jarang mendapat perhatian, mereka membawa sinar harapan kepada pesakit yang sering kali terlantar serta menghadapi cabaran fizikal dan kognitif akibat penyakit atau kecederaan seperti strok, kecederaan saraf tunjang atau kecederaan otak trauma. Mereka ialah individu yang memastikan kesinambungan penjagaan, bukan sahaja dalam suasana hospital, malah di rumah pesakit.
Sebagai tenaga perubatan yang dedikasi, jururawat rehabilitasi berperanan penting dalam proses pemulihan. Mereka tidak hanya memberikan rawatan tetapi juga sokongan emosi dan motivasi yang membantu pesakit mengatasi kesulitan yang dihadapi. Melalui kerja keras dan komitmen yang tidak berbelah bagi, mereka memastikan bahawa setiap pesakit menerima penjagaan yang menyeluruh dan berterusan yang merangkumi aspek fisioterapi, terapi pertuturan dan kaunseling psikologi.

Kaedah Kejururawatan di Rumah
Peralihan dari hospital ke rumah merupakan proses yang kompleks yang memerlukan penjagaan rapi yang sering kali diurus oleh jururawat rehabilitasi. Mereka memainkan peranan penting dalam memastikan bahawa pesakit dan penjaga mampu mengurus rawatan secara cekap dan selamat di persekitaran rumah.
Jururawat rehabilitasi memiliki peranan kritikal dalam mendidik pesakit dan penjaga tentang penggunaan kateter silikon yang penting untuk membantu pesakit membuang air kecil. Kateter ini perlu digunakan pada setiap empat jam. Jururawat juga menekankan kepentingan langkah kebersihan seperti mencuci tangan dan mencuci alat kateter secara berkala untuk mencegah jangkitan saluran kencing.
Jururawat rehabilitasi membimbing pesakit dan penjaga dalam mengurus isu pembuangan air besar, khususnya bagi pesakit yang menghadapi kesukaran dalam aspek ini. Mereka mengajarkan teknik yang betul untuk memasukkan ubat yang dapat melawaskan pembuangan yang biasanya dilakukan pada setiap dua hari. Kaedah ini membantu mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan lampin pakai buang dan pada masa yang sama, meningkatkan maruah dan keselesaan pesakit.
Luka tekanan ialah kecederaan yang terjadi akibat tekanan berterusan pada kulit dan tisu di bawahnya yang biasanya berlaku di kawasan punggung, tumit dan bahagian belakang kepala. Pesakit yang terlantar dan mengalami kekurangan mobiliti sering kali berisiko tinggi terkena luka tekanan. Dalam menghadapi situasi ini, jururawat rehabilitasi memainkan peranan penting dengan bertindak secara proaktif dalam pencegahan dan pengurusan luka tekanan.
Langkah pertama yang diambil adalah melalui penukaran posisi pesakit secara berkala pada setiap dua jam. Langkah ini kritikal dalam mencegah tekanan yang berterusan pada satu titik yang boleh menyebabkan kerosakan pada kulit dan tisu di bawahnya. Selain itu, jururawat menyediakan pelan penjagaan luka yang komprehensif yang meliputi aspek kebersihan diri, pengambilan diet yang seimbang dan pelaksanaan senaman ringan untuk merangsang peredaran darah. Kesemua ini bertujuan untuk mempercepat proses penyembuhan.
Jururawat juga mengajar penjaga cara mengenali tanda awal luka tekanan seperti kemerahan pada kulit, rasa panas dan kegatalan. Pengesanan awal ini penting agar rawatan dapat diberikan segera, sekali gus mengelakkan perkembangan kecederaan menjadi lebih serius. Melalui pendekatan bersepadu ini, jururawat rehabilitasi berusaha untuk meminimumkan impak luka tekanan pada pesakit bagi memastikan mereka mendapat penjagaan yang optimum.

Dalam proses pemulihan, jururawat rehabilitasi menyedari bahawa cabaran yang dihadapi bukan sahaja bersifat fizikal, malah melibatkan emosi. Oleh itu, mereka mengambil peranan sebagai sumber kekuatan bukan hanya untuk pesakit tetapi juga untuk keluarga mereka.
Jururawat memberikan motivasi kepada pesakit dengan cara berkomunikasi secara empati, memberikan sokongan emosi dan motivasi yang berterusan untuk memulihkan semangat pesakit. Pendekatan ini penting dalam membantu pesakit merasa didengar dan difahami yang dapat mempercepat proses pemulihan.
Selain itu, jururawat juga memberikan bimbingan kepada keluarga pesakit. Ahli keluarga kerap kali berasa tertekan kerana menghadapi perubahan besar dalam rutin dan tanggungjawab mereka. Dalam hal ini, jururawat membantu dengan memberikan pemahaman tentang keperluan pesakit dan mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran penjagaan. Melalui bimbingan yang tepat, keluarga dapat lebih yakin dan efektif dalam melaksanakan peranan mereka dalam proses pemulihan.
Selain menyediakan rawatan, jururawat rehabilitasi juga memegang peranan penting sebagai pendidik dan kaunselor bagi pesakit serta penjaga mereka. Mereka memberikan panduan penjagaan harian yang meliputi pengajaran mengenai penggunaan alat bantu dan penerapan amalan kebersihan yang betul untuk mengelakkan jangkitan.
Dalam usaha mencegah komplikasi yang mungkin berlaku, jururawat rehabilitasi juga melatih pesakit dalam melakukan senaman ringan yang sesuai untuk menghindari masalah seperti luka tekanan dan kekakuan sendi. Langkah pencegahan ini penting untuk memastikan pemulihan yang lancar dan mengurangkan risiko masalah kesihatan tambahan.
Jururawat juga mempromosikan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada proses pemulihan holistik. Mereka menggalakkan pesakit untuk mengamalkan aktiviti fizikal sederhana dan mengikuti diet seimbang yang kedua-duanya memainkan peranan utama dalam mempercepat proses penyembuhan dan meningkatkan kualiti hidup secara keseluruhan.
Selain itu, dalam kapasiti mereka sebagai kaunselor, jururawat memberikan sokongan psikologi kepada pesakit dan keluarga. Mereka membantu mengatasi tekanan psikologi yang sering kali muncul akibat daripada keadaan kesihatan yang serius atau perubahan dalam rutin harian. Sokongan ini tidak hanya penting untuk kesejahteraan emosi pesakit dan penjaga, malah memainkan peranan kritikal dalam pemulihan keseluruhan.

Secara keseluruhannya, jururawat rehabilitasi tidak sekadar memberikan rawatan, mereka juga membawa harapan. Mereka memainkan peranan sebagai tulang belakang dalam penjagaan pesakit terlantar bagi memastikan mereka mendapat penjagaan yang menyeluruh.
Tugas mereka membantu pesakit menerima keadaan baharu mereka, meningkatkan fungsi harian dan membimbing mereka untuk kembali ke kehidupan yang bermakna. Sokongan yang diberikan oleh jururawat rehabilitasi ini memberikan impak yang signifikan kepada pesakit, keluarga dan masyarakat secara keseluruhan.
Peranan jururawat rehabilitasi juga merupakan elemen kritikal dalam proses pemulihan pesakit. Melalui kepakaran dan dedikasi mereka, pesakit diberikan peluang untuk menjalani kehidupan dengan lebih berkualiti. Sementara itu, keluarga pesakit juga memperoleh kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk menyediakan penjagaan. Melalui tindakan sedemikian demikian, jururawat rehabilitasi tidak hanya mengubah kehidupan individu, bahkan menyumbang secara positif kepada kesejahteraan masyarakat secara umum.