Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDiet telur telah menjadi topik perbincangan hangat sejak kebelakangan ini. Jaminan keberkesanan dalam menurunkan berat badan dengan cepat serta kos yang berpatutan menjadikan diet ini sebagai pilihan ramai. Diet ini berasaskan pengambilan telur sebagai makanan utama dan digabungkan dengan pilihan makanan rendah kalori serta rendah karbohidrat.
Populariti diet ini menimbulkan persoalan tentang keberkesanannya. Adakah diet ini benar-benar membantu dalam pengurusan berat badan atau sekadar trend sementara?
Dalam dunia yang menyaksikan perubahan corak pemakanan lebih pantas daripada trend fesyen, diet telur semakin mendapat perhatian. Diet ini menekankan pengambilan protein yang tinggi serta lemak sihat sambil mengurangkan karbohidrat. Selain itu, telur kaya dengan vitamin, selenium dan pelbagai nutrien penting serta mudah didapati pada harga yang berpatutan.
Tidak seperti diet lain yang lebih kompleks, diet telur tidak memerlukan masa penyediaan yang lama atau kawalan saiz hidangan yang terlalu teliti. Hasil penurunan berat badan yang pantas turut menarik minat ramai untuk mencubanya. Oleh itu, diet ini menjadi pilihan bagi individu yang ingin menurunkan berat badan dalam tempoh singkat.
Namun, persoalan utama yang timbul ialah sejauh manakah keberkesanan diet ini? Adakah benar diet telur mampu membantu menurunkan berat badan secara konsisten atau sekadar satu lagi trend sementara? Perkara ini wajar diterokai dengan lebih mendalam.
Kandungan Telur
Walaupun kecil, telur ayam mengandungi pelbagai nutrien penting. Sebiji telur ayam besar membekalkan kira-kira 70 kalori hingga 80 kalori serta enam gram protein berkualiti tinggi. Selain itu, telur kaya dengan vitamin dan mineral penting seperti vitamin D, vitamin B12 dan selenium yang menyokong fungsi badan secara menyeluruh.
Bahagian kuning telur sering diperdebatkan kerana kandungan lemaknya, namun bahagian ini sebenarnya membekalkan vitamin A, vitamin D, vitamin E dan vitamin K serta kolin, iaitu nutrien penting untuk kesihatan otak. Kandungan protein dalam telur pula berperanan dalam membaiki serta membina tisu, memberikan rasa kenyang lebih lama dan menyokong kesihatan otot. Oleh itu, telur menjadi pilihan makanan yang ideal bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan tanpa kehilangan jisim otot.
Potensi Manfaat Diet Telur
Manfaat utama diet telur ialah membantu penurunan berat badan. Memandangkan diet ini rendah kalori, badan akan mula membakar lemak yang tersimpan sebagai sumber tenaga. Selain itu, telur memberikan rasa kenyang yang lebih lama, sekali gus mengurangkan pengambilan makanan tanpa rasa lapar yang berlebihan.
2. Kandungan Protein yang Tinggi
Protein merupakan elemen utama dalam diet penurunan berat badan yang berkesan. Pengambilan protein yang mencukupi membantu mengawal selera makan, mengekalkan tahap tenaga dan menyokong pemulihan serta pembinaan otot, terutamanya apabila diet ini digabungkan dengan senaman.
3. Kepadatan Nutrien
Telur merupakan makanan yang kaya dengan pelbagai nutrien penting. Kandungan vitamin dan mineralnya dapat memenuhi keperluan pemakanan tanpa menambah kalori berlebihan. Oleh itu, diet telur menjadi pilihan yang baik bagi individu yang ingin menurunkan berat sambil memastikan badan tetap mendapat nutrien yang mencukupi.
Bagaimanakah Diet Telur Berfungsi?
Diet telur berfungsi dengan mengurangkan jumlah pengambilan kalori keseluruhan sambil memastikan badan mendapat protein yang mencukupi untuk mengekalkan tenaga dan memberikan rasa kenyang lebih lama. Kebanyakan versi diet ini melibatkan pengambilan telur pada setiap hidangan dan kadangkala digabungkan dengan makanan rendah kalori lain seperti sayur-sayuran berdaun, sayuran tidak berkanji dan buah-buahan seperti avokado.
Contoh Pelan Makanan Diet Telur
Pengambilan snek biasanya tidak digalakkan, manakala minuman terhad kepada air, teh atau kopi hitam sahaja. Fokus utama diet ini adalah pada kesederhanaan serta penghindaran makanan yang diproses, gula tambahan dan lemak tidak sihat.
Pengurangan pengambilan karbohidrat dan peningkatan protein dalam diet harian berpotensi membawa badan ke dalam keadaan yang dikenali sebagai ketosis. Dalam keadaan ini, badan membakar lemak sebagai sumber tenaga utama menggantikan glukosa daripada karbohidrat.
Kajian yang dijalankan pada tahun 2013 membuktikan bahawa individu yang mengamalkan diet keto mengalami penurunan berat badan dalam jangka panjang. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa diet keto boleh dijadikan satu daripada pilihan alternatif dalam pengurusan obesiti.
Diet telur juga hanya berkesan untuk penurunan berat badan dalam jangka masa pendek kerana kaedah ini merupakan diet rendah kalori, tinggi protein dan mudah diikuti oleh kebanyakan individu. Namun begitu, diet ini sukar untuk dikekalkan dalam tempoh yang panjang dan berpotensi menyebabkan kenaikan semula berat badan apabila individu kembali kepada tabiat pemakanan biasa.
Selain itu, tiada kajian yang membuktikan bahawa diet telur sesuai untuk diamalkan dalam jangka masa panjang. Oleh hal yang demikian, pendekatan ini mungkin tidak berkesan atau mampan bagi pengurusan berat badan secara berterusan.
Risiko Diet Telur dalam Jangka Masa Panjang
Diet telur tergolong dalam kategori diet rendah kalori. Sebiji telur ayam besar mengandungi kira-kira 70 kalori hingga 80 kalori, manakala makanan lain yang dibenarkan dalam diet ini juga rendah kalori. Badan memerlukan jumlah kalori yang mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga harian. Oleh itu, kekurangan tenaga boleh menyebabkan keletihan berpanjangan, menjejaskan rutin harian serta memberikan kesan negatif kepada kesihatan secara keseluruhan.
2. Ketidakseimbangan nutrien
Walaupun telur kaya dengan protein berkualiti tinggi serta nutrien seperti vitamin D dan B12, diet ini kekurangan nutrien penting lain yang terdapat dalam buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang. Kebergantungan yang berlebihan pada telur boleh mengakibatkan kekurangan serat, antioksidan serta vitamin dan mineral lain yang penting untuk kesihatan badan.
3. Risiko kenaikan berat badan semula
Diet tinggi protein seperti diet telur boleh menyebabkan penurunan berat badan dalam jangka pendek akibat pengurangan kalori. Namun begitu, diet ini mungkin sukar untuk dikekalkan dalam tempoh panjang dan berat badan yang hilang berpotensi kembali apabila individu kembali kepada tabiat pemakanan asal. Kajian oleh Moon et al. (2020) menunjukkan bahawa kebanyakan individu yang mengamalkan diet rendah kalori mengalami kenaikan berat badan sebanyak lima peratus setelah menghadapi kesukaran untuk mengekalkan diet tersebut.
Kesimpulannya, diet telur merupakan diet rendah kalori dan tinggi protein –sememangnya boleh membawa kepada penurunan berat badan dalam jangka masa pendek. Kesederhanaan dan kepadatan nutrien yang terdapat dalam diet telur ini menjadikannya pilihan menarik bagi individu yang inginkan hasil penurunan berat badan yang cepat.
Namun begitu, diet telur bukanlah penyelesaian yang sesuai atau seimbang untuk kesihatan serta pengurusan berat badan dalam jangka masa panjang. Pembaca juga disarankan untuk menilai secara kritis sebelum mengamalkan diet seperti ini dan memberikan keutamaan kepada corak pemakanan yang seimbang serta pelbagai yang terbukti menyokong kesihatan secara menyeluruh serta memastikan pengekalan berat badan dalam jangka masa panjang.