Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJabatan perkhidmatan radiologi memainkan peranan yang penting dalam pelaksanaan pelbagai prosedur radiografi yang melibatkan pendedahan sinaran radiasi secara berterusan kepada pekerja di jabatan tersebut. Walaupun sinaran radiasi memberikan manfaat diagnostik yang signifikan, pendedahan jangka panjang terhadap sinaran ini boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan, termasuklah kesan genotoksik, iaitu kerosakan asid deoksiribonukleik (DNA).
Bidang perubatan dan pergigian adalah antara dua bidang utama yang menggunakan pemeriksaan radiografi dan saringan sebagai satu daripada prinsip diagnostik dalam bidang tersebut. Sumber sinaran radiasi daripada buatan manusia seperti sinar-X digunakan untuk pengimejan perubatan seperti sinaran-X, imbas tomografi berkomputer (CT scan), mamografi, perubatan nuklear, rawatan radioterapi dan tomografi pancaran positron, rawatan kanser, penyinaran makanan dan juga secara khusus sebagai pengimbas keselamatan di lapangan terbang.
Pengesanan kerosakan DNA dapat dilakukan dengan menggunakan asai komet beralkali melalui pemutusan bebenang ganda dua, pemutusan bebenang tunggal, kerosakan bes oksidatif dan rangkaian silang DNA dengan protein atau DNA lain. Melalui asai ini, kaedah elektroforesis akan dijalankan, lalu menyebabkan DNA yang putus dan bercas negatif akan bergerak dari nukleus ke arah anod, manakala DNA yang bercas positif bergerak ke arah bertentangan. Migrasi DNA ini menyebabkan penghasilan imej yang menyerupai komet apabila dilihat di bawah mikroskop fluoresen setelah diwarnakan dengan pewarna fluoresen seperti etidium bromida, akridin jingga dan propidium iodida.

Jururadiografi dan kakitangan radiologi merupakan golongan berisiko tinggi terhadap pendedahan sinaran radiasi dalam rutin kerja harian mereka. Oleh itu, kajian mengenai kesan genotoksik melalui pengesanan kerosakan DNA dalam kalangan kakitangan perubatan yang terdedah kepada sinaran adalah amat penting. Penyelidikan ini bukan sahaja membantu dalam menilai tahap risiko kesihatan mereka, malah membolehkan pelaksanaan langkah keselamatan yang lebih berkesan bagi mengurangkan kesan buruk jangka panjang serta memastikan perlindungan yang optimum di tempat kerja.
Oleh itu, satu kajian telah dijalankan di sebuah jabatan perkhidmatan radiologi di hospital bagi menilai kesan kerosakan DNA akibat pendedahan kepada sinaran radiasi mengion dalam kalangan jururadiografi. Dalam kajian ini, penyemakan data pemantauan tahunan dilakukan dengan menggunakan lencana radio-photoluminescence (RPL) bagi mengenal pasti kumpulan pekerja yang terdedah kepada tahap radiasi tinggi dan rendah. Empat unit kerja utama yang terlibat dalam kajian ini ialah Unit Perubatan Nuklear, Unit Intervensi Angiografi, Unit CT Scan dan Unit Radiologi yang mewakili persekitaran kerja dengan pelbagai tahap pendedahan kepada radiasi.

Dalam kajian ini, sebanyak 47 pekerja dari jabatan perkhidmatan radiologi telah terlibat dan sampel darah mereka dianalisis dengan menggunakan ujian asai komet bagi mengesan kerosakan DNA akibat pendedahan kepada sinaran radiasi mengion. Kesemua pekerja ini menggunakan kelengkapan perlindungan diri (PPE) seperti apron plumbum dan sarung tangan. Majoriti turut memakai lencana dosimeter RPL bagi tujuan pemantauan pendedahan radiasi secara berkala. Penggunaan PPE dan pemantauan dos radiasi memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko kesan genotoksik terhadap kakitangan radiologi.
Data yang diperoleh menunjukkan bahawa pekerja daripada kumpulan berpendedahan tinggi mencatatkan bacaan dos kumulatif lencana RPL yang lebih tinggi berbanding dengan kumpulan lain. Faktor utama yang berkemungkinan menyumbang kepada peningkatan bacaan dos ini termasuklah tempoh pendedahan yang berpanjangan, iaitu melebihi lapan jam sehari serta pelaksanaan kerja secara syif yang meningkatkan frekuensi interaksi dengan peralatan berasaskan sinaran radiasi. Keadaan ini menekankan keperluan pemantauan berkala dan pelaksanaan langkah keselamatan yang lebih ketat bagi mengurangkan risiko kesan radiasi terhadap kesihatan pekerja.

Gambar di bawah menunjukkan imej struktur komet bagi seorang pekerja yang menunjukkan hanya terdapat struktur pembentukan kepala komet pada sel DNA pekerja tersebut. Selain itu, nilai median momen ekor juga didapati lebih tinggi dalam kumpulan berpendedahan tinggi yang mencerminkan tahap kerosakan DNA yang lebih ketara dalam kalangan individu yang terdedah kepada dos radiasi yang lebih tinggi. Dapatan ini memberikan bukti bahawa pendedahan yang berlebihan kepada sinaran radiasi mengion meningkatkan risiko kerosakan DNA, sekali gus menekankan kepentingan langkah perlindungan yang lebih ketat bagi mengurangkan impak negatif terhadap kesihatan pekerja.

Kajian ini mendapati bahawa walaupun kakitangan radiologi terdedah kepada radiasi mengion, tahap kerosakan DNA yang diperhatikan masih berada dalam had selamat. Penemuan ini mencerminkan keberkesanan langkah kawalan risiko yang telah dilaksanakan di jabatan radiologi, termasuklah penggunaan PPE seperti apron plumbum, pemakaian lencana dosimeter RPL, pemantauan pendedahan radiasi secara berkala serta pematuhan yang ketat terhadap amalan kerja selamat. Langkah tersebut memainkan peranan yang penting dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terpelihara, sekali gus mengurangkan potensi risiko kesan buruk jangka panjang daripada pendedahan radiasi.
Pelaksanaan Program Perlindungan Sinaran (PPS) yang mematuhi keperluan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) amat penting sebagai satu daripada usaha yang boleh dilakukan secara berkala untuk mengurangkan risiko pendedahan radiasi. Selain itu, kesedaran pekerja mengenai tempoh bekerja, penggunaan PPE yang sesuai dan pemantauan dos radiasi perlu dipertingkatkan untuk meminimumkan risiko genotoksisiti. Melalui langkah kawalan yang berkesan, pendedahan kepada radiasi mengion di tempat kerja dapat dikekalkan dalam julat yang boleh diterima, sekali gus melindungi kesihatan pekerja dalam jangka masa panjang.
Pendekatan pencegahan melalui pendidikan dan latihan berkala kepada kakitangan jabatan perkhidmatan radiologi mengenai pengurusan risiko radiasi merupakan satu daripada langkah kawalan yang berkesan. Kesedaran yang tinggi terhadap prosedur keselamatan, penggunaan PPE secara optimum serta pemantauan dos radiasi secara konsisten bukan sahaja membantu melindungi kakitangan radiologi, malah memastikan penyampaian perkhidmatan radiologi yang selamat dan berkualiti. Pelaksanaan menyeluruh terhadap amalan keselamatan dan langkah-langkah perlindungan yang disarankan dapat menyokong pembangunan budaya keselamatan radiasi yang mampan, sekali gus memperkukuh kesejahteraan pekerja serta pematuhan kepada piawaian keselamatan yang ditetapkan.
Profesor Madya ChM. Dr. Normah Awang, Profesor Dr. Mazrura Sahani dan Profesor Madya Dr. Nurul Farahana Kamaludin,
Program Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan Industri,
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.