Diterbitkan pada 24 Januari 2025, 09:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Program Diploma Perikanan (DPI) merupakan program terawal yang ditawarkan selepas pembukaan semula kampus Universiti Putra Malaysia (UPM) di Bintulu pada tahun 2001. Pengambilan pertama pelajar bagi program ini bermula pada tahun 2003 dan berterusan sehingga kini.

Selama dua dekad, program ini telah menerima sebanyak 826 pelajar. Kemampanan program ini dijangka akan berterusan apabila bidang perikanan memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada kemajuan dalam pelbagai bidang, termasuklah pertanian dan alam sekitar.

Sebelum ini, tempoh pengajian adalah selama tiga tahun, namun kini telah dipendekkan menjadi dua tahun dengan jumlah kredit graduasi sebanyak 91 kredit. Tujuan utama Program DPI adalah untuk melahirkan graduan separa mahir yang saing dalam memenuhi pasaran guna tenaga industri perikanan negara. Program ini bukan sahaja menghasilkan graduan yang berpengetahuan serta kompeten dalam menjalankan aktiviti perikanan, malah menyediakan asas yang kukuh untuk pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Sektor perikanan menyumbang kepada keterjaminan makanan dan perkembangan ekonomi dengan menyediakan sumber utama protein, nutrien dan menjanakan pendapatan bagi komuniti setempat serta ekonomi negara. Teknik terkini dalam semaian, penetasan dan perkapalan juga telah memacu kemajuan dalam bidang pertanian. Hal ini termasuklah penambahbaikan dalam teknik penangkapan ikan dan rintangan kepada pelbagai penyakit ikan.

Diploma Perikanan ditawarkan untuk melatih graduan dalam bidang perikanan.

Oleh sebab itu, permintaan untuk siswazah yang separa mahir dan pembangunan penyelidikan dalam bidang perikanan dijangkakan berterusan. Perkara ini sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap pencapaian agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) 2016-2030.

Program ini juga mempunyai nilai daya saing dan menyediakan siswazah separa mahir yang memenuhi permintaan pasaran yang meliputi pelbagai bidang utama yang diketengahkan oleh Malaysia. Sumbangan tenaga kerja separa mahir ini penting dalam membantu Malaysia meningkatkan taraf ekonomi melalui sektor pertanian.

Antara kursus yang ditawarkan dalam program DPI termasuklah Renang dan Keselamatan Air, Limnologi dan Oseanografi, Teknik Penangkapan Ikan, Pengurusan dan Undang-undang Perikanan, Ilmu Perkapalan dan Pelayaran serta lain-lain untuk mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang perikanan tangkapan. Sementara itu, kursus seperti Teknik Penetasan dan Semaian, Prinsip Akuakultur dan Projek Keusahawanan yang ditawarkan pada semester empat dan semester lima memantapkan lagi kemahiran dalam kerja lapangan. Kursus ini juga mengukuhkan elemen perikanan ternakan serta keusahawanan pada graduan.

Program Diploma Perikanan melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor perikanan bagi memenuhi tenaga kerja sektor kerajaan dan swasta.

Selain itu, kursus Asas Pengucapan Awam diwujudkan bagi memantapkan lagi kemahiran berkomunikasi yang penting untuk kemajuan kerjaya pelajar. Pada semester akhir, pelajar ditempatkan di agensi yang berkaitan dengan perikanan bagi menjalankan kursus Latihan Industri yang boleh meningkatkan kemahiran pelajar serta membuka peluang pekerjaan.

Tempoh dua dekad merupakan tempoh yang cukup panjang dan program DPI masih relevan sehingga hari ini bagi menyokong Dasar Agromakanan Negara 2.0 (2021-2030) atau DAN 2.0. Program ini juga memfokuskan pemodenan dan perkembangan sektor agromakanan serta meningkatkan sekuriti makanan negara. Pada masa yang sama, dasar ini adalah untuk meneroka ruang baharu yang berfokus serta mengambil langkah pengurangan bagi mempertingkat sumbangan ekonomi sektor agromakanan, daya saing, keterangkuman, kemampanan dan ketahanan terhadap kejutan kejadian global yang memudaratkan.

Industri perikanan negara yang terdiri daripada perikanan tangkapan dan ternakan merupakan antara subsektor utama dalam dasar ini. Sektor agromakanan Malaysia beraspirasi untuk meningkatkan kesejahteraan sosial rakyatnya, terutamanya komuniti B40 dari sudut pandang sosioekonomi, keterangkuman serta kebolehdapatan makanan.

Oleh sebab itu, warga tempatan disarankan untuk berkecimpung dalam sektor perikanan dan meneroka peluang sedia ada demi masa hadapan negara yang lebih cerah. Dengan adanya graduan dari program DPI, diharapkan sektor agromakanan di Malaysia akan semakin berkembang dan mampan. Hal ini termasuklah mengurangkan kebergantungan produk berasaskan perikanan daripada negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia yang dilihat kian agresif dalam sektor ini.

Program Diploma Perikanan di UPM Kampus Bintulu juga menyediakan latihan kemahiran dan pengkhususan bagi melahirkan bakal usahawan perikanan.

Generasi baharu dalam era moden ini juga diharapkan mampu memberikan nafas baharu dalam konteks keterjaminan makanan negara. Para pendidik di UPM, terutamanya dari Unit Perikanan di Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan, UPM Kampus Bintulu akan kekal komited dan terus berusaha menyampaikan ilmu kepada pelajar dan komuniti luar yang selaras dengan slogan UPM, iaitu “Berilmu Berbakti”.

Dr. Wan Zabidii Wan Morni dan Dr. Masnindah Malahubban,
Jabatan Sains Haiwan dan Perikanan,
Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan,
Universiti Putra Malaysia,
Kampus Bintulu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi