Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Program CyberGuard Station anjuran Kumpulan Kuliah L (2) bagi kursus Cybersecurity Awareness di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah diadakan di Bitarasiswa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan matlamat meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat setempat.
Program ini juga bertujuan untuk memperkukuh kesedaran masyarakat mengenai kepentingan keselamatan siber dalam menghadapi cabaran dunia digital masa ini, terutamanya dengan peningkatan kes jenayah siber seperti pencurian identiti, cubaan memancing data dan eksploitasi data peribadi yang semakin berleluasa.
Pensyarah kursus Cybersecurity Awareness, Dr. Noor Hidayah Azmi telah merasmikan program ini dengan memotong reben pada bunting rasmi program sebagai simbolik perasmian, sekali gus menandakan komitmen universiti dalam mendidik generasi muda tentang pentingnya pengurusan keselamatan maklumat peribadi.
Beliau turut melawat ke setiap stesen pameran yang disediakan untuk memberikan gambaran menyeluruh mengenai ancaman keselamatan siber dan langkah pencegahannya, di samping menilai keberkesanan maklumat yang disampaikan kepada para peserta.

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 34 orang peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPSI dan komuniti sekitar Tanjung Malim.
Sepanjang program berlangsung, sesi interaksi bersama-sama peserta diadakan bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai amalan keselamatan data peribadi serta kesedaran mereka terhadap risiko yang boleh dihadapi dalam kehidupan seharian yang semakin bergantung pada teknologi digital.
Kebanyakan peserta menyatakan bahawa mereka mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak memuat naik gambar peribadi dan lokasi semasa di media sosial kerana menyedari bahaya kemungkinan penyalahgunaan maklumat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Peserta juga berkongsikan bahawa mereka sentiasa berwaspada dan tidak mudah mendedahkan maklumat peribadi kepada individu yang tidak dikenali serta mengamalkan langkah keselamatan seperti penggunaan kata laluan yang kuat dan pengaktifan pengesahan dua faktor untuk melindungi akaun mereka.
Menurut Dr. Noor Hidayah, sikap berhati-hati yang diamalkan oleh peserta adalah tindakan yang wajar dalam menghadapi ancaman siber yang semakin kompleks yang boleh melibatkan aspek kewangan, keselamatan identiti dan reputasi dalam talian seseorang individu.
Beliau turut menegaskan bahawa sindiket penipuan kini semakin canggih dan berupaya mendapatkan maklumat peribadi melalui pelbagai saluran, termasuklah nombor telefon pejabat, e-mel dan laman web palsu yang direka untuk menipu pengguna.
CyberGuard Station merupakan inisiatif mahasiswa UPSI dalam menyebarkan kesedaran mengenai keselamatan siber kepada masyarakat melalui pendekatan interaktif dengan harapan dapat membentuk generasi yang lebih bijak dalam menggunakan teknologi digital dengan selamat.
Sebanyak empat stesen pameran telah disediakan dengan topik yang berbeza yang merangkumi aspek keselamatan siber seperti perlindungan data peribadi, pengesanan ancaman siber, pengurusan kata laluan yang selamat dan langkah menghadapi serangan siber.

Setiap stesen bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh mengenai langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa jenayah siber, termasuklah cara mengenali tanda penipuan dalam talian dan kepentingan memperbaharui perisian keselamatan secara berkala.