Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bersiap sedia untuk lonjakan kuasa luar biasa, filem animasi terkenal, Ejen Ali kini melangkah ke tahap yang seterusnya dengan gabungan tenaga bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam misi epik terbaharu yang menggemparkan.

Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) kini lebih perkasa dengan aksi pengembaraan luar biasa yang dikuasakan oleh ledakan inspirasi dan inovasi dari TNB.
Kerjasama ini diumumkan seiring dengan pelancaran treler terbaharu yang penuh aksi, sekali gus mencetuskan siri kempen gempak kreatif menjelang pelancaran filem yang paling dinanti-nantikan pada tahun 2025.
Bersiap sedia untuk pertempuran paling epik, treler tersebut mendedahkan kemunculan semula musuh Ejen Ali, Neonimus, iaitu seorang penggodam licik yang mendapat inspirasi daripada permainan video untuk mencetuskan huru-hara di kota futuristik Cyberaya.
Dengan motifnya yang masih misteri, Neonimus melancarkan cabaran getir yang memaksa agensi rahsia MATA untuk menghantar ejen wira terbaik mereka, Ejen Ali yang dilengkapi dengan sut perisai canggih SATRIA bagi menumpaskan helah penjenayah ini.
Sebagai pembekal utama tenaga di Malaysia, pelibatan TNB dalam EATM2 melonjakkan misi filem animasi ini melangkaui hiburan semata-mata.
Berpegang pada visi tersebut, EATM2 menampilkan pendekatan yang kreatif dalam memperkenalkan TNB sebagai penyedia tenaga masa hadapan di Cyberaya dengan pelbagai aset penjanaan kuasa TNB yang hebat dan canggih.
Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Puan Nini Yusof menyatakan bahawa pihaknya amat berbangga kerana TNB menjadi penaja utama kepada EATM2.
Ujar beliau,
Kejayaan kolaborasi dalam filem pertama pada tahun 2019 telah membuktikan sinergi antara jenama kami dan kami berasa yakin bahawa dunia inovatif Ejen Ali merupakan medium terbaik untuk mempamerkan program dan teknologi tenaga dari dunia sebenar yang dikelolakan oleh TNB, sekali gus memberikan inspirasi kepada generasi baharu untuk mengamalkan gaya hidup pintar dan lestari.
Sementara itu, Pengarah EATM2 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Encik Usamah Zaid Yasin berkata,
Kami amat menghargai sokongan daripada TNB dalam memperkukuh kuasa EATM2 dan mempercayai daya kreatif kami untuk membawa Ejen Ali kembali ke layar perak dengan penuh gemilang serta menyampaikan mesej penting.
Kerjasama antara TNB dengan Ejen Ali adalah lebih daripada sekadar misi dan bertujuan memberikan inspirasi kepada rakyat dalam menerajui peralihan tenaga serta mengadaptasi solusi tenaga mampan demi kesejahteraan semua pihak.
Oleh itu, nantikan siri pengumuman khidmat masyarakat yang membincangkan topik penting seperti kecekapan tenaga, sumber tenaga lestari dan keselamatan elektrik yang disampaikan dengan gaya unik Ejen Ali.
Rakan maskot kesayangan TNB, Si Kucing Jero, kini kembali beraksi dalam versi animasi sebagai pakar tenaga dalam dunia futuristik Ejen Ali.
Duo dinamik antara Jero dengan Ejen Ali akan saling bergandingan bagi menonjolkan inovasi teknologi dalam bidang tenaga, menjanjikan kandungan yang lucu tetapi berinformasi dan pastinya akan memberikan inspirasi kepada cara kehidupan yang lebih lestari dari segi penggunaan tenaga dalam kehidupan seharian.
Mengulas kerjasama penuh ini, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Encik Samsul Ariffin Zainuddin menyatakan bahawa TNB percaya kuasa penceritaan boleh mencetuskan perubahan dan menyemarakkan inovasi.
Tambah beliau,
Kolaborasi kami bersama-sama EATM2 adalah selari dengan komitmen TNB dalam memacu kesedaran mengenai penyelesaian tenaga lestari dan teknologi pada masa hadapan.
Jelas beliau, dunia imaginasi EATM2 merupakan platform kreatif yang terbaik dalam memberikan inspirasi serta mendekati penonton tempatan dan antarabangsa, terutamanya generasi muda sambil menekankan kepentingan peralihan tenaga, kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu dan keselamatan elektrik.
Tegas beliau,
Marilah bersama-sama memperkasakan masa hadapan yang lebih baik, lebih cerah dan lestari dengan satu misi yang sama.
Jangan ketinggalan menyaksikan aksi yang mendebarkan dalam EATM2 menerusi saluran YouTube rasmi Ejen Ali dan bersiap sedia untuk misi yang paling gentar apabila EATM2 menemukan anda di pawagam pada tahun hadapan.