Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Buat julung-julung kalinya, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jenama kereta elektrik sulung negara, iaitu PROTON e.MAS 7 menjadi kenderaan rasmi ketika Malaysia yang akan mempengerusikan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun hadapan.
Pengumuman tersebut dibuat oleh beliau ketika merasmikan Majlis Pelancaran Utama e.MAS 7 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC) pada petang semalam.

Beliau dalam ucapan perasmiannya berkata, PROTON e.MAS 7 bukan sekadar sebuah kenderaan tetapi penghasilannya memenuhi satu daripada tunjang Ekonomi MADANI dan keupayaan menjana perubahan, di samping meninggalkan industri karbon yang lama kepada penerokaan industri baharu.
“Untuk menjadi contoh di rantau ini, bukan sekadar mempromosikan keupayaan kita untuk menghasilkan kereta, tetapi juga sebagai langkah yang jelas terhadap komitmen Pelepasan Karbon Sifar Bersih menerusi pembangunan kenderaan elektrik,” kata beliau.
Saya berasa gembira melihat kereta ini (PROTON e.MAS 7) akan dibina di Tanjong Malim, sekali gus memajukan vendor tempatan melalui pemindahan teknologi baharu dan kemahiran yang berkaitan dengan kenderaan elektrik.
Selain itu, beliau memuji usaha PROTON kerana bukan sahaja mengambil sebuah inisiatif dan belajar daripada pengalaman lalu untuk mempromosikan kereta yang moden serta canggih, tetapi juga menghasilkan kereta yang mesra alam.
Kita sebenarnya mencatatkan satu sejarah gemilang, bukan sahaja mengangkat martabat dan imej PROTON dengan kerjasama Geely, tetapi imej serta keupayaan negara, profesional dan pekerja rakyat Malaysia.
Beliau turut menyatakan bahawa PROTON yang diasaskan semasa YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, mengalami pasang surutnya dan pengajaran kepada generasi kini PROTON ialah memperkukuh pengurusannya, selain tanggungjawab kerajaan untuk memberikan kerjasama dan bantuan.
“Kita tidak harus campur tangan dalam urusan pengurusan (PROTON), mereka bebas melakukan penyelidikan dengan keupayaan dan latihan dan menjamin supaya pengurusan dan tatakelola pada tahap yang lebih baik,” jelasnya.
“Dalam sektor automotif, kita mempunyai Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon untuk mengurangkan pelepasan (karbon) dalam sektor pengangkutan yang kini menduduki tangga kedua penyumbang pelepasan karbon dioksida terbesar,” ujar beliau.
Kerangka kerja (Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon) ini merangkumi empat bidang tumpuan utama, (yang mana) pelancaran kenderaan elektrik SUV pertama PROTON pada hari ini, tepat pada masanya dan akan menjadi pemangkin yang menggerakkan kita ke era mobiliti karbon rendah yang baharu.
Menurut beliau, hal ini demikian kerana lebih 75 peratus tenaga yang digunakan di benua Asia pada hari ini datang daripada hidrokarbon dan permintaannya dijangka meningkat dua kali ganda menjelang tahun 2030 dan negara mesti mengimbangi permintaan ini dengan keselamatan, kemampuan dan kemampanan.
Beliau turut menegaskan bahawa penghasilan kenderaan elektrik pertama negara oleh PROTON-Geely merupakan sebuah cabaran besar buat industri automotif dan hal tersebut merupakan hanyalah sebuah permulaan.

Sementara itu, sempena pelancaran PROTON e.MAS 7, sebanyak 3000 unit yang pertama dijual kepada orang ramai dengan harga bermula RM105,800 bagi model Prime dan RM119,800 bagi model Premium.
Di samping itu, PROTON e.MAS 7 turut dilengkapi dengan teknologi Motor Bersepadu 12 dalam 1 yang padat dan ringan dan bateri AEGIS Short Blade yang memiliki ketahanan penggunaan sehingga mencecah satu juta kilometer serta jangkauan penggunaannya yang boleh mencapai 10 hari pemanduan bagi satu cas penuh.
Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook; Pengerusi PROTON, YBhg. Tan Sri Syed Faizal Albar; dan Ketua Pegawai Eksekutif Geely Auto Group, YBrs. Encik Jerey Gan.