Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Langat – Karnival STEM 2024 yang dianjurkan hasil kerjasama antara Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Panglima Garang telah berjaya menarik penyertaan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di sekitar daerah Kuala Langat bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Pelbagai aktiviti menarik juga ditawarkan sepanjang karnival berkenaan berlangsung, misalnya STEMStruct: Crafting Bridges, Building Futures (pertandingan membina model jambatan); STEM4Fun: Exploring World of Engineering (demonstrasi penggunaan blok elektronik); Smart Solutions for Flood Risks: The Role of STEM (ceramah dan pameran berkaitan dengan pengurusan banjir); Glow-Up Environment: Growing for a Cleaner (aktiviti penanaman pokok); Theovision: Navigating the World of Theodolites (demonstrasi penggunaan alat ukur kejuruteraan teodolit) dan Clean Water, Bright Future: The Science of Water (demonstrasi pembinaan sistem penapis air).


Karnival tersebut telah berjaya menghubungkan antara teori dengan amalan dunia yang sebenar, sejajar dengan keperluan Revolusi Perindustrian 4.0.
Ts. Mohamad Afizi Jamadin, wakil dari River Care Associates Sdn. Bhd. berkata,
Saya amat kagum dengan kreativiti dan komitmen yang diberikan oleh para pelajar UiTM dan sekolah menengah daerah Kuala Langat dalam menjayakan karnival ini yang bukan sahaja mencipta kesedaran tentang kepentingan STEM, malah menyuntik semangat kerjasama yang tinggi.


Sementara itu, guru dari SMK Bandar Saujana Putra, Encik Rahmat Raziman Salihuddin berpandangan bahawa penganjuran karnival berkenaan merupakan contoh yang terbaik yang menunjukkan pendidikan tinggi dapat memberikan impak positif kepada komuniti setempat.
Dengan pelibatan sebanyak 30 orang pelajar UiTM sebagai fasilitator dan tiga orang pensyarah sebagai penasihat program, iaitu YBrs. Ir Ts. Dr. Nuryazmeen Farhan Haron, YBrs. Dr. Intan Shafeenar Ahmad Mohtar dan YBrs. Dr. Noraini Mat Budari, karnival tersebut menjadi platform pembentukan kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan dan kesedaran terhadap keperluan komuniti.
Menerusi aktiviti seperti penanaman pokok dan demonstrasi teknologi moden dalam karnival tersebut juga berupaya memberikan pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna kepada para peserta.


Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL); wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat; para guru sekolah menengah di sekitar Kuala Langat; wakil dari River Care Associates Sdn. Bhd.; wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Langat; wakil dari Pusat Kawalan SMART, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia serta wakil dari Gadang Holdings.