Diterbitkan pada 5 Disember 2024, 15:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan dijangka menguatkuasakan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) 2024 pada 1 Januari 2025 dengan Suruhanjaya Tenaga bertindak sebagai agensi pelaksana dan kawal selia.

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam satu kenyataan, akta berkenaan telah mendapat perkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 14 November 2024 dan telah diwartakan pada 26 November 2024.

Menurut PETRA,

EECA mampu memberikan impak yang positif kepada agenda pembangunan lestari dan manfaat sosioekonomi negara hingga tahun 2050 termasuklah penjimatan penggunaan tenaga kumulatif berjumlah 2017 juta gigajoule (GJ) bersamaan dengan penjimatan bil utiliti berjumlah RM97.1 bilion (pengiraan berdasarkan tarif elektrik semasa) serta membolehkan penghindaran karbon sebanyak 197,877 ktCO2.

Dalam kenyataan itu juga, PETRA menyatakan bahawa penguatkuasaan EECA hanya melibatkan pengguna yang menggunakan tenaga sama atau melebihi nilai ambang 21 600 GJ setahun, iaitu bersamaan dengan bil minimum elektrik sebanyak RM2.4 juta setahun atau bil minimum gas asli sebanyak RM1.0 juta setahun.

PETRA juga menganggarkan sebanyak 4.3 peratus pengguna tenaga sektor industri yang menyumbang kepada kira-kira 66 peratus penggunaan tenaga dalam sektor industri akan tertakluk kepada EECA, manakala hanya 0.04 peratus pengguna tenaga sektor komersial yang menyumbang kepada 21 peratus penggunaan tenaga oleh sektor komersial akan terlibat.

Jelas PETRA, pematuhan kepada Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 akan melibatkan kos yang minimum kepada sektor industri dan komersial berbanding dengan faedah jangka masa panjang yang akan diperoleh oleh semua pengguna tenaga serta menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga negara, khususnya dalam mengendalikan pengurusan permintaan tenaga dengan efektif.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof dalam kenyataan sama menekankan EECA 2024 merupakan instrumen penting untuk memacu serta memperluas inisiatif kecekapan tenaga negara merangkumi tenaga elektrik dan termal.

Tambah beliau, tumpuan akan diberikan dalam aspek pengurusan permintaan tenaga dengan menyeluruh, mempromosikan kecekapan tenaga dan amalan penggunaan tenaga secara lestari oleh sektor industri, komersial dan domestik.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi