Diterbitkan pada 2 Disember 2024, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024 anjuran Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) yang berlangsung dari 2 Disember 2024 hingga 4 Disember 2024 bertujuan untuk menonjolkan perkembangan terkini merentasi pelbagai industri serta memupuk kerjasama yang bermakna bagi memacu kemajuan lestari.

Menurut Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan, persidangan yang bertemakan “Advancing Impactful Innovation Together” itu beraspirasi untuk memudahkan perbincangan antara pemimpin global mengenai dasar penting, memperluas kerjasama merentasi sempadan dalam teknologi dan inovasi serta mempercepat inovasi demi kesejahteraan manusia dan planet.

Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof ketika merasmikan persidangan berkenaan berkata, acara ini juga merupakan bukti aspirasi Malaysia untuk meningkatkan pengaruhnya dalam ASEAN dan pada peringkat global, selaras dengan kerangka antarabangsa seperti Matlamat Pembangunan Mampan dan agenda ASEAN tahun 2025.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam kenyataan sama menegaskan bahawa sains, teknologi dan inovasi memainkan peranan yang penting untuk membentuk masa hadapan yang mampan dan inklusif.

Tambah beliau, platform seperti Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024 amat penting kerana menghimpunkan inovator, penggubal dasar dan pemimpin industri untuk mengubah penyelidikan menjadi lebih berimpak, sekali gus memberikan manfaat kepada seluruh rantau ini.

Jelas MOSTI,

Dengan komitmen yang teguh untuk meningkatkan peranan Malaysia dalam landskap teknologi global, Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024 memanfaatkan kerjasama global dan tempatan untuk mewujudkan laluan bagi inovator Malaysia berhubung dengan ekosistem antarabangsa.

Sidang ini akan mempamerkan perkembangan terkini dan perbincangan dalam enam industri utama yang kritikal kepada visi Malaysia untuk kemajuan yang lestari dan inklusif, iaitu melibatkan Teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR); Teknologi Autonomi; Ketersambungan 5G; Sains Hayat; Teknologi Kesihatan dan AgriTech serta Kelestarian.

Sidang pada hari pertama dimulakan dengan ucap utama oleh YBrs. Profesor Dr. Jomo Kwame Sundaram bertajuk “Addressing Food Agriculture, Malnutrition and Health Together: An ‘All of Government’ Proposal”, diikuti dengan perbincangan meja bulat Force for Good yang bertemakan “From Lab to Land: Accelerating Technology and Innovation Adoption for a Resilient Malaysian Food Security”.

Pada hari kedua pula, YBhg. Tan Sri Tony Fernandes memulakan persidangan dengan ucap utamanya yang bertajuk “From Airlines to Ecosystem”.

Kuasa teknologi transformatif merentasi pelbagai sektor termasuklah panel perbincangan tentang cara industri penerbangan Malaysia memanfaatkan teknologi untuk kekal kompetitif pada peringkat global, peranan kecerdasan buatan dalam mempercepat pembangunan ubat-ubatan dalam bidang Sains Hayat dan cara teknologi 5G berupaya memacu penyelesaian lestari untuk menghadapi cabaran nasional Malaysia adalah antara tumpuan yang dikongsikan dalam Sidang Kemuncak Global I-Nation 2024 pada hari kedua.

Panel perbincangan yang seterusnya adalah mengenai Teknologi 4IR dan Kelestarian yang menawarkan peluang interaksi kepada para peserta serta rangkaian yang direka untuk mendorong kerjasama merentasi sempadan.

Menurut MOSTI, sidang kemuncak akan berakhir pada hari ketiga dengan sorotan inovasi AgriTech dan amalan lestari dalam Sains Hayat selain menampilkan pameran teknologi terkini, kajian kes yang memberikan inspirasi serta pengumuman memorandum perjanjian antara MRANTI dengan CyberSecurity Malaysia.

Pada masa yang sama, pelbagai acara satelit diadakan termasuklah Ecosystem Builders’ Summit, Supercharger Finale, NTIS Global Sandbox Forum dan sesi MATCH Speed Dating yang menyediakan platform bernilai bagi pencari teknologi dan penyedia penyelesaian untuk berhubung, berkongsikan idea serta bekerjasama mencipta penyelesaian yang inovatif.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi