Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat pendekatan dan teknologi yang diguna pakai menerusi sistem wireless bridging (WBS) dapat dipertimbangkan secara serius dalam usaha kerajaan merealisasikan aspirasi 100 peratus liputan kelajuan jalur lebar mudah alih menjelang tahun 2025.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MOSTI, pengaplikasian teknologi WBS diyakini dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat pada skala yang lebih kecil serta berupaya melengkapkan visi digitalisasi Malaysia.
Dalam kenyataan yang sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang dalam ucapannya semasa Sesi Perluasan Capaian Internet melalui Sistem WBS berkata, pemasangan sistem WBS yang pantas, iaitu kurang daripada sebulan susulan kelulusan pihak berwajib dan proses perolehan yang berkaitan telah menunjukkan potensi pelaksanaan sistem ini bagi perluasan capaian Internet di kawasan yang lebih terpencil.
Menurut beliau, pemasangan WBS berkenaan merupakan satu daripada usaha untuk merapatkan jurang antara masyarakat bandar dengan luar bandar seperti yang telah digariskan oleh elemen kesejahteraan yang menjadi teras Malaysia MADANI.
Ujar beliau,
Selain penggunaan Internet satelit, WBS juga boleh diadaptasi untuk memperluas sumber Internet yang disediakan oleh kemudahan sedia ada seperti di Pusat e-Desa, Pusat Internet Komuniti dan Pusat Ekonomi Digital, sekali gus memperkasakan fungsi kesemua kemudahan ini dalam memastikan kesalinghubungan digital masyarakat.
Tambah beliau, kerjasama kolektif merentas kementerian ini akan memastikan pengurusan sumber yang lebih optimum demi kemaslahatan rakyat Malaysia secara menyeluruh.
Katanya, dengan kos sebanyak RM300,000.00 yang merangkumi langganan Internet satelit berkelajuan tinggi selama tiga tahun dan pemasangan sistem WBS bagi perluasan capaian Internet yang memanfaatkan 158 orang pelajar, 15 orang guru serta 480 orang penduduk di kawasan sekitar, peruntukan yang diperlukan adalah sangat berpatutan jika dibandingkan dengan potensi pulangan nilai hasil peningkatan kualiti pembelajaran serta pemudahcaraan aktiviti e-keusahawanan.
Menurut MOSTI, WBS merupakan teknologi penyambungan Internet bagi memudahkan komuniti yang ketinggalan dan terbatas, terutamanya bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti e-keusahawanan.
Jelas MOSTI,
WBS merupakan penyelesaian yang melengkapi usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang digital di kawasan luar bandar melalui teknologi yang mampu meluaskan capaian Internet daripada sumber yang sedia ada.
MOSTI juga menyatakan bahawa sebuah projek pembuktian konsep teknologi WBS oleh Akademi Sains Malaysia bersama-sama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan TM One dengan sokongan MOSTI dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah dilaksanakan di Kampung Pajam, Branang, Selangor pada tahun 2022.
Katanya lagi, susulan potensi yang telah ditunjukkan oleh projek pembuktian konsep ini, pelaksanaan sistem WBS telah dicadangkan di Sekolah Kebangsaan Simbuan Tulid, Keningau, Sabah pada tahun 2023 di bawah inisiatif segera Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.
Ujarnya, pemilihan lokasi itu adalah berdasarkan keunikan lokasinya yang masih dalam proses penerimaan liputan perkhidmatan jalur lebar di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Kata MOSTI,
WBS mendapat sokongan daripada pasukan teknikal dari UTHM yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Ramlee Kamarudin serta Sabah Net Sdn. Bhd. di bawah penyelarasan Encik Mohamad Sukry Suile.
Dalam kenyataan itu dinyatakan juga bahawa inisiatif tersebut turut mendapat kerjasama daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.