Diterbitkan pada 19 November 2024, 21:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puchong – Dalam usaha menunjukkan sokongan dan komitmen untuk memperkukuh pengkomersialan teknologi nuklear demi kepentingan negara serta memperluas potensi produk dan perkhidmatan, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Garis Panduan Pengkomersialan Nuklear Malaysia di Hotel Espira Kinrara.

Bengkel yang dihadiri oleh peserta dalam kalangan Ahli Jawatankuasa Strategik dan Teknikal Pengkomersialan dan pegawai penyelidik (pereka cipta) Nuklear Malaysia itu telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Bengkel Pemurnian Garis Panduan Pengkomersialan Nuklear Malaysia.

“Pentingnya untuk mewujudkan satu garis panduan pengkomersialan pada peringkat Nuklear Malaysia bagi menyediakan struktur dan prinsip yang jelas dalam proses pengkomersialan sesuatu produk atau perkhidmatan,” kata YBrs. Dr. Rosli Darmawan ketika merasmikan bengkel berkenaan.

Ujar beliau,

Kejayaan pengkomersialan memerlukan usaha kolaboratif bersama dari peringkat proses penyelidikan hingga pengkomersialan bagi memastikan hasil penyelidikan Nuklear Malaysia tidak sekadar berakhir di atas kertas, tetapi dapat dikembangkan menjadi produk atau perkhidmatan yang bernilai tinggi, iaitu dapat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh kumpulan sasaran.

Objektif utama penganjuran bengkel berkenaan adalah untuk mendapatkan input yang relevan dari pelbagai sudut bagi menambah baik prosedur pengurusan pengkomersialan serta membangunkan garis panduan yang berstruktur merangkumi elemen penting dalam proses pengkomersialan.

YBrs. Dr. Rosli Darmawan berkata, pelaksanaan aktiviti pengkomersialan diharapkan dapat dilaksanakan dengan lebih rancak, lancar, berkesan dan strategik dengan terhasilnya garis panduan pengkomersialan Nuklear Malaysia ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi