Diterbitkan pada 19 November 2024, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perkhidmatan Transplan Sel Stem atau Sumsum Tulang (SCT/BMT) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memilih Hospital Ampang sebagai pusat rujukan utama dan pusat latihan bagi rawatan penyakit darah orang dewasa.

Sebelum ini, perkhidmatan SCT/BMT untuk pesakit dewasa di KKM bermula pada tahun 1999 di Hospital Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Hospital Ampang pada tahun 2006.

Sehingga Oktober 2024, sejumlah 3,259 kes SCT/BMT telah dikendalikan oleh Hospital Ampang dengan purata hampir 200 kes SCT/BMT setiap tahun berbanding hanya enam kes pada tahun 1999.

Sehubungan dengan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad telah menyempurnakan perasmian Majlis Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan SCT/BMT KKM di Hospital Ampang semalam.

Kakitangan Hospital Ampang yang hadir pada Majlis Sambutan Jubli Perak Perkhidmatan SCT/BMT KKM semalam.

Majlis bertemakan “Sustainable and Equitable Care” memberikan keutamaan kepada komitmen KKM untuk meneruskan perkhidmatan SCT/BMT yang mampan dan menjamin kesaksamaan dalam penjagaan kesihatan kepada rakyat bagi mendapatkan rawatan SCT/BMT di semua hospital KKM.

Kini, terdapat empat buah hospital KKM yang mempunyai kepakaran dan menawarkan perkhidmatan SCT/BMT iaitu Hospital Ampang di Selangor, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru, dan Hospital Queen Elizabeth 1 di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada suku pertama tahun 2025, Hospital Umum Sarawak di Kuching, Sarawak dan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang juga akan turut memulakan perkhidmatan SCT/BMT.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan oleh Menteri Kesihatan kepada warga kerja Jabatan Hematologi, Hospital Ampang.

Turut hadir Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob; Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, YBrs. Dr. Ummi Kalthom Shamsudin; Pengarah Hospital Ampang YBrs. Dr. Kasuadi Hussin, Ketua Kepakaran Hematologi Negeri Selangor, YBrs. Dr. Lau Ngee Siang dan Ketua Jabatan Hematologi Hospital Ampang, YBrs. Dr. Tan Sen Mui merangkap Timbalan Ketua Kepakaran Kebangsaan.

Kredit Foto: KKM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi