Diterbitkan pada 16 November 2024, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pasir Puteh – Dalam usaha membudayakan amalan senaman dalam kalangan masyarakat, terutamanya golongan warga emas bagi memastikan tahap kesihatan mereka dalam keadaan yang baik telah mendorong penganjuran program Senaman Warga Emas Peringkat Daerah Pasir Puteh 2024 di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Parlimen Pasir Puteh.

Program yang dianjurkan oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh dengan kerjasama Gerakan Belia 4B Malaysia Kawasan Pasir Puteh telah disertai oleh lebih daripada 38 orang peserta sekitar Parlimen Pasir Puteh.

Keprihatinan pihak Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan warga emas, terutamanya golongan yang berusia lebih 60 tahun telah mendorong jalinan kerjasama yang erat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat hingga membolehkan program senaman ini dibawa ke PAWE.

Pengisian program adalah berbentuk aktiviti kecergasan khas untuk warga emas, misalnya chair robic yang melibatkan pergerakan senaman mengikut muzik dengan setiap peserta perlu duduk di kerusi.

Sepanjang program ini berlangsung, para peserta dibimbing oleh jurulatih kecergasan yang telah dilantik khas oleh Pejabat Belia dan Sukan Daerah Pasir Puteh.

Menurut Encik Abdul Aziz, salah seorang peserta program berkenaan menyatakan bahawa aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk setempat.

Tambah beliau,

Program ini memberikan peluang kepada dirinya untuk sentiasa bergerak aktif dan mempelajari teknik senaman yang betul, di samping dapat mengisi masa lapang setelah pencen daripada berkhidmat dalam sektor awam.

Seorang lagi peserta program, Puan Tahirah Hanafi berkata, program ini membolehkan para peserta berkumpul dan saling bertanya khabar selain bersenam untuk menjaga kesihatan badan.

Menurut beliau,

Program seumpama ini wajar diperluas ke setiap kampung bagi membolehkan warga emas kekal aktif dan bersemangat kerana aktiviti senaman amat penting dan memberikan peluang kepada kami untuk menjalani cara hidup yang sihat.

Selain chair robic, aktiviti senaman lain yang diadakan termasuklah senamrobik, berjalan kaki, tarian, taici dan yoga yang dijalankan di setiap lokasi dan penganjuran ini adalah percuma kepada golongan warga emas.

Terdahulu, program senaman ini telah dilancarkan pada peringkat kebangsaan oleh Menteri Belia dan Sukan, Yang Berhormat Hannah Yeoh Tseow Suan ketika Majlis Pelancaran Program Senaman Warga Emas 2024 pada Jun yang lalu di Taman Rakyat Klang, Selangor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi