Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Lebih daripada 1000 orang penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar menyertai acara “Fun Walk Lepar Sihat” di Padang Awam Taman Seri Mahkota Aman bagi memupuk gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
Aktiviti riadah dengan berjalan kaki secara santai sejauh tiga kilometer di kawasan perumahan tersebut merupakan sebuah program Teras GLC Pahang 2024 anjuran Pejabat Penyelaras DUN Lepar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) dengan kerjasama penduduk di kawasan berkenaan.
Sebelum pelepasan acara berjalan kaki, para peserta berkumpul seawal pukul 7.00 pagi dan melakukan senamrobik bersama-sama bagi memanaskan badan masing-masing.

“Program seumpama ini adalah penting untuk mendorong masyarakat menjaga kesihatan badan dan mental serta mengeratkan semangat perpaduan dalam kalangan komuniti,” ujar Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat (YB) Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah ketika merasmikan program berkenaan.
Tambah beliau,
Semoga usaha yang dilakukan ini dapat diteruskan untuk memberikan manfaat kepada masyarakat setempat, khususnya dalam meningkatkan kesedaran tentang kepentingan hidup yang sihat dan aktif.


Sepanjang program itu berlangsung, aktiviti pemeriksaan kesihatan secara percuma turut diadakan bagi menggalakkan penduduk untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan mengenal pasti kaedah penjagaan kesihatan fizikal dan mental dengan lebih baik.
Pada masa yang sama, aktiviti pengumpulan barang kitar semula juga mendapat sambutan yang menggalakkan dan memperlihat kesedaran komuniti terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Yang Hormat Dato’ Mohd Faizal Jaafar dan tetamu undangan lain.