Oleh Hamdan Abu
Diterbitkan pada 17 November 2024, 13:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 40 orang Sukarelawan Komuniti Belia Malaysia (MYVOC) yang terdiri daripada penuntut institut pengajian tinggi dan belia di kawasan berdekatan dengan Lembah Klang telah menyertai program Sekolah Sukarelawan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)–MYVOC sebagai persediaan untuk menghadapi bencana dan pascabencana.

Program yang diadakan selama dua hari itu dikendalikan oleh ABIM dengan kerjasama Majlis Belia Malaysia (MBM) bermatlamat agar segala maklumat yang dikongsikan dapat digunakan bagi menghadapi situasi bencana, khususnya menjelang monsun timur laut yang dijangkakan membadai kawasan tertentu pada bulan ini.

Pengurus Sekretariat ABIM Pusat, Puan Junaidah Sairan berkata, ABIM membuka penyertaan kepada semua belia di seluruh negara yang ingin menceburi tugas sukarelawan dan setakat ini pihaknya memilih sebanyak 40 orang peserta untuk menyertai siri pertama program di Kuala Lumpur.

Puan Junaidah Sairan.

Menurut beliau,

Kami merancang untuk mengadakan siri kedua program ini dengan matlamat agar para sukarelawan yang akan bertugas di barisan hadapan mempunyai lebih pengetahuan dan kemahiran untuk menghadapi bencana, khususnya pascabencana.

Program ini juga memberikan pendedahan kepada para peserta tentang hal tertentu seperti keselamatan dan pengurusan emosi di tempat kejadian serta peraturan yang perlu dipatuhi.

Sepanjang program tersebut berlangsung, para peserta dalam lingkungan umur antara 15 tahun hingga 40 tahun itu didedahkan dengan enam pengisian utama, iaitu tatacara pengurusan bencana; asas pertolongan cemas; asas pengendalian radio amatur; asas sokongan orang kurang upaya dan asas bantuan psikologi yang disampaikan oleh fasilitator yang berpengetahuan luas dalam bidang berkenaan.

Para peserta ditunjukkan kaedah menghantar imej dan maklumat dengan menggunakan peralatan radio amatur walaupun capaian talian telefon terputus.

Selain didedahkan dengan pengurusan air, sanitasi dan kebersihan, terutamanya ketika banjir dan pascabanjir, para peserta juga menyertai simulasi pengurusan bencana dan mempelajari pelan tindakan bencana oleh ahli pertubuhan yang bernaung sebagai Rakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Sementara itu, Ketua Jabatan Pengurusan Projek Sukarelawan ABIM Pusat, Encik Mohamad Nor Farhan Abd Aziz menyatakan bahawa program ini memberikan pengetahuan yang sangat baik kepada ABIM dan sukarelawan yang terlibat.

Encik Mohamad Nor Farhan Abd Aziz.

Ujar beliau,

Sebelum ini, belia yang terlibat sebagai sukarelawan kurang mempunyai pengetahuan dan kemahiran ketika berhadapan dengan bencana selain kurang memahami prosedur tertentu.

Kami baru mengetahui kepentingan radio amatur sebagai komunikasi alternatif ketika bencana atau semasa talian telefon terputus. Peralatan komunikasi ini amat bermanfaat kepada sukarelawan lebih-lebih lagi yang terlibat atau berada di kawasan bencana.

Tambah beliau, pihaknya bercadang untuk mengendalikan kursus asas khas berkaitan dengan komunikasi radio amatur kepada sukarelawan ABIM sebagai kesinambungan daripada program ini.

Selain Kuala Lumpur, beberapa siri Sekolah Sukarelawan MYVOC akan diteruskan di seluruh negara oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Gabungan Majlis Belia Malaysia dan Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung di bawah pemantauan MBM.

Pada sesi akhir program ini, para peserta diberikan senaskhah majalah Dewan Kosmik yang disumbangkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur sebagai simbolik penerapan amalan membaca dalam kalangan pelajar dan belia.

Para peserta menerima senaskhah majalah Dewan Kosmik yang disumbangkan oleh DBP Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Dewan Kosmik ialah majalah yang berkaitan dengan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik yang diterbitkan oleh DBP pada setiap bulan sejak tahun 1993.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Encik Ibnu Rasyeed Mat Isa selaku Exco MBM Pusat dan Timbalan Presiden Persatuan Pemancar Radio Amatur Malaysia, Encik Zainirul Akhmal Zanirun yang turut berkongsikan pengalaman beliau sebagai sukarelawan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi