Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) telah menganjurkan Persidangan Pengurusan Sisa Pepejal (SWAM) 2024 di Hotel Bangi Resort.
Persidangan yang bertemakan “Memajukan Amalan dan Dasar Terbaik untuk Pengurusan Sisa Mampan” itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Taib.
Dalam satu kenyataan, SWCorp menyatakan bahawa persidangan yang mengumpulkan sebanyak 350 orang peserta itu terdiri daripada wakil agensi kerajaan persekutuan, pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi swasta, pihak industri dan persatuan, badan bukan kerajaan serta ahli akademik.
Kata SWCorp,
Persidangan ini bertujuan untuk memberikan kefahaman pengetahuan dan aspek pelaksanaan polisi serta penggunaan teknologi terkini ke arah pengurusan sisa pepejal yang lebih mampan.
Tambah SWCorp, persidangan berkenaan turut memfokuskan empat aspek, iaitu polisi dan tadbir urus; integrasi teknologi; kitar semula dan tingkah laku sosial dengan menampilkan sebanyak 22 orang penceramah dari dalam dan luar negara yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan sisa pepejal.
Selain itu, persidangan tersebut turut memberikan penerangan dan kefahaman mengenai polisi yang disasarkan oleh KPKT, iaitu transformasi kepada ekonomi kitaran.
Pelaksanaan ekonomi kitaran dilihat mampu mengurangkan kebergantungan pada sumber asli, mengurangkan penjanaan sisa, meminimumkan kesan negatif kepada alam sekitar dan seterusnya membantu negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar sisa bersih menjelang tahun 2050.
Jelas SWCorp,
Pendekatan ini juga menawarkan faedah ekonomi dengan mencipta peluang perniagaan baharu dan mempromosikan inovasi serta pewujudan pekerjaan yang baharu.
Pada masa yang sama, persidangan yang dianjurkan pada kali ini turut melibatkan 13 pempamer yang sedang giat berkecimpung dalam memacu inisiatif ekonomi kitaran.
Katanya, barisan pempamer yang terdiri daripada pelbagai latar belakang itu menjadi satu daripada daya tarikan utama kepada para peserta untuk lebih mengenali teknologi terkini serta inisiatif yang dibawakan sendiri oleh pempamer.