Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPauh Putra – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Termez State University (TerSU) dari Uzbekistan di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP.

UniMAP diwakili oleh Naib Canselor UniMAP, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli, manakala Rektor TerSU, YBrs. Profesor Tashkulov Abdukodir Khamidovich sebagai wakil TerSU.
Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP turut menyaksikan pemeteraian MoA bersejarah berkenaan.

Kerjasama antara UniMAP dengan TerSU melibatkan projek “Visible Light Communication (VLC) with Adaptive Encoder Decoder (ADE) – OCDMA Model” yang diketuai oleh YBrs. Dr. Norizan Mohamed Nawawi dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektronik, UniMAP dan YBrs. Profesor Dr. Normurodov Chori dari TerSU.
Projek tersebut bertujuan untuk membentuk pengekod (encoder) dan penyahkod (decoder) baharu bagi rangkaian perhubungan cahaya terlihat (VLC) dan menganalisis sistem ini untuk peningkatan kadar data hingga 10 gigabait per saat (Gbps).
Teknologi VLC menggunakan cahaya untuk pemindahan data tanpa wayar dan digunakan bagi menghadapi cabaran dalam menguruskan banyak pengguna, terutamanya dalam persekitaran yang mempunyai sumber cahaya yang banyak.
Teknik maju seperti non-orthogonal multiple access (NOMA) membolehkan pelbagai pengguna menyambung ke satu sumber cahaya dengan lebih cekap, meningkatkan kadar data dan mengurangkan kesilapan berbanding dengan kaedah lama.
Turut hadir ialah Timbalan Rektor (Hubungan Antarabangsa) TerSU, Encik Togaev Gafur.