Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Dalam usaha menggalakkan kesedaran terhadap kepentingan kestabilan ekosistem dan biodiversiti alam semula jadi di negara ini, Kelab Keluarga Kumpulan (KKK) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) buat julung-julung kalinya menganjurkan program Penanaman Bakau dan Pelepasan Anak Penyu di pinggir Pantai Chendor, Cherating, Kuantan, baru-baru ini.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Kasih Turtle Conservation Project (KTCP) itu telah berjaya menarik lebih daripada 50 penyertaan yang melibatkan peserta dan ahli keluarga daripada pelbagai peringkat usia.
Sebelum acara berlangsung, para peserta telah diberikan taklimat ringkas berkenaan dengan kaedah penanaman pokok bakau dan cara melepaskan anak penyu agar supaya setiap aktiviti dapat dilaksanakan dengan betul, cermat dan teliti.
Menurut wakil dari KTCP, Encik Fadhil Izzuddin Ariffin, usaha untuk menyelamatkan penyu merupakan legasi yang diteruskan oleh beliau daripada arwah ayahnya yang telah dimulakan sejak tahun 2014.

Ujar beliau,
Sejak KTCP ditubuhkan, sebanyak 80 720 ekor anak penyu telah dilepaskan semula ke dalam lautan dengan melibatkan kos berjumlah RM290,898.20 yang diperoleh daripada yuran konservasi dan sumbangan daripada orang awam serta badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata, tempoh penetasan telur penyu adalah antara 45 hari hingga 60 hari dan setelah penyu menetas dan dilepaskan ke lautan, anak penyu akan melalui proses “kemaruk renang”, iaitu berenang di atas permukaan air sejauh yang mungkin tanpa makan dan minum bagi menyesuaikan diri di lautan selama enam hari hingga tujuh hari.

Katanya,
Pada hari kelapan, anak penyu akan menyelam ke dalam lautan dan menjadi karnivor dengan mula memakan obor-obor yang mati dan 10 tahun kemudian, penyu akan mula mengubah diet pemakanannya menjadi herbivor.

Dalam sesi taklimat itu juga, beliau menyatakan bahawa kadar kelangsungan hidup penyu terkini adalah sangat sedikit, misalnya beberapa kajian yang dijalankan mendapati bahawa kadar kelangsungan hidup penyu adalah pada nisbah 1:1000 hingga 1:10 000.
Jelas beliau,
Banyak faktor yang menyebabkan kematian penyu seperti dimakan oleh pemangsa dan manusia, pencemaran lautan atau termakan plastik yang disangkakan obor-obor.

Sebanyak 1010 benih termasuklah anak pokok bakau jenis minyak dan jenis kurap telah ditanam oleh pelbagai agensi serta NGO yang bekerjasama dengan MNS, sekali gus menjadikan keseluruhan pokok bakau yang ditanam di pesisir Pantai Chendor berjumlah 19 278 batang pokok bakau sejak Jun 2023.

Jumlah tersebut akan terus bertambah bagi memastikan sasaran penanaman sebanyak 20 000 batang pokok bakau dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.

Aktiviti penanaman pokok bakau yang turut dilaksanakan di pesisir pantai di seluruh Malaysia bukan sekadar suatu bentuk aktiviti kesukarelawanan semata-mata, tetapi penting untuk memastikan kestabilan ekosistem di kawasan paya bakau yang menjadi habitat pelbagai flora dan fauna yang lain.
Lebih penting lagi, fungsi akar pokok bakau yang mencengkam tanah mampu menjadi benteng kepada ombak dan penampan semula jadi angin pantai yang kencang.
Sementara itu, aktiviti pelepasan anak penyu ke dalam lautan pula diteruskan pada sebelah petang dengan melibatkan sebanyak 25 ekor anak penyu daripada spesies penyu agar (green turtle) yang baru menetas dan berusia tiga hari.

Pelepasan tersebut merupakan pelepasan terakhir untuk musim ini disebabkan oleh peningkatan suhu lautan dan pendaratan penyu untuk tujuan bertelur berkurangan pada tahun ini.

Turut hadir ialah Presiden KKKPKNP, Encik Rahmat Hussin; Pengerusi PUSPANITA PKNP, YBhg. Datin Zuhaira Zainordin; Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, YBhg. Dato’ Mohd Faizal Jaafar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNP, Encik Mohd Razif Abdul Malek.